Perniagaan antara bidang kerjaya yang banyak dipelopori oleh masyarakat di negara ini dengan kemahiran dan peluang perniagaan yang berbeza. Meskipun banyak cabang kerjaya lain, bidang istimewa ini antara yang ke hadapan meraih perhatian barisan usahawan.
Justeru, usahawan bersama isterinya, Siti Zulaikha Ali Huddin, menjadi rakan kongsi dalam mengusahakan sebuah empayar perniagaan yang didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atas nama Ad Dari Kids Station pada April 2021 lalu.
Pasangan ini memulakan perniagaan pada awal Januari 2022 lalu di Presint 15, Putrajaya dan mengusahakan perniagaan ini dengan semangat juang yang tinggi.
Lebih istimewa, perniagaan yang diusahakan dimulakan dengan menawarkan perkhidmatan pusat taman permainan kanak-kanak berbayar di kawasan lot kedai sebagai alternatif masyarakat selain tidak perlu pergi ke pusat membeli belah.
Antara lain, pasangan suami isteri ini juga menawarkan perkhidmatan sewaan permainan untuk majlis sambutan hari lahir atau apa saja majlis keraian yang bersesuaian dengan memenuhi hasrat mereka yang inginkan sesuatu kelainan dalam majlis.
“Kami juga menjalankan perkhidmatan pusat terapi untuk kanak-kanak berkeperluan khas seperti masalah pembelajaran, perkembangan, komunikasi, dan fizikal. Perkhidmatan ini mencakupi pelbagai jenis terapi seperti terapi bahasa, terapi fizikal, dan terapi perkembangan,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.
Kongsi beliau lagi, antara keunikan produk yang ditawarkan mereka bagi permainan dalam taman adalah perkhidmatan dengan kadar tiket masuk yang amat berpatutan dan promosi yang dijalankan secara berterusan.
“Ibu bapa juga tidak perlu bersesak membawa anak-anak ke pusat membeli belah yang besar dan ianya dekat dengan komuniti setempat.
“Bagi pusat terapi pula, juru terapi yang kami sediakan adalah berkelayakan dan mempunyai pengalaman dalam bidang terapi pemulihan cara kerja kanak-kanak,” katanya.
Pada masa sama, pihak mereka juga menawarkan pakej yuran yang berpatutan mengikut bajet pelanggan.
Selain itu, pihaknya turut komited dalam memberikan perkhidmatan yang berpatutan dan perkhidmatan yang baik serta bermutu yang mampu memberikan impak yang besar kepada perkembangan perniagaan mereka di masa depan.
Sememangnya, tidak dinafikan pandemik yang hadir memberi impak kepada setiap perniagaan. Bahkan pihaknya turut terkesan dengan cabaran di masa pandemik melanda negara ini.
“Dalam setiap apa yang terjadi, tidak kira bekerja makan gaji atau bekerja sendiri atau apa jua yang sedang diusahakan, perlu ada yakin diri dan percaya kepada rezeki Allah S.W.T, usaha sebaik mungkin dan bertawakkal kepada Allah S.W.T,” katanya.
Positif dengan cabaran dan sentiasa berdaya saing, beliau mengimpikan empayar perniagaan yang diusahakan itu menuju kearah lebih baik dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Pastinya kami mengimpikan untuk menjadi jenama yang dikenali dengan menawarkan perkhidmatan yang baik, bermutu dan diyakini oleh ibu-bapa, seterusnya boleh dikembangkan di kawasan lain terutamanya di Lembah Klang,”katanya.
Besar harapan mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan mendapatkan testimoni para pelanggan yang tulen serta disebarkan dengan pemasaran melalui mulut ke mulut, pemasaran melalui media sosial dan menjalinkan kerjasama dengan industri berkaitan.
“Perniagaan kami mempunyai potensi untuk dikembangkan dalam konteks memberikan kemudahan kepada pelanggan dan membantu pelanggan yang memerlukan perkhidmatan kami dan sekaligus meningkatkan ekonomi setempat,” katanya.
Diharapkan atas semangat juang berterusan, syarikatnya mampu berkembang dan maju jaya walaupun melalui pelbagai cabaran. Ia bukan istilah untuk mengalah tetapi adalah pembakar semangat untuk menjadi lebih kuat, berdaya saing dan tidak putus harapan.