FMF Happy Enterprise sasar jadi pusat tumpuan jualan produk runcit dan perkhidmatan

Usahawan wanita berusia 53 tahun, Fatimah Barin, mempunyai sebuah premis perniagaan di Kampung Masjid Lama, MK Ulu Langkawi, Kedah.

Premis berkenaan sudah mula ditubuhkan pada tahun 2010 dengan menawarkan perniagaan barangan runcit atau pun “barangan kering sahaja”.

Perniagaan ini dijalankan secara kecil- kecilan, yang mana segala urus niaga dijalankan bersama -sama ahli keluarga sahaja.

Hari demi hari, tahun demi tahun, premis perniagaan itu telah ditambah baik dari segi kemudahan, kelengkapan yang diperlukan oleh mereka yang diperlukan dari segi produk dan juga perkhidmatan yang dijalankan.

“Sebagai contoh perkhidmatan pembayaran bil utiliti, tambah nilai telco, menjual gas memasak dan sebagainya. Hal ini agak mengambil masa dalam menyediakan perkhidmatan berikut dari segi permohonan lesen daripada pihak berkuasa.

“Premis saya juga menjalankan pelbagai jenis jualan seperti jualan minuman air 3 dalam 1 secara papan ataupun pek longgar untuk pembeli yang kurang berkemampuan.

“Kebanyakkan barangan jualan di premis saya ini dijual secara “loose pack” bagi memenuhi permintaan penduduk di kampung saya,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perjalanannya dalam dunia perniagaan, beliau berkata, setelah beberapa tahun berniaga, pihaknya telah mengambil keputusan untuk mengembangkan lagi produk di dalam premis itu.

“Oleh itu minum kesihatan seperti Kopi Apcel, Kopi Jantan, Kopi Sennah telah dimasukkan.

“Alhamdulillah penerimaan penduduk untuk produk ini telah meningkat dari semasa ke semasa. Contohnya sekarang Kopi Apcel sudah terkenal di Langkawi kerana terdapat beberapa papan iklan yang mempromosikan kopi ini sekaligus memberi impak yang positif kepada perniagaan runcit seperti premis berkenaan,” katanya.

Beliau turut berkongsi, ia dilihat memberi kelebihan kepada perkembangan premis miliknya kerana apabila pembeli datang untuk membeli produk di premis miliknya, mereka juga akan membeli produk lain yang terdapat di premis sama.

“Seperti saya nyatakan, premis saya telah menyediakan perlbagai prekhidmatan yang diperlukan oleh penduduk disini. Oleh itu, ia merupakan salah satu daya tarikan pembeli datang ke premis saya,” katanya.

Pandemik yang melanda negara merupakan satu mimpi ngeri kepada usahawan yang menjalankan perniagaan.

“Seperti yang kita telah maklum, terdapat kekangan dari segi jarak dan masa   dan juga hanya ketua keluarga yang dibenarkan untuk membeli barang.

“Oleh itu, ketika pandemik jualan perniagaan jatuh merudum berbanding sebelum ini. Demi meneruskan kelangsungan hidup, kami telah menambah satu produk baharu d imana premis saya juga menjual” Air Big Cup”.

“Disini sedikit sebanyak dapat meningkatkan sedikit hasil jualan perniagaan kami,” katanya.

Jelas beliau, apa yang ingin dicapai dalam tempoh tiga tahun nanti ialah premis perniagaan dapat berkembang lebih baik dari sekarang dan dapat menambahkan produk dan perkhidmatan yang lain bagi memenuhi permintaan penduduk disini. 

“Jika dilihat dana amatlah penting untuk memberi suntikan dalam sesebuah premis. Oleh itu, selaku pemilik premis, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) merupakan salah satu tempat untuk mendapat suntikan dana kepada premis saya.

“Alhamdulillah, perniagaan di premis ini merupakan sumber tunjang dalam keluarga saya. Oleh itu, semangat saya dalam membangunkan perniagaan ini tidak akan pernah putus. Perniagaan merupakan satu sunnah. 

“Oleh itu saya percaya pada rezeki dalam perniagaan ini. Doakan premis saya menjadi premis yang berjaya pada masa akan datang dan menerima banyak permintaan daripada pelanggan setia mahupun pelanggan baharu,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.