Artiq Clean Sdn Bhd mahu perluas jaringan perniagaan perkhidmatan pembersihan profesional

Pelbagai cabang perniagaan kini terbentang luas untuk diterokai oleh usahawan di negara ini. Bidang yang diceburi peniaga ini biasanya satu bidang yang disusuli oleh minat dan kemahiran diri usahawan itu sendiri untuk membangunkan perniagaan.

Bagi usahawan wanita, Sartika Dewi Haji Sahat, perniagaan yang diasaskan beliau itu bermula dengan perniagaan pengubahsuaian rumah dan pejabat terlebih dulu,

“Saya bermula dengan perniagaan pengubahsuaian rumah dan pejabat pada tahun 2007 sehingga sekarang di bawah syarikat Bumi World Enterprise manakala bagi produk kabinet dapur adalah menerusi jenama Hers Carpentry.

“Kemudian, pada 2016 pula, saya meneruskan perjuangan sebagai peniaga dengan menceburkan diri dalam industri pembersihan secara bergerak menerusi jenama artiq pro clean,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Wanita berusia 40 tahun ini, berkata perkhidmatan pembersihan yang beliau lakukan itu lebih memfokuskan kepada  perkhidmatan pembersihan secara mendalam dan antaranya adalah “ spring cleaning” iaitu pembersihan secara mendalam, pembersihan rumah selepas diubah suai dan pembersihan kafe.

“Saya juga pernah terpaksa memberhentikan perkhidmatan kami kepada pelanggan seketika dan memulakan kembali perniagaan ini pada bulan Mac 2021 lalu selepas pandemik melanda negara dan kami antara peniaga yang terkesan dengan kehadiran wabak itu.

“Selepas itu, saya membuat penjenamaan semula artiq pro clean kepada Artiq Clean,” katanya.

Kongsi beliau lagi, setiap produk yang dijual peniaga pastinya mempunyai keistimewaan tersendiri untuk memberi manfaat kepada pelanggan.

Bagi perkhidmatan yang ditawarkan beliau, anak kelahiran Kuching Sarawak ini, berkata kelebihan perniagaannya adalah apabila pihaknya memiliki pengiktirafan British Institute Cleaning Science (BICS).

Manakala, pihaknya turut memiliki kumpulan kakitangan yang terlatih dan dilatih mengikut prosedur operasi standard (SOP) berteraskan BICS.

“Kami juga turut menggunakan mesin berteknologi tinggi seperti mesin skrub,mesin  skrub tangan dan pelbagai lagi mesin berteknologi tinggi yang canggih selain mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan selama lima tahun,” katanya,

Jelasnya, lebih membanggakan lagi, perkhidmatan yang ditawarkan mereka turut menarik minat pelanggan yang memiliki nama besar seperti Kedutaan Republik Korea, Panasonic, Brainy Bunch, Ecoworld dan restoran-restoran terkenal di negara ini.

Katanya lagi, antara kelebihan perkhidmatan yang ditawarkan pihaknya sehingga berjaya menarik perhatian ramai adalah dengan menawarkan perkhidmatan yang memudahkan kerja dengan pantas selain meningkatkan kepercayaan pelanggan.

Beliau berkata, sepanjang pandemik berlaku, beliau sedar bahawa peniaga tidak hanya boleh fokus kepada satu perniagaan saja dan perlu memanfaatkan perniagaan sedia ada selain perlu ada perancangan kewangan yang baik,

Sama seperti usahawan lain, beliau berharap dapat membuka lima cawangan bagi setiap negeri dan menjadikan pusat latihan pembersihan kepada belia yang ingin membuka syarikatpembersihan bergerak dan kepada kontraktor yang ingin menambah cabang perniagan baharu.

“Saya berhasrat menjadikan kebersihan sebagai satu budaya amalan dalam kehidupan kerana kebersihan mendatangkan suasana tenang dan menjamin kesihatan serta kesejahteraan kepada kita,

“Oleh kerana keadaan ekonomi sekarang ini membuatkan ramai wanita perlu keluar bekerja untuk membantu suami. Jadi, kebanyakan mereka tiada masa membuat kerja pembersihan di rumah secara optimum. Jadi, kami dapat membantu memudahkan urusan mereka dengan membuat kerja pembersihan di kawasan yang sukar dilakukan dan mengambil masa.

“Menerusi kepakaran kami, menggunakan alat dan peralatan yang betul mengikut standard operasi, kami berjaya membantu wanita bekerjaya menjimatkan masa melakukan kerja pembersihan di rumah. Jadi mereka ada lebih masa berkualiti dengan keluarga,” katanya.