The Graviolaz Empire fokus produk hiliran durian belanda

Buah durian belanda atau nama saintifiknya Annona muricata adalah sejenis buah yang mempunyai kulit tajam berwarna hijau dengan isi berwarna putih yang lembut.

Buah ini mempunyai rasa yang agak kuat dan berlemak. Buah durian belanda mempunyai beberapa manfaat terhadap kesihatan antaranya adalah berupaya mengurangkan paras gula dalam darah, bersifat anti-viral, menghalang kerosakkan sel serta mengurangkan tekanan darah.

Melihat kepada potensi besar yang ada pada tanaman berkenaan, Muhammad Faiz Reduan terpanggil untuk mengkomersialkannya dengan memfokuskan kepada produk hiliran durian belanda. Menerusi syarikat The Graviolaz Empire yang ditubuhkan pada tahun 2022, usahawan muda dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan ini mengusahakan ladang seluas dua ekar yang mempunyai hampir 400 pokok duran belanda.

Bercerita lanjut kepada Entrepreneur Insight, Muhammad Faiz berkata antara tarikan utama di ladangnya adalah terdapat empat jenis baka durian belanda yang sangat jarang ditemui iaitu Pokok Durian Belanda Baka Brazil, Pokok Durian Belanda Baka Ecuador, Pokok Durian Belanda Yala Thai dan Pokok Durian Belanda Bogor.

“Kesemua baka tersebut kami dapati di setiap negara tersebut serta mempunyai kelebihan serta keunikannya yang tersendiri. Selain itu, kami juga menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat dan perunding bagi pelanggan yang ingin membuka ladang durian belanda secara komersial.

“Apa yang saya mahu capai untuk 3 tahun ke hadapan adalah saya ingin memiliki sebuah kilang pemprosesan produk berasaskan durian belanda sendiri serta memperkuatkan lagi rangkaian syarikat saya untuk menembusi pasaran global. “Oleh itu, setiap cabaran yang saya hadapi akan saya perjuangkan dan tempuhi dengan tenang. Selain itu, saya perlu senantiasa mencari jalan penyelesaian serta bersikap tidak mudah berputus asa. Saya juga akan mencuba sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi memenuhi kehendak pelanggan serta saya tidak akan membiarkan perasaan lemah menguasai diri dan tidak akan menghiraukan kata – kata negatif orang terhadap syarikat saya,” jelasnya panjang lebar.

Ditanya mengenai keunikan The Graviolaz Empire, Muhammad Faiz berkata produknya memanfaatkan platform pemasaran digital yang telah terbukti sangat efektif dan terbaik untuk mempromosikan produknya di peringkat global.

“Platform ini sangat membantu serta memberikan kelebihan kepada perkembangan perniagaan saya disebabkan pada zaman ini semua pelanggan kebanyakkannya menggunakan platform media sosial dalam talian seperti Facebook, Instagram, Youtube dan Tiktok untuk mempromosikan produk dipasaran global,” katanya lagi.

Mengulas mengenai pengajaran yang diperoleh daripada pandemik Covid-19 yang berlaku, Muhammad Faiz berkata beliau sentiasa menerapkan sikap tidak mudah berputus asa dan terus berjuang untuk membangunkan perniagaannya.

“Tipulah kalau saya tidak pernah diuji dengan pelbagai ujian dan musibah kerana itu adalah lumrah kehidupan sebagai seorang manusia. Dalam dunia perniagaan ini, kita kena menggunakan pelbagai strategi dan jangan berhenti mencari ilmu sebanyak mungkin.

“Disamping itu, saya juga perlu sentiasa mengingatkan diri saya sendiri kenapa saya memulakan perniagaan ini dan kenapa saya mahu meneruskan perniagaan ini. Disebabkan itu, saya tidak sepatutnya mengalah serta perlu ingat perjalanan saya masih jauh di dalam dunia perniagaan ini.

“Jika saya tidak melakukannya secara konsistan maka sia-sia sajalah usaha penat lelah saya sebelum ini. Selain itu, nekad adalah kunci serta pendorong terbesar di dalam tindakan yang saya lakukan serta kejayaan tidak akan dapat dicapai jika tidak ada ‘Push Factor’ yang membawa kepada tindakan luar biasa,” ujar anak muda dengan semangat luar biasa itu lagi.