Butik ibu dan bayi Cuddlez sedia barangan berkualiti, halal dan selamat

Selepas berpuluh tahun lamanya Islamiah Idris bekerja makan gaji, beliau akhirnya terpanggil untuk meneroka peluang baharu dalam bidang perniagaan. Memilih perniagaan butik ibu dan bayi, beliau mula bertapak di Dataran Senawang sejak Ogos 2017. Pada awalnya, beliau menamakan perniagaannya sebagai Tateh Senawang dan bermula November 2021, Islamiah menukarnya kepada Butik Ibu dan Bayi Cuddlez.

Bercerita mengenai perjalanannya sebagai usahawan kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, beliau berkata butik ibu dan bayi mempunyai potensi yang tinggi untuk berkembang.

“Selain itu, saya juga berpeluang untuk saya berkongsi pengalaman selaku seorang ibu yang mempunyai enam orang anak. Butik Cuddlez menyediakan barangan ibu dan bayi yang berkualiti, halal dan selamat pada harga yang berpatutan serta suasana yang selesa dan nyaman.

“Bagi membezakan produk yang kami pasarkan dengan butik-butik lain di dalam pasaran, Cuddlez hanya menjual barangan yang telah disahkan Halal dan selamat dari bahan kimia merbahaya. Ini adalah ‘unique selling point’ kami.

“Selain itu, semua kakitangan butik yang digelar Sister Ceria juga telah dilatih dengan terperinci mengenai spesifikasi dan fungsi setiap produk yang dijual. Sister Ceria juga sentiasa bersedia membantu ibu bapa mendapatkan barangan sesuai dengan keperluan dan bajet mereka,” ujar wanita berusia 54 tahun itu.

Ditanya mengenai impak pandemic ke atas peniagaan Cuddlez, Islamiah berkata pandemik yang berlaku merupakan satu tempoh yang sangat mencabar dan banyak memberikan pengajaran, samada dari segi pengalaman berniaga mahupun kehidupan secara keseluruhannya.

“Saya tidak pernah terfikir akan diduga dengan cabaran perniagaan sebegini hebat, jualan yang merosot, bekalan terhad dan terpaksa mempelajari dan menjalankan perniagaan dengan cara baru dalam masa yang singkat.

“Sebelum ini saya selesa berniaga di kedai secara luar talian, tetapi saya terpaksa menukar ke platform dalam talian untuk masa yang singkat dan serba kekurangan. Sesungguhnya jangkamasa pandemik ini mengajar saya supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang perubahan persekitaran dan berhati hati apabila membuat keputusan.

“Apa yang paling penting, sentiasa bersedia untuk mempelajari perkara baru tanpa mengira usia dan kedudukan,” kongsinya lagi.

Selepas lebih lima tahun Cuddlez bertapak, Islamiah merancang untuk mempelbagaikan lagi produk yang ditawarkannya.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, saya berhasrat untuk menjadikan Butik Ibu dan Bayi Cuddlez sebagai pembekal utama pelbagai makanan bayi dan ibu berpantang dan menyusu badan di Negeri Sembilan.

“Saya berharap agar Cuddlez dapat menjadi pengedar utama bagi pembekal dan pengilang makanan bayi dan menerusi kesempatan yang ada, saya boleh panjangkan rezeki dengan membantu agen-agen serta stokis yang berada di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau menambah semangatnya untuk mengembangkan perniagaannya menjadi semakin tinggi dan beliau tidak akan sesekali berputus asa dalam membawa jenama Cuddlez untuk menjadi perhatian lebih ramai pihak.

“Saya mempunyai pasukan yang terdiri daripada empat orang ahli dan mereka inilah yang bersungguh-sungguh membantu saya dalam menjayakan perniagaan ini.

“Saya yakin dalam rezeki saya ada rezeki mereka maka saya mestilah berusaha dengan sehabis baik untuk memajukan perniagaan ini dan membantu mereka meningkatkan kehidupan mereka.

“Selain itu, saya juga amat bersyukur kerana Cuddlez juga mempunyai sejumlah pelanggan tetap yang sentiasa menyokong kami.

“Dengan adanya dorongan seumpama itu, kami mahu memastikan Cuddlez dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik selari dengan sokongan kuat yang mereka berikan selama ini kepada kami,” katanya menutup bicara.