Kekal bergaya dengan Nade El Luna

Fesyen adalah satu industri yang bergerak dengan pantas seiring dengan perkembangan dan peredaran zaman. Ia sentiasa berubah dan mempunyai pasaran yang amat kukuh kerana boleh dikatakan hampir semua wanita di dunia suka membeli-belah pakaian dan mencuba fesyen baharu yang ditampilkan.

Ada yang gemarkan fesyen ‘evergreen’ yang tidak lapuk ditelan zaman, ada juga yang lebih berani mencuba fesyen yang agak ‘daring’. Di Malaysia, ada satu lagi segmen fesyen yang mungkin dianggap kecil tetapi mempunyai pasaran khusus (niche market) iaitu fesyen busana Muslimah yang memenuhi keperluan penggemar fesyen yang mahu menjaga batasan aurat mereka.

Pengasas jenama Nade El Luna, Nurul Farhana Ab Azid berkata beliau mengeluarkan pakaian yang selesa tetapi masih tampak bergaya. Katanya, jenama Nade El Luna terkenal dengan koleksi pakaian yang didatangkan dalam warna yang ceria dan paling penting ia dijual pada harga yang mampu milik.

“Koleksi yang dikeluarkan juga selesa dipakai untuk pakaian harian dan kebanyakan baju Nade El Luna diperbuat daripada material kapas yang sejuk. Produk kami lebih fokus kepada aspek keselesaan yang mana potongan baju juga adalah lebih longgar,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Mengulas mengenai perjalanannya dalam dunia perniagaan, Nurul Farhana berkata beliau terinspirasi untuk menjadi usahawan memandangkan beliau sendiri mempunyai latar belakang keluarga yang menjalankan perniagaan.

“Ramai ahli keluarga saya yang menjadi usahawan dan berniaga makanan, produk kecantikan, perkhidmatan percetakan dan beberapa lagi perniagaan kecil. Jadi, saya seakan sudah terdedah kepada dunia berkenaan sejak saya kecil lagi,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata menerusi perniagaan Nade El Luna yang diasaskan pada tahun 2012, beliau menawarkan koleksi pakaian Muslimah yang selesa dan sepanjang lebih 10 tahun berniaga, jenama berkenaan kini sudah mempunyai pengikut setianya yang tersendiri.

“Menerusi pelanggan setia Nade El Luna, mereka menyebarkan kelebihan fabrik kami kepada keluarga dan rakan terdekat mereka. Ramai yang sukakan fabrik yang kami gunakan kerana ia sesuai dengan cuaca di negara ini.

“Dengan komen-komen yang positif ini, pelanggan kami menjadi semakin bertambah dari tahun ke tahun,” kata wanita berusia 37 tahun ini lagi.

Ditanya mengenai cabaran yang ditempuh semasa pandemik Covid-19, beliau berkata pandemik yang berlaku telah mengajarnya untuk menggunakan apa sahaja sumber yang ada dengan sebaik mungkin.

“Selain itu, kami juga memberikan tumpuan yang lebih kepada aspek pemasaran dan mencari idea yang lebih kreatif untuk menghasilkan kandungan (content) media sosial yang dapat menarik hati pelanggan sedia ada mahupun yang baharu.

“Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasar untuk menaikkan jualan produk Nade El Luna sehingga dua kali ganda dan menghasilkan ‘content’ yang lebih padu. Saya juga mahu mengembangkan jumlah pengikut di platform media sosial kami sehingga tiga kali ganda,” katanya lagi.

Bagi Nurul Farhana, dengan pengalaman yang ada sepanjang beliau mengemudi perniagaan Nade El Luna ini, ia telah berjaya membentuk sifat cekal dan tidak berputus asa dalam dirinya.

“Sebagai seorang usahawan, saya perlu terus bangkit daripada sebarang cabaran dan dugaan yang melanda. Niat saya terjun ke bidang perniagaan ini adalah untuk membantu lebih ramai orang menjana pendapatan menerusi jenama Nade El Luna.

“Di samping itu, saya juga mahu terus menyebarkan ilmu mengenai perintah untuk golongan wanita menutup aurat dan secara tidak langsung memakai busana yang patuh syariah,” katanya.