Madu Tualang Asli Ash-Shakur dijamin berkualiti

Khasiat madu tualang sememangnya sudah diakui secara saintifik kerana ia mempunyai sifat antibakteria yang baik serta boleh digunakan untuk merawat luka. Kajian klinikal turut menunjukkan bahawa madu tualang boleh meningkatkan memori. Selain itu, madu tualang juga boleh meningkatkan kepadatan tulang dan membantu mengurangkan kesan osteoporosis.

Bagi Mohd Syafeeq Mohd Hassim, tujuan beliau menjual produk Madu Tualang Asli Ash-Shakur adalah kerana dua sebab utama iaitu mahu semua umat islam dapat mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW dimana jua mereka berada dengan produk asli pada harga yang mampu milik.

“Selain itu, saya menjalankan perniagaan bagi membiayai pengajian saya di pondok pesantren di Indonesia. Tambahan pula pada masa itu saya dan isteri baru dikurniakan cahaya mata, jadi kami harus mencari pendapatan bagi menampung kos sara hidup kami sekeluarga,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Mohd Syafeeq yang berasal dari Shah Alam, Selangor berkata menerusi syarikatnya Wake Up Ummah Resources, beliau mencari pengusaha madu tualang.

“Bermacam-macam sampel madu yang kami terima. Semuanya kami selidik dulu kemudian barulah kami membuat keputusan dari hasil madu mana yang kami mahukan dan dari situ bermulalah segalanya.

“Keunikkan produk Madu Tualang Asli Ash-Shakur ini ialah keasIian dan kualitinya. Sebelum penghantaran dilakukan, saya sendiri akan pergi ke nusantara dan bersama dengan rakan-rakan di Indonesia, saya mengikut mereka untuk pengambilan madu tualang tersebut.

“Saya juga menyediakan beberapa rakaman perjalanan saya ke dalam hutan untuk mengukuhkan lagi kepercayaan kepada pelanggan Selain itu, madu tualang kami juga mempunyai banyak khasiat dan inshAllah menerusi maklum balas daripada pelanggan-pelanggan kami, madu kami telah membantu mereka dalam pelbagai urusan.

“Sebagai contoh, memberi tenaga untuk sepanjang hari, menurunkan kencing manis, badan menjadi segar dan lain-lain lagi. Perkara ini amat menggembirakan kami kerana ia selaras dengan slogan syarikat iaitu “Ikhtiar itu milik kita, Sembuh milik Allah”,” kata usahawan berusia 37 tahun itu lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Syafeeq berkata antara kelebihan yang ada pada produk Madu Tualang Asli Ash-Shakur adalah ia didatangkan dengan pelbagai khasiat.

“Madu tualang ini juga boleh digunakan bila-bila masa dan di mana jua. Tidak kira dalam masakan, atau sebagai makanan tambahan. Ia juga merupakan syifa’ (penyembuh) pada setiap penyakit dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Madu ini adalah khazanah Allah yang luas penggunaan dan manfaatnya. InshaAllah,” katanya lagi.

Sebagai seorang usahawan yang banyak bergantung kepada bekalan madu dari negara jiran, Mohd Syafeeq juga tidak terkecuali daripada diuji dengan pelbagai cabaran semasa wabak Covid-19 melanda dunia dan negara kira-kira tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

“Hidup ini singkat. Kadang di atas, kadang kita di bawah. Oleh itu beringatlah. Setiap sesuatu yang Allah adakan itu pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Syukur dan hargailah dengan apa yang kita ada di sekeliling kita,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya dalam tempoh tiga tahun lagi dan bagaimana beliau mahu mencapainya, Mohd Syafeeq berkata beliau menyasar untuk memasarkan lebih banyak produk berasaskan lebah.

“InshaAllah saya ingin mengeluarkan pelbagai lagi produk-produk lain yang berasaskan lebah dengan cara meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kelebihan yang ada pada lebah.

“Demi tanggungjawab saya terhadap anak, isteri dan umat Islam, saya tidak akan berputus asa dan mahu terus berjuang untuk membangunkan perniagaan saya,” katanya lagi.