Mahu didik masyarakat guna produk selamat berasaskan bahan semulajadi dalam dunia kecantikan.
Satu ketika dulu, produk kecantikan dan kesihatan lahir umpama cendawan tumbuh selepas hujan namun amat mengecewakan apabila ada segelintir produk yang memberi kesan kemudaratan kepada kulit dan sistem tubuh sehingga diragui keberkesanannya yang akhirnya berupaya memberi risiko kepada pelanggan.
Malah, ada pengasas produk yang menggunakan bahan terlarang dan tidak selamat sehingga menjejaskan kesihatan kulit dan tubuh pengguna sehingga membuatkan ramai pengguna lebih berhati hati memilih produk kecantikan mereka.
Peka kepada keselamatan pengguna dan mahu mendidik masyarakat menggunakan produk berasakan bahan semulajadi, seorang usahawan produk daripada Kelantan, menghasilkan produk berasaskan herba yang selamat digunakan tanpa menggunakan bahan merbahaya dalam produk yang dikeluarkan syarikatnya.
Pengasas perniagaan An Nisa Hikmah Resources, Rozeyta Ghazali, sendiri tidak pernah menyangka minatnya membuat sabun dan jamu untuk kegunaan peribadi beralih kepada penghasilan produk di bawah jenamanya sendiri.
Empayar perniagaan berasaskan produk sabun dan jamu itu, diperluaskan dan diperkenalkan untuk dikongsi bersama pelanggan tersayang yang sentiasa menyokong usaha murninya dalam memberi yang terbaik kepada pelanggan.
Kongsi wanita berusia 52 tahun ini, menerusi produk herba dan sabun organik Zeyta Beauty yang sudah diusahakan beliau sejak 2016 lalu, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan terutama bagi mereka yang meminati produk berasaskan bahan semulajadi.
“Zeyta Beauty sudah mula beroperasi dirumah pada tahun 2016 lalu. Bermula daripada minat membuat sabun dan jamu hanya untuk kegunaan sendiri sahaja, kini Zeyta Beauty ingin membuka langkah untuk mencuba dalam bidang pembuatan sabun dan jamu secara komersial,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.
Kata anak kelahiran Kota Bharu ini lagi keistimewaan dan keunikan produk hasil keluarannya adalah kerana ia satu produk tempatan hasil buatan tangan yang berasaskan bahan semulajadi tanpa menggunakan bahan kimia terlarang dan berbahaya kepada pengguna.
“ Saya yakin produk yang dihasilkan ini mempunyai kualiti tinggi dan buktinya ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna.
“ Lebih menggembirakan, ramai pelanggan mencari produk ini untuk manfaat kecantikan dan kesihatan mereka,” katanya.
Meskipun dunia dilanda pandemik yang menyebabkan banyak perniagaan gulung tikar selain memberi kesan tidak baik kepada perkembangan ekonomi dalam dan luar negara, beliau melihat ia sebagai dugaan serta cabaran dalam dunia perniagaan yang perlu ditempuhi jika mahu berjaya dalam landskap perniagaan.
“ Kesan daripada kehadiran pandemik ini , saya pelajari banyak perkara termasuklah betapa pentingnya berniaga dari rumah untuk membantu menaikkan ekonomi keluarga.
“ Saya amat berharap dalam tempoh dua tahun lagi perniagaan yang saya usahakan ini akan lebih berkembang maju dan lebih dikenali ramai.
“ Bagaimanapun, jika saya mahu mencapai kejayaan maka saya perlu menyusun pelan pemasaran saya yang terbaik dan pada masa sama memperbaiki mutu pembungkusan produk supaya lebih menyerlah dan menarik perhatian pelanggan,” katanya.
Beliau juga yakin bahawa pelan pemasaran yang baik dan terancang juga amat diperlukan untuk mengembangkan perniagaan pada skala lebih besar.
Justeru, adalah menjadi salah satu rancangan beliau untuk memantapkan strategi perniagaannya untuk lebih berdaya saing.
Bagi wanita istimewa ini, tiada istilah putus asa dalam kamus hidupnya dan apa yang perlu dilakukan sekarang adalah sasaran untuk membangunkan perniagaan atas matlamat memperkenalkan produk berkualiti, bersih, selamat dan berkhasiat kepada masyarakat.
“Saya tidak mahu berputus asa dan ingin terus berjuang untuk membangunkan perniagaan ini kerana saya tahu ramai generasi muda yang tidak mengenali produk semulajadi dan saya tidak mahu potensi produk berasakan bahan semulajadi pupus begitu saja,” katanya.
Realitinya, produk yang memberi jaminan kesihatan dan selamat menggunakan bahan semulajadi perlu diangkat supaya masyarakat terdidik dan sedar kehadirannya yang bukan saja memberikan manfaat kecantikan kepada pengguna tetapi selamat penggunaannya dalam masyarakat.