Berbekalkan ilmu kesihatan yang saya ada sebagai seorang bekas Jururawat, Siti Aisah Mohd Ibrahim memulakan perniagaannya hanya sekadar suka-suka bagi mahu memenuhi masa yang terluang. Menggunakan ilmu yang ada dalam bidang estetik dan urutan, wanita berusia 40 tahun itu pada mulanya menawarkan perkhidmatan cucian kulit wajah hanya kepada rakan terdekat.
“Siapa sangka, ramai yang berminat dan berpuas hati dengan servis yang saya tawarkan, ditambah pula dengan nasihat mengenai pendidikan kesihatan yang saya sering tawarkan sepanjang menjalankan sesi cucian wajah dan urutan. Bermula daripada itu, maka tertubuhlah Seri Spaleisure Services pada tahun 2018,” kata anak kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan itu lagi.
Spaleisure menawarkan perkhidmatan spa berkualiti secara mudah alih menerusi barisan juruterapi berpengalaman dan professional yang memenuhi permintaan dari rumah ke rumah.
Aisah berkata pada masa ini Spaleisure memberi tumpuan hanya di kawasan Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya serta lokasi berhampirannya.
Bercerita lanjut mengenai keunikan perkhidmatan yang ditawarkan, Aisah berkata golongan wanita kini tidak lagi perlu menempuh kesesakan lalu lintas dan perlu meninggalkan anak dalam tempoh yang lama hanya untuk memanjakan diri.
“Walaupun sesi urutan dan cuci wajah dijalankan di rumah pelanggan, kami tetap mewujudkan suasana yang kondusif seperti memasang alunan muzik yang menenangkan diiringi oleh bau-bauan yang segar.
“Produk penjagaan kulit yang digunakan pula adalah daripada bahan botani semulajadi yang tinggi antioksidan dan sesuai untuk semua jenis kulit. Kami juga menawarkan produk kesihatan dalaman bagi memenuhi kecantikan serta penampilan bukan hanya luaran malah dalaman juga dan ia lebih berkesan,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Spaleisure adalah satu-satunya spamudah alih yang mementingkan kecantikan luaran dan dalaman serta kesihatan menyeluruh.
“Di zaman era kesihatan yang agak mencabar, kami yakin perniagaan kami boleh pergi lebih jauh di atas kesedaran rakyat Malaysia akan kepentingan kesihatan juga,” katanya lagi.
Aisah berkata Spaleisure juga tidak terkecuali daripada krisis pandemik Covid-19, bagaimamapun ia telah mengajarnya untuk menjadi lebih matang dalam menguruskan perniagaan.
“Kami menceburi bidang perniagaan yang tepat kerana ia bukan hanya mementingkan aspek kecantikan luaran malahan juga kesihatan dalaman. Kami juga aktif menjalani perkhidmatan pemeriksaan asas kesihatan secara percuma seperti saringan komposisi Indeks Jisim Badan dan saringan kulit selari dengan misi untuk meningkatkan mutu kesihatan pelanggan kami,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran yang mahu dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi, Aisah berkata Spaleisure bukan saja mahu menawarkan servis urutan, berpantang mahupun kecantikan malah kami akan menawarkan kelas latihan untuk para usahawan wanita yang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang ini.
“Menerusi perancangan ini, kami mahu membantu mereka yang mempunyai minat dalam bidang yang sama utk meningkatkan ekonomi keluarga mereka. Selain itu, kami juga akan terus aktif menawarkan kelas kelas tutorial untuk awam mahupun bisnes pada masa akan dtg.
“Sebelum ini pun kami ada juga mendapat jemputan Kolaborasi Badan Persatuan NGO iaitu PEWANGI bersama Puspanita Selangor dalam kursus penataan rias dan penjagaan kulit wajah dalam menjaga penampilan sebagai seorang wanita berkerjaya. Tidak lupa juga beberapa syarikat korporat seperti Woman Networking Selangor mengajar asas solekan untuk menjaga imej usahawan wanita,” ujarnya lagi.
Beliau turut menaruh harapan besar mahu mengemudi Spaleisure sehingga berjaya dan mahu mencapai impian keluarganya.
“Sokongan kuat daripada keluarga saya sendiri, mak, suami, anak-anak dan adik-beradik membuatkan saya tidak akan pernah berputus asa walau apa jua rintangan dan cabaran yang ada,” ujarnya.