Dunia perniagaan tidaklah semudah yang disangka. Ia memerlukan kecekalan dan keazaman yang tinggi sekiranya seseorang individu itu mahu berkecimpung dalam dunia yang penuh dengan pancaroba itu. Begitulah situasi yang dialami oleh Norashikin Nadzri, pemilik Lekoi-lekoi Restaurant & Café (Lekoi-lekoi) yang mula beroperasi pada Januari 2020 di Chandan Putri, Kuala Kangsar, Perak.
Usahawan berusia 35 tahun itu berkata beliau bersama suaminya menubuhkan restoran berkenaan berikutan minat yang sangat mendalam dalam bidang makanan dan minuman di samping mahu mengaplikasikan ilmu dalam dunia perniagaan memandangkan beliau mempunyai dengan berkelulusan pendidikan dalam bidang Pengurusan Perniagaan.
Bagaimanapun, perjalanannya dalam dunia perniagaan ini tidak mudah dan sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran.
“Saya bermula dari bekerja di beberapa restaurant terkemuka,berniaga gerai makanan di tepi jalan, food truck, kantin sekolah, booth, mengambil tempahan katering kecil-kecilan dari rumah serta menjual makanan secara dalam talian.
“Saya juga telah mengambil masa selama tiga tahun untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) resepi masakan sendiri serta mencipta prosedur operasi standard (SOP) cafe sendiri.
“Proses mencipta SOP dan R&D dilakukan memang mengeluarkan modal yang banyak serta kesabaran kerana bagi saya, kita tidak boleh sekadar merasakan kita boleh masak maka kita mesti boleh berniaga kerana ramai orang boleh memasak tapi tidak boleh untuk mengurus.
“Kerana itulah juga punca mengapa ramai usahawan tidak mampu bertahan lama atau tidak berkembang dalam bidang makanan dan minuman ini kerana ramai yang culas dalam pengurusan walaupun mampu menyediakan masakan yang sedap dan enak,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Norashikin yang berasal dari Selangor berkata Lekoi-Lekoi menawarkan makanan yang sedap, murah serta eksklusif.
“Kami juga telah mengubahsuai restoran kami untuk dilihat ekslusif,selesa walau lokasi di luar bandar. Namun walau keadaan restoran kami di lihat sebagai ‘café mahal’ tapi kami sebenarnya menyediakan makanan Asian fusion & makanan barat dengan harga yg berpatutan, dimana harga makanan kami seperti di gerai-gerai biasa bahkan ada yang lebih murah kedai biasa.
“Kami juga sentiasa menjaga rasa masakan kami kerana dengan cara ini, kami dapat memberi peluang kepada semua pelanggan untuk menikmati hidangan yang sedap di suasana cafe yang ekslusif,” tambahnya lagi.
Bercerita mengenai pengalamannya berhadapan dengan Covid-19, Norashikin berkata memandangkan restorannya dibuka tiga bulan sebelum pandemik, ia amat memberi kesan kerana mereka telah mengeluarkan modal yang banyak untuk tujuan itu.
“Apa yang kami pelajari adalah bila kita menjalankan perniagaan kita perlu melaksanakan segala prosedur dengan baik, sebagai contoh, kebajikan pekerja dengan mencarum KWSP dan Perkeso. Ini kerana, semasa pendemik berlaku, kerajaan telah membantu membayar gaji pekerja yang berdaftar dengan badan berkanun berkenaan. Apa yang paling penting adalah mempunyai simpanan atau duit syarikat untuk bertahan semasa sedang berhadapan dengan saat yang sukar,” katanya.
Norashikin berkata beliau menyasar untuk mempunyai lima cawangan dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Sekarang kami dalam proses membuka cawangan kedua yang akan mula beroperasi pada bulan November nanti.
“Untuk mencapai misi yang ditetapkan, kami perlu terus menambahbaik operasi kami daripada semua aspek di samping mendapatkan lebih banyak ilmu dalam pengurusan supaya kami boleh mengendali beberapa cawangan dengan lebih sistematik dan dalam masa yang sama terus menawarkan makanan yang berkualiti pada harga yang berpatutan,” ujarnya lagi.