Dizahsham Enterprise impi bina wisma, dewan katering

Dizahsham Enterprise, adalah empayar perniagaan yang diasaskan pengusahanya, Azizah Abdul Kadir dan perniagaan itu sudah bermula sejak 2012 yang lalu.

Kongsi usahawan wanita ini, ia bermula dengan menjual nasi beriani dari tahun 2014 lalu dengan menggunakan trak makanan untuk menjual produknya itu kepada pelanggan mereka.

Kata anak kelahiran Port Dickson, Negreri Sembilan ini, pada 2015 lalu, ia kemudiannya  mula bertapak di Tadom Hill Resort Café sehinggalah menjalankan operasi perniagaan ke hari ini.

“Kami juga turut menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis perkahwinan dan sebarang majlis atas permintaan pelanggan setia kami.

“Keistimewaan produk kami adalah apabila kami turut menyediakan satu menu istimewa yang kami namakan ia sebagai Tok Sam Briyani Buloh di kafe kami yang terletk di Tadom Hill Resort,” katanya yang mengikut suaminya berhijrah ke Banting sejak tahun 2000 kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Kata usahawan berusia 48 tahun ini, menerusi produk nasi beriani yang cukup unik dan berbeza dengan beriani lain, pihaknya yakin ramai masyarakat atau penggemar masakan seumpama itu mahu merasai keenakan masakan yang ditampilkan di kafe miliknya itu.

 Berkisar soal cabaran dan rintangan dihadapi beliau sepanjang pandemik melanda, beliau berkata sememangnya ia banyak memberikan dugaan dan kesusahan kepada beliau sebagai usahawan.

Pandemik sememangnya menguji ketabahan seorang usahawan daripada pelbagai aspek seperti semangat bertahan, kewangan dan cabaran mengekalkan perniagaan.

Jatuh bangun adalah asas kejayaan kepada sesebuah perniagaan. Sebagai usahawan, semangat juang yang tinggi pastinya menjadi rahsia kejayaan yang patut dijulang tinggi.

“Banyak kesusahan yang kami hadapi. Kami ketika itu turut kehilangan pekerja dan kehilangan sebuah  kantin kilang  yang sudah  pun beroperasi sejak 2016 lalu dan dapat bertahan cuma sehingga  tahun 2021.

“Antara lain, cabarannya adalah kepayahan dan dugaan untuk saya membayar balik pinjaman yang dibuat untuk menjalankan perniagaan ini.

“Bagaimanapun, apa yang terjadi itu tidak mematahkan semangat saya sebagai usahawan untuk meneruskan langkah memajukan perniagaan.

“Saya jadikan semua kepayahan itu sebagai pengajaran yang mana sebagai usahawan, sepatutnya kita mempunyai simpanan dan ketika mendapat keuntungan daripada perniagaan, kita kena ada pusingan modal yang kukuh untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang,” katanya.

Pandemik adalah satu teguran kepada usahawan untuk bersiap sedia lebih awal supaya jika ada cabaran melanda, ia dapat ditangani dengan lebih mudah dan lancar.

Seperti usahawan lain, beliau turut memasang impian untuk mengembangkan perniagaan yang dibangunkan daripada keringat dan kepayahan itu. Perniagaan yang dicintai seikhlas hati itu diharapkan dapat menempa nama di seluruh negara terutama di tempat kelahiran beliau iaitu di Banting, Selangor.

Kata beliau, dalam tempuh tiga tahun mendatang, beliau amat mengimpikan untuk memiliki sebuah wisma Tok Sam Briyani dan sebuah dewan katering sendiri di bawah jenama mereka yang berdiri teguh di Banting, Selangor ini.

Impian itu akan direalisasikan dengan kerja kuat selain berusaha menjadikan ia satu kenyataan yang penuh bermatlamat.

Jelasnya, apa yang membuatkan beliau tidak pernah berputus asa malah mahu terus berjuang adalah impian yang tidak pernah terpadam untuk terus berusaha memartabatkan perniagaan yang amat diminati itu.

 Oleh itu, beliau akan terus berusaha untuk menggapai impian itu dan membangunkan perniagaan sehingga segala impian beliau menjadi kenyataan dan bukan mimpi kosong semata-mata.