Paya Besar Enterprise

PAYA BESAR  ENTERPRISE: Mahu bina hub perniagaan “ Paya Besar Mart” untuk   pasaran produk berskala besar , bantu lebih ramai ejen produk .

Jatuh bangun dalam dunia perniagaan bukan sesuatu yang luar biasa bagi mereka yang bergelar peniaga  memandangkan ramai dalam kalangan usahawan yang berjaya hari ini, melalui pelbagai detik mengecewakan sebelum merangkul kejayaan sebagai usahawan.

Sama seperti yang berlaku kepada usahawan, Siti Rohaida, beliau ada kisah menarik yang mungkin boleh dikongsi usahawan senasib yang pernah melalui zaman kejatuhan ketika sedang meniti  ke puncak kejayaan.

 Kongsi, Siti  Rohaida, syarikat yang dimilikinya kini, Paya Besar Enterprise, mula ditubuhkan pada Oktober 2019.

“ Ia bermula ketika isu kebun cili kami mengalami masalah keruntuhan harga cili bagi cili gred B, yang  mana cili gred A di jual pada harga RM7 tetapi cili gred B hanyalah RM1.

“ Untuk mengelakkan kerugian,kami mula  terfikir untuk melahirkan sesuatu produk berasaskan  cili ” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Lebih memahat semangat, wanita berusia 34 tahun ini  beruntung kerana idea serta usahanya mendapat perhatian daripada Jabatan Pertanian Daerah Kuantan, Pahang.

“ Alhamdulillah kami beruntung kerana disokong badan kerjaaan yang cukup cekap dalam membantu dan memberi tunjuk ajar.

“ Pihak jabatan  juga memberi banyak idea dan membantu kami dengan membawa tenaga pengajar untuk kami mengeluarkan produk sendiri iaitu  sos pencicah dan kuah rojak.

“Setelah bertahan selama setahun,  sekarang kami terus mengeluarkan produk terbaru iaitu,pes masak tempoyak,serta set ikan patin dan pes tempoyak yang juga menggunakan sumber dari sangkar peliharaandan  juga dari ladang cili bara kami sendiri,” katanya.

Kata beliau yang berasal daripada Kuantan, Pahang ini lagi, sebagai menghargai sokongan pelanggan terhadap perniagaan baharu mereka ini, beliau menawarkan perkhidmatan penghantaran secara percuma kepada setiap pelanggan  pada setiap Jumaat namun tertakluk di daerah Kuantan sahaja.

Kongsi beliau, ini memandangkan pelanggan biasanya banyak membeli produk makanan pada hari Jumaat memandangkan pada hari Sabtu dan Ahad mereka yang  bekerja akan bercuti.

“ Jadi kami mengambil peluang itu dengan tidak mengenakan bayaran penghantaran kepada  pelanggan di daerah Kuantan sahaja dan inilah   cara kami  menghargai pelanggan setia  kami,” katanya.

Jelas wanita ini, walaupun negara dilanda wabak pandemik secara berterusan, beliau melihat sektor makanan  tidak begitu terjejas berbanding industri lain.

Ini kerana makanan adalah satu keperluan dan beliau turut melihat ia sebagai peluang untuk membantu ejen di bawah perniagaannya yang melalui fasa kehilangan pekerjaan menjana pendapatan berdasarkan jualan produk yang diketengahkan beliau secara mudah.

Sama seperti usahawan lain, beliau ingin mencapai lebih kejayaan di masa akan datang. Antara hasrat utamanya adalah untuk membuka hub perniagaan secara fizikal menerusi ‘Paya Besar Mart”

“ Saya juga akan memastikan  pendapatan jualan saya konsisten setiap bulan dan pada masa sama mahu mencari lebih ramai ejen jualan bagi memastikan  ‘” Paya Besar Mart” saya nanti akan utuh berdiri dan tidak goyah dengan masalah dan cabaran yang bakal dihadapi,” katanya.

Jelas beliau lagi,  sehingga hari ini beliau tidak pernah berputus asa dengan dugaan yang dilalui atas harapan untuk terus membantu ejen jualan produknya yang bersemangat untuk berjuang bersamanya.

“ Malah kisah suka duka ejen jualan saya yang tidak pernah  mengira penat lelah untuk sama sama berjaya bersama kami  tersemat  di hati saya.

“Melihat kecekalan mereka,saya yakin bahawa saya  juga tidak boleh patah semangat walaupun berbagai dugaan yang harus saya tempuh. Ia juga berkat sokongan keluarga yang mana ia sumber semangat untuk saya terus berjuang.,” katanya.