Mahu anak-anak teruskan legasi Anchali Kitchenware Store

Pernah berhadapan tekanan semasa bekerja makan gaji sehingga menyebabkannya dimasukkan ke hospital ekoran sakit migrain yang kronik, Shitera Devi A/P Subramaniam mula memikirkan mengenai perancangan masa depannya.

“Berapa lama lagi aku perlu bertahan dengan suasana kerja sebegini? Adakah syarikat akan mengotakan janji untuk menyediakan laluan kerjaya?,”

Itu adalah antara soalan yang kerap kali ditanya kepada dirinya sendiri. Yakin dengan bakat dan potensi yang ada pada dirinya, Shitera Devi tidak mahu membuang masa lagi lantas mencari jalan untuk memulakan perniagaan sendiri.

Wanita berusia 45 tahun itu berkata beliau membuat penyelidikan mendalam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya mengasaskan Anchali Kitchenware Store selepas mendapat ilham untuk memulakan perniagaan. Saya mahu meninggalkan legasi yang boleh diwarisi oleh anak-anak saya. Anchali Kitchenware Store diasaskan secara separuh masa sejak tiga tahun lepas, dan kini syarikat saya sudah dua tahun berkembang menjadi perniagaan,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Shitera Devi berkata beliau menyedari pada masa ini perniagaan e-dagang sememangnya menjadi ‘trend’ utama kerana ia mampu memberikan pulangan yang tinggi.

“Jadi saya mula belajar mengenai cara pemasaran walaupun ketika itu saya masih lagi berkerja makan gaji. Ia penting untuk memajukan perniagaan saya kelak. Bertitik tolak dari situ, saya juga belajar ilmu perniagaan e-dagang  seperti, Lazada, Shopee, IG, FB untuk perkembangan perniagaan saya.

“Apabila saya sudah mengetahui sedikit sebanyak selok-belok pemasaran, barulah saya memulakan perjalanan saya dalam dunia keusahawan ini, dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan semangat yang membara,” ujar anak kelahiran Selangor itu.

Ditanya mengenai keunikan produknya, Shitera Devi berkata mereka menyediakan perkhidmatan yang cepat dan responsif sambil memudahkan proses pembelian untuk pelanggan dengan menyediakan katalog di dalam aplikasi Whatsapp.

“Pelanggan yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa untuk pergi membeli barangan peralatan dapur, boleh memesan melalui atas talian daripada kami. Kami juga menyediakan struktur pembayaran ansuran untuk pelanggan membeli dengan mudah dan tidak membebankan.

“Menerusi perkhidmatan yang kami sediakan, pelanggan tidak perlu risau dan fikir panjang. Mereka tidak perlu meluangkan banyak masa untuk pergi jalan keluar dengan kereta. Mereka boleh menjimatkan masa wang dengan membuat belian secara dalam talian dengan kami.

“Selain itu, gambar produk juga telah tersedia dalam katalog, lengkap dengan saiz dan maklumat produk yang lain.

“Pelanggan kami akan mendapat gambaran yang jelas dan boleh membuat keputusan dengan serta merta. Kami juga sedia menjawab sebarang solan dengan pantas,” katanya.

Shitera Devi turut berkongsi pelajaran yang diperoleh daripada pandemic Covid-19 yang berlaku bukan saja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

“Ramai orang hilang peluang pekerjaan, hilang mata pendapatan. Menerusi pengalaman saya sendiri, saya percaya dan faham bahawa kerja yang kita lakukan bukanlah sesuatu yang abadi. Kita perlu cari apa big “Why” kita, dan seterusnya mencari jalan untuk melaksanakan pelan kita.

“Saya agak beruntung kerana ‘trend’ pembelian secara dalam talian mencatatkan peningkatan semasa pandemic menerusi pelbagai platform e-dagang yang ada.  Bagi saya, ini adalah peluang keemasan yang harus digunakan dengan cara positif, jadi saya mengambil kesempatan tanpa berlengah lengah lagi untuk memulakan bisness atas talian saya – Anchali Kitchenware Store,” katanya.

Dalam tempoh tiga tahun lagi, beliau menyasar untuk meningkatkan produk jualannya dengan penawaran produk yang lebih unik.

“Maklum balas daripada pelanggan kami adalah amat penting bagi kami mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

“Selain itu, saya mempunyai misi dan visi yang jelas dalam mengemudi kehidupan saya. Saya mahu membantu memperkasakan wanita dalam perniagaan di samping menjadi usahawan wanita yang berjaya dan mantap,” katanya.