Industri penerbangan adalah antara industri yang paling terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan telah menyebabkan banyak syarikat gulung tikar. Pekerja di sektor berkenaan juga adalah antara mereka yang terkena tempias teruk disebabkan oleh sekatan perjalanan oleh hampir seluruh negara di dunia, sekaligus melumpuhkan operasi syarikat penerbangan.
Itulah situasi sukar yang harus ditelan oleh Shahrolnizam Peet yang bertugas sebagai seorang pramugara di sebuah syarikat penerbangan di Malaysia. Memandangkan pendapatannya terjejas disebabkan oleh operasi pesawat dalam jumlah yang kecil, beliau tidak menunggu lama dan terus mencari peluang perniagaan dengan menjadi agen bebola kambing Mr Pepper pada Mei 2020. Beliau kemudiannya dilantik menjadi stokis produk berkenaan pada Julai tahun yang sama, seterusnya terpilih menjadi rakan kongsi eksekutif yang juga stokis induk Mr Pepper pada April tahun lalu.
Pemuda berusia 39 tahun yang berasal dari Kuching, Sarawak itu berkata antara keunikan yang ada pada produk Mr Pepper adalah bebola kambing.
‘Ia adalah produk pertama yang dikeluarkan secara komersil untuk pasaran negara ini. Alhamdulillah sejak ia dilancarkan pada 1 April lalu, kami menerima maklumbalas yang amat memberangsangkan daripada pembeli.
“99 peratus daripada mereka menyatakan bahawa mereka sukakan kualiti dan rasa bebola kambing keluaran Mr pepper ini. Justeru, kami yakin bahawa produk kami ini sememangnya mempunyai kelebihan dan keunikannya yang tersendiri.
“Kami juga mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dalam bidang perniagaan kerana setakat ini, tiada sebarang persaingan yang kami terima daripada pemain industri yang sama. Ia berbeza dengan produk kambing perap yang mana ia mempunyai ramai pengeluar dan persaingannya juga sengit.
“Produk bebola kambing ini juga lain daripada yang lain dan ia akan memberi lebih impak kepada masyarakat di luar sana, sama ada golongan muda ataupun tua. Selain itu, produk ini juga mudah dimakan dan disediakan serta boleh dibawa ke mana sahaja,” katanya kepada Entrepreneur Insight dalam satu temubual baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai hikmah pandemik, beliau berkata ada banyak perkara baharu yang beliau dapat pelajari antaranya dengan meneroka peluang produk makanan berasaskan penghantaran.
“Melalui pemerhatian saya, produk seumpama ini mudah didapati dan mendapat banyak sambutan. Apabila pandemik melanda, kita mesti mencari peluang perniagaan atau pelaburan secara dalam talian dan Alhamdulillah sesiapa yang mengambil peluang dari pandemik ini seperti saya pasti akan mengecap kemanisannya apabila perniagaan mula mencatat keuntungan,” katanya.
Shahrolnizam berkata dalam tempoh tiga tahun akan datang, beliau merancang untuk melahirkan sekurang-kurangnya 300 agen dan stokis serta membuat jualan secara luar talian di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Saya berazam untuk mencapai pendapatan lima angka setiap bulan.Bagaimana saya hendak mencapai matlamat tersebut adalah dengan membuat pelaburan dalam aspek pemasaran dalam talian, mungkin pada awal saya akan cuba menyertai kursus percuma dan kemudiannya kursus lanjutan yang berbayar,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau tidak akan sesekali berputus asa dan akan berjuang dalam perniagaannya.
“Saya percaya apabila kita fokus kepada sesuatu, InsyAllah jenama produk kita juga akan dikenali oleh ramai orang. Saya mengakui memang ada naik dan turun dalam perniagaan tetapi usaha untuk terus ke hadapan mesti diteruskan supaya kita dapat mencapai matlamat yang kita nak. Percayalah iltizam dan kemahuan yang tinggi akan membantu dalam perniagaan yang kita kendalikan,” katanya.