Wan Industry kini dikemudi generasi kedua

Produk kudapan atau snek sememangnya mempunyai penggemarnya yang tersendiri kerana ia mudah dimakan dan sering menjadi pilihan utama untuk dinikmati pada waktu santai. Terdapat pelbagai produk kudapan yang ada di pasaran pada masa ini, sama ada produk makanan ringan tradisional ataupun barat. Antaranya termasuklah kerepek ubi kentang, bertih jagung, kerepek ubi, kerepek pisang dan sebagainya.

Bagi Wan Maslina Wan Mahmood, beliau kini menggalas tanggungjawab untuk mengemudi perniagaan Wan Industry warisan keluarganya yang sudah beroperasi di Kuantan, Pahang sejak tahun 1988. Sebagai generasi kedua perniagaan berkenaan, wanita berusia 37 tahun itu mahu terus mengembangkan operasi syarikat bukan sahaja di Kuantan, malah beliau juga menyasar untuk menembusi pasaran baharu.

Bercerita lanjut mengenai perniagaan Wan Industry, anak kelahiran Kuantan itu berkata syarikatnya merupakan sebuah syarikat memproses makanan ringan tradisional seperti rempeyek, rempeyek telur masin, biskut kacang, kuih sepit, kuih gulung , kerepek dan pelbagai lagi produk makanan ringan.

“Kami sudah beroperasi dari tahun 1988 dan saya adalah generasi yang kedua yang mengemudi perniagaan ini. Pada masa ini, Wan Industry mempunyai dua buah cawangan yang terletak di Kuantan dan juga Pekan.  Syarikat kami juga menyediakan perkhidmatan OEM (kilang jenama sendiri),” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai keunikan produk keluaran Wan Industry, Wan Maslina berkata antara kelebihan utama yang ada pada produk makanan ringan keluarannya adalah ia mengekalkan resepi tradisional turun temurun dengan rasanya yang asli.

“Bagaimanapun, kami tetap menuruti peredaran zaman dan tidak hanya menggunakan model perniagaan masa lalu. Justeru, kami juga menawarkan pilihan kerepek atau rempeyek berperisa seperti contoh, rempeyek telur masin.

“Dengan adanya sedikit sentuhan inovasi terhadap produk rempeyek kami, iaitu dari perisa asli kepada perisa telur masin, ia dapat menjadi antara tarikan kepada pembeli, terutamanya daripada golongan muda.

“Bagaimanapun, penggemar rasa asli tidak perlu gusar kerana kami masih mengekalkan resepi tradisi turun-temurun kerana ia mempunyai peminatnya yang tersendiri,” ujarnya sambal menambah strategi berkenaan telah memberikan kelebihan kepada perkembangan perniagaan kami.

Beliau berkata, selain itu, antara sebab utama Wan Industry masih mengekalkan rasa dan resepi yang asli adalah kerana mereka ingin produk makanan ringan seperti rempeyek, masih dikenali.

“Penting untuk setiap golongan masyarakat di negara ini mengenali dan boleh membezakan makanan ringan tradisional mereka iaitu rempeyek,” katanya lagi.

Wan Maslina berkata, beliau turut terkesan dengan pandemik yang melanda negara baru-baru ini, dan beliau berpesan kepada usahawan lain agar sentiasa menunjukkan sifat juang dan kental yang tinggi.

“Mereka juga harus mempunyai tahap kesabaran yang tinggi malah tidak mengenal erti putus asa. Selain itu, mereka juga harus memantapkan aspek pemasaran produk.

“Di Wan Industry, kami juga telah belajar untuk memasarkan produk kami secara dalam talian iaitu menerusi platform Instagram, Facebook, WhatsApp, Shoppe, Lazada dan sebagainya.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, saya menyasar untuk membuka kilang di atas tanah sendiri serta mengambil pekerja yang ramai dan berkaliber dalam team produksi. Selain itu, saua juga mahu meningkatkan produktiviti bagi menampung permintaan pelanggan yang semakin bertambah,” katanya.

Ditanya mengenai mengapa beliau masih bertahan dalam bidang perniagaan ini, Wan Maslina berkata ini kerana Wan Industry adalah perniagaan turun temurun.

“Jadi saya ingin memperkenalkan perniagaan dan produk kami ke seluruh Malaysia malah ke luar negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia serta negara Asia yang lain.” Katanya.