Golongan wanita amat mementingkan aspek kecantikan dan kesihatan kulit wajah dan ramai yang sanggup melabur ratusan ringgit setiap bulan bagi memastikan kulit mereka berada dalam keadaan yang baik.
Antara masalah yang kerap dihadapi oleh golongan wanita apabila memperkatakan tentang kulit wajah ini adalah masalah kulit berminyak, jerawat yang tumbuh dengan banyak serta bitnik hitam dan juga jeragat.
Kita juga dapat melihat kewujudan banyak pusat estetik yang tumbuh bak cendawan selepas hujan sejak akhir-akhir ini memandangkan permintaan yang semakin tinggi, ditambah pula dengan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan masyarakat untuk mula menjaga kulit wajah mereka.
Bagi Aisyah Yunus, beliau menerusi syarikatnya Sent Enterprise menjalankan perniagaan Medi Spa dan beliau sudah berkecimpung selama lebih kurang dua tahun dalam bidang berkenaan. Bercerita mengenai latar belakang perniagaan dan apa yang menyebabkannya terjun ke bidang keusahawanan, wanita berusia 32 tahun itu berkata pada mulanya beliau menerima banyak aduan daripada pelanggannya yang mempunyai masalah kulit.
“Ramai pelanggan yang saya temui rata-ratanya mempunyai pelbagai masalah kulit dan menyedari hakikat ini, saya terpanggil untuk memperkenalkan produk keluaran syarikat saya sendiri yang diyakini dapat membantu mengembalikan kesihatan wajah tanpa sebarang cela.
“Apa yang menarik mengenai produk keluaran syarikat saya ini adalah ia dihasilkan dengan gabungan sel stem dan niacinamide. Sel stem merupakan satu jenis sel di dalam badan kita yang berfungsi untuk menjana semula tisu dan organ apabila terdapat kerosakan ataupun kecederaan.
“Manakala niacinamide, juga disebut nicotinamide pula adalah satu bentuk vitamin B3 yang merupakan nutrien penting. Kekurangan B3 boleh menyebabkan gangguan pada kondisi kulit, ginjal, dan otak. Pengambilan niacinamide juga dapat membantu mencegah kekurangan B3.
“Terdapat banyak lagi manfaat niacinamide yang lain, terutamanya terhadap kesihatan kulit secara umum. Walaupun perkara ini memerlukan lebih banyak penyelidikan, namun manfaat niacinamide dikatakan membantu dalam merawat keadaan kulit tertentu, termasuk jerawat dan alergi,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu kepada Entrepreneur Insight dalam satu temubual baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Aisyah berkata dengan adanya gabungan sel stem dan niaciamide itu dalam satu produk, ia membantu memberikan satu kepuasan kepada pengguna yang mahu memperbaiki kesihatan kulit mereka agar ia tampil cantik dan berseri.
“Kelebihan yang ad aitu juga dapat membantu saya untuk mengembangkan lagi perniagaan dan mempromosikan produk kulit wajah yang saya hasilkan.
“Walaupun usia saya masih muda, saya yakin dapat menjadi usahawan yang berjaya dan dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasar untuk membantu lebih ramai orang di luar sana khasnya golongan wanita yang bergelut dengan masalah kulit.
“Saya mahu memasarkan produk saya ke peringkat yang lebih tinggi dan mahu berkongsi pengalaman saya dalam membantu pelanggan-pelanggan saya mendapatkan kulit wajah yang lebih sihat dan berseri,” katanya.
Aisyah berkata pandemik Covid-19 yang berlaku telah membuatkannya sedar bahawa segala kemungkinan yang berlaku adalah satu proses yang mana sebagai seorang usahawan, beliau harus sentiasa mencari jalan keluar daripada masalah yang melanda.
“Sentisa berfikiran positif, sentiasa berusaha mencari jalan kepada masalah yang datang dan terima hakikat bahawa setiap apa yang berlaku adalah satu hikmah untuk kita terus maju ke hadapan.
“Berpegang kepada pendirian itu, ia menjadikan saya lebih kuat dan akan terus berjuang dalam memastikan operasi syarikat saya bertambah baik dan produk saya diterima pengguna,” katanya menutup bicara.