Dua sahabat pilih jadi pengedar Kembara Meal

Usia muda tidak menjadi penghalang buat dua sahabat baik, Shahrul dan Hasif yang berasal dari Klang, Selangor untuk bersama-sama mengorak langkah dalam dunia keusahawanan. Pada usia 27 tahun, kedua-dua pemuda itu sudah mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan yang diperoleh menerusi syarikat mereka, SNH Global Empire.

Syarikat berkenaan bertindak sebagai pengedar pelbagai jenis produk yang mempunyai permintaan yang tinggi serta ada ciri yang unik.

Dalam satu temubual bersama Entrepreneur Insight, Shahrul berkata mereka sepakat untuk menjadi pengedar produk makanan dan minuman kerana ia adalah sesuatu yang diperlukan oleh orang ramai walau di mana saja mereka berada.

Bertitik tolak dari situ, Shahrul dan Hasif memberi tumpuan untuk memasarkan rangkaian produk makanan dari Kembara Meals. Jenama Kembara Meals ini sudah tidak asing lagi di kalangan pengembara di negara ini kerana ia sering dibawa ketika melancong serta ketika membuat aktiviti luar seperti mendaki gunung, berkhemah dan sebagainya.

Antara produk yang dipasarkan termasuklah nasi lemak dan rendang ayam, nasi tomato dan ayam masak merah, nasi hujan panas dan kuzi kambing, nasi basmathi dan daging salai masak lemak serta nasi goreng dan paprika daging.

Mengulas lanjut, Shahrul berkata keunikan produk Kembara Meals adalah ia mudah untuk dibawa kemana sahaja, tanpa bahan pengawet, mempunyai pemanas makanan sendiri yang mana boleh dilakukan dengan hanya menggunakan air dan semestinya sedap serta halal.

“Bagi mereka yang pernah mencuba produk ini pasti tahu yang ia dibuat berdasarkan citarasa rakyat Malaysia sendiri. Kami bermula dengan hanya tiga produk dan kini selepas empat tahun dalam pasaran, Kembara Meals sudah mempunyai Sembilan produk.

“USP yang menjadi keutamaan produk ini ialah pemanas makanan itu sendiri yang mana ia memudahkan pelangan untuk menikmati makanan yang panas walaupun dimana berada.

“Kami mendapat pelbagai reaksi yang positif kerana telah membantu menyelesaikan masalah pelanggan untuk mencari makanan yang sedap dan panas terutamanya semasa mereka berada di dalam hutan, tanpa perlu membawa peralatan memasak yang banyak dan berat.

“Selain itu, produk ini juga menjalani proses penyahkuman yang menjadikan produk ini mampu bertahan sehingga dua tahun tanpa bahan pengawet,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sebagai usahawan dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19, beliau berkata pandemik yang berlaku telah mengajar erti kesabaran kepada mereka berdua.

“Kami perlu menggandakan usaha untuk mencari peluang yang lain bagi meneruskan kelansungan perniagaan. Pandemik ini juga mengajar kami agar jangan mudah mengalah walaupun kita berada di saat yang sukar serta ambang yang sangat kritikal dalam perniagaan yang mana jika tersilap langkah, ia boleh menyebabkan perniagaan kita ditutup.

“Bagi memastikan SNH Global Empire dapat berkembang dengan lebih pesat, kami merancang untuk menambah beberapa lagi jenis produk hangat untuk dipasarkan bagi meningkatkan lagi kedudukan syarikat kami dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami juga ingin membuka peluang kepada sesiapa yang ingin menjana pendapatan sampingan bersama kami. Selain itu, kami juga akan terus mengkaji permintaan pelanggan dan meneliti apa yang mereka perlukan terutama dari segi makanan,” katanya lagi.

Shahrul dan Hasif berkata antara pendorong utama mereka dalam dunia perniagaan adalah rakan seperjuangan dalam perniagaan serta keluarga masing-masing.

“Mereka banyak memberi dorongan dan nasihat untuk kami terus kekal dalam perniagaan tanpa mengalah. Selain itu, kami mempunyai minat yang mendalam dalam perniagaan dan suka mencuba satu benda yang orang sendiri cakap mustahil untuk bertahan dalam tempoh yang lama,” katanya.