Kekangan kewangan yang dialami semasa anak-anak masih kecil membuatkan dua sahabat, Saharah Mohamad, 45, dan Rabiah Long, 40, yang berasal dari Bera terpanggil untuk membantu menaikkan ekonomi keluarga masing-masing.
Enggan mengabaikan urusan rumah tangga dan anak-anak, kedua-dua wanita itu mula mencari idea untuk menjalankan perniagaan dari rumah bagi mencari rezeki tambahan. Mereka bermula dengan memasak dalam kuantiti yang sedikit untuk dijual kepada jiran tetangga, sebelum berkembang menerusi pemasaran secara lisan kepada setiap pelanggan.
“Untuk pemasaran tempatan, kami mengeluarkan beberapa produk yang boleh dimakan terus iaitu, Laksa Daging Selambak, Bihun Daging Selambak, Rojak Buah Istimewa, Paru Sambal dan pelbagai lagi menu masakan melayu dan barat yang pasti memikat selera siapa sahaja merasainya.
“Manakala bagi produk sambal hitam dan kerepek pisang pula, resepi yang kami olah sendiri ini semakin mendapat sambutan tidak sahaja dalam pemasaran tempatan malahan sehingga ke Sabah dan Sarawak melalui kiriman penghantaran,” katanya kepada Entrepreneur Insight dalam satu temubual baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Saharah berkata sambal hitam jenama Rcahayafoods yang dikeluarkannya telah melalui beberapa peringkat penyelidikan.
“Walaupun perniagaan ini secara kecilan sahaja, kami tidak menolak pentingnya kualiti produk yang ingin dipasarkan pada pelanggan. Selain dari menggunakan bahan mentah yang berkualiti sahaja, Sambal Hitam Rcahayafoods tidak menggunakan bahan pengawet dan mempunyai jangka hayat yang panjang sekitar 6 bulan hingga 1 tahun. Begitu juga dengan kerepek pisang yang menyediakan pilihan pelbagai dan tidak mempunyai bahan pengawet.
“Dengan keunikan rasa sambal hitam ini, ianya berbeza dari sambal hitam yang anda pernah rasa di luar sana. Sangat membuka selera dan ianya menjadi kegemaran seisi keluarga tanpa mengira umur. Ia pedas dan memukau. Ramai memilih Sambal Hitam Rcahayafoods sebagai peneman untuk perjalanan jauh samada darat, laut atau udara, perkemahan, penghuni asrama dan sebagainya.
“Manakala untuk produk yang dimakan terus, kami menjamin ianya dimasak segar setiap hari dari bahan yang berkualiti sahaja dan boleh dibuat tempahan untuk penghantaran ke pintu rumah dalam jarak 10-20 km. Kami juga bersedia untuk menyediakan pelbagai menu yang diminta pelanggan mengikut kegemaran,” jelasnya lagi.
Saharah berkata walaupun banyak sektor terpaksa diperlahankan dan ada yang terhenti disebabkan kekangan pergerakan semasa Covid-19 berlaku, namun Sambal Hitam Rcahayafoods dan kerepek pisangnya sentiasa mendapat permintaan dari surirumah.
“Ini kerana pelanggan boleh membuat pembelian secara dalam talian dan dihantar terus ke pintu rumah. Namun begitu penghantaran untuk masakan sedia dimasak tetap juga berjalan seperti biasa mengikut peraturan semasa pandemik.
“Semasa pendemik, kami berganding bahu untuk meluaskan perniagaan dengan cara menyediakan servis penghantaran makanan di pejabat-pejabat dan agensi kerajaan serta sekolah-sekolah yg berdekatan,” katanya lagi.
Usahawan wanita itu menambah bahawa dalam tempoh tiga tahun, beliau merancang perjalanan Rcahayafoods supaya ada perkembangan dari segi teknik pemasaran, kualiti produk dan kenaikan keuntungan untuk syarikat.
“Kami juga bercita-cita mewujudkan sebuah tempat proses dan pemasaran yang lebih strategik untuk memudahkan pergerakan syarikat kami. Dalam masa yang sama, kami bercita-cita untuk menjadikan masakan sedia dimakan kami dapat menggunakan teknologi terkini seperti teknologi retort yang dapat memanjangkan jangka hayat masakan kami untuk lebih mendapat tempat dipasaran. Kami juga bercita-cita untuk mengambil kakitangan dibahagian pengeluaran,” ujarnya.
Beliau turut menasihati rakan usahawan di luar sana agar jangan pernah berputus asa jika datang sesuatu ujian yang buat perasaan tertekan.
“Berhenti dan berehat seketika untuk mengubah masalah menjadi peluang. Perkuatkan diri dan perbaiki setiap kelemahan. Allah tidak mendatangi hambaNya dengan ujian selain untuk menguatkan. Selalu mengingatkan kembali tujuan asal kita menjebakkan diri ke dalam dunia perniagaan. Apakah ‘The big why’ kita. In sya allah kita tak akan mudah putus asa,” katanya lagi.