Cabar diri dalam kemahiran hiasan dalaman

Semua orang pastinya mempunyai impian untuk menghiasi rumah mereka dengan gaya yang mereka ingini. Ada yang memilih konsep minimalis, ada juga yang gemarkan stail English, malah ada juga yang mahukan kediaman mereka ditatarias dengan konsep industri. Melihat kepada potensi yang ada pada kemahiran hiasan dalaman yang mana ia semakin mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna, Mohamad Khairul Mohamad mencabar dirinya untuk terjun ke dalam bidang berkenaan.

Langkah pertamanya bermula apabila beliau menubuhkan syarikat MOHK Resources, iaitu sebuah syarikat milikan tunggal pada tahun 2012.

Bercerita kepada Entrepreneur Insight mengenai pembabitannya dalam bidang hiasan dalaman, anak muda itu berkata semuanya bermula daripada galakan rakan sebaya.

“Mereka memberikan idea kepada saya untuk membekal dan memasang produk hiasan dalaman serta mendorong saya menjadi pengusaha perniagaan dalam industri berkenaan di negara ini.

“Dari situlah terlahirnya ilham untuk menghasilkan perkhidmatan, produk, kertas dinding, ‘blind’, kemasan lantai SPC, Timber dan Vinyl, ‘wainscoting’, panel dinding dan pelbagai lagi produk keluaran syarikat saya.

“Saya menubuhkan MOHK Resources pada Mac 2012 dan syarikat ini mendapat bimbingan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah kelolaan organisasi bukan kerajaan iaitu Mahabbah Malaysia,” tambahnya lagi.

Mohamad Khairul berkata MOHK Resources beroperasi di daerah Klang, Selangor. Bagaimanapun, perkhidmatannya tidak terhad hanya untuk penduduk di Lembah Klang sahaja malah merangkumi hampir semua negeri di negara ini, kecuali di Sabah dan Sarawak.

“Seperti yang dapat kita perhatikan sejak kebelakangan ini, masyarakat lebih mengutamakan produk atau perkhidmatan yang pantas dan siap dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Justeru, pihak syarikat sentiasa memantau kemajuan setiap projek yang kami jalankan bagi memastikan ia dapat siap mengikut jadual. Selain itu, kami juga menawarkan hasil kerja yang berkualiti tinggi serta menggunakan produk yang tahan lama.

“Produk kami juga ditawarkan dengan jaminan antara tiga hingga enam bulan, tidak seperti produk-produk lain yg berada di pasaran.

“Oleh yang demikian, perkara ini membezakan mutu dan perkhidmatan kami berbanding syarikat lain. Kelebihan yang ada pada kami ini membolehkan syarikat MOHK Resources maju setapak kehadapan berbanding pesaing lain,” katanya lagi.

Bergelar usahawan, sudah tentu Mohamad Khairul perlu berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran dalam membangunkan syarikatnya. Sama seperti usahawan lain, beliau juga tidak terkecuali dengan ujian pandemic Covid-19 yang melanda dunia pada 2020.

“Pandemik yang berlaku baru-baru ini cukup meninggalkan kesan yang mendalam kepada syarikat, banyak perkara yang kami pelajari untuk bangkit semula daripada saat sukar itu.

“Pengalaman ini mengingatkan kami untuk terus berusaha dan mencapai sasaran setiap bulan iaitu  10 projek perlu disiapkan dalam tempoh dua minggu sahaja. Ini bagi memastikan pelanggan kami tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mencantikkan rumah mereka,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran MOHK Resources dalam tempoh tiga tahun akan datang, beliau berkata pihaknya menyasar untuk menguruskan projek hiasan dalam bernilai puluhan juta atau berurusan terus dengan pemaju-pemaju perumahan yang ada di negara ini.

“Kami berazam ingin membuka peluang pekerjaan kepada rakyat malaysia yang diberhentikan kerja terutamanya pada musim pandemik selain mencari mereka yang minat untuk menceburi dunia hiasan dalaman.

“Inilah yang menjadi penguat semangat  saya untuk terus melangkah dan tidak putus asa. Kami berasa seronok apabila dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya menutup bicara.