Koci Leleh pulut hitam jadi taruhan Kak Rose

Kuih koci adalah antara ratusan kuih tradisional yang mempunyai ramai penggemar tersendiri. Ia adalah hidangan yang sesuai dihidangkan sebagai pencuci mulut semasa sarapan pagi mahupun dinikmati pada waktu petang.

Seiring dengan peredaran zaman, ramai penggemar kuih ini tidak mempunyai masa untuk menyediakannya sendiri dan memilih untuk membeli kuih koci yang sejuk beku supaya ia boleh disimpan lebih lama dan boleh dihidangkan mengikut kehendak mereka.

Antara pengeluar produk kuih koci terkenal adalah syarikat DD Trisyia Mayra Trading yang berpangkalan di Bandar Alor Gajah, Melaka. Pengasasnya, Norosiza Mohamad, 40, berkata syarikatnya mengeluarkan produk kuih koci leleh jenama Trisyia Mayra yang kini dibekalkan di sekitar Melaka, Putrajaya, Kedah dan beberapa kawasan lain.

“Aktiviti utama syarikat adalah menghasilkan produk kuih koci leleh tradisional yang berkualiti, halal dan semestinya lazat serta sedap menepati citarasa peminat kuih koci. Pada masa ini, kuih koci jenama Trisyia Mayra didatangkan dalam empat perisa iaitu pulut hitam, kacang merah, labu dan juga pandan,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, beliau yang lebih mesra disapa Kak Rose itu berkata kuih koci leleh pulut hitam dalam bentuk sejuk beku dan juga yang sedia dihidang adalah produk ‘best seller’ syarikatnya.

“Ia adalah produk yang dihasilkan dengan menggunakan resepi tradisional keluarga. Ia tahan selama empat bulan jika berada di dalam peti sejuk beku dan empat hari jika di letakkan di petis sejuk biasa.

“Paling penting, penghasilannya dibuat tanpa sebarang bahan pengawet dan tanpa bahan pewarna. Ia juga mudah disediakan. Jika dalam keadaan sejuk beku, hanya stimkan selama lima minit sahaja dan boleh terus dimakan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata dengan mewujudkan pusat pemprosesan dan penghasilan kuih koci tradisional, pihaknya telah dan akan menjalinkan kerjasama dengan rangkaian penjaja makanan, pengusaha kantin sekolah dan kilang, Halal Mart, rangkaian hotel dan rangkaian bekalan runcit.

“Kami juga menerima tempahan khas daripada agensi kerajaan dan agensi swasta serta orang perseorangan bagi juadah untuk majlis keraian,” katanya sambil menambah bahawa pandemik Covid-19 yang berlaku telah membuatkan beliau sedar yang setiap masalah ada ruang dan setiap ruang ada peluang.

“Justeru, saya sentiasa bersikap positif semasa berhadapan dengan pandemik ini. Ini kerana perniagaan saya juga tercipta disebabkan oleh pandemik yang melanda. Ketika itulah ramai orang mula tertumpu pada platform media sosial, jadi ini adalah peluang untuk saya kembangkan lagi aspek pemasaran produk saya.

Dalam kemelut ekonomi yang tidak menentu itu, saya ingin terus membantu pelanggan-pelanggan saya yang berhadapan dengan masalah seperti kesuntukan masa untuk bersarapan. Saya mahu mereka boleh memulakan hari dengan ceria selepas memakan kuih koci leleh keluaran syarikat saya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam tempoh tiga tahun lagi, beliau mahu membantu lebih ramai orang menjana pendapatan tambahan.

“Selain itu, saya juga menyasar untuk meletakkan 1,000 peti sejuk beku di setiap pam minyak dan pasaraya besar dan mahu mencapai jualan RM1 juta setahun. InsyaAllah, dengan bimbingan dan panduan yang diterima, saya mahu melebarkan sayap syarikat bukan sahaja ke seluruh negara tetapi juga ke luar negara.

“Memandangkan produk kuih koci leleh kami telah mendapat perhatian pembeli di dalam negara, justeru pihak pengurusan melihat ia sebagai suatu tanda positif bagi pihak syarikat untuk terus bertindak dan mengembangkan bisnes ke peringat yang lebih luas lagi,” katanya.