Training TNA Solutions gabung teknik Neuro Lingustic Programming

Pengalaman dibuang kerja sebagai Pengurus Kanan Latihan, Bahagian Sumber Manusia di Sapura Acergy pada tahun 2015 tidak mematahkan semangat Mohammad Rizal Maarif untuk melangkah ke hadapan dan meneruskan kehidupan.

Dilahirkan dalam keluarga usahawan yang mana bapanya adalah seorang kontraktor kelas G2 CIDB yang mendapat kerja-kerja kontrak kerajaan seperti TNB, JKR dan beberapa projek swasta, beliau mula menyusun perjalanannya untuk turut sama menceburi bidang keusahawanan.

Selepas diberhentikan kerja, beliau mula menganalisis kekuatan dan kemahiran yang ada pada dirinya. Dari situ beliau menyedari bahawa beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang latihan dan konsultansi.

“Maka dari situlah saya bermula dengan mengambil sijil Latihan dari HRDF beserta kursus2 pembangunan diri Human Resource Development Fung (HRDF) seperti kursus ‘coaching’ dan bidang konsultansi. 

“Disamping itu, saya turut memanfaatkan pelbagai kursus luar yang saya telah jalani semasa bekerja untuk melengkapkan diri saya sebagai seorang pelatih, pembimbing serta konsultan yang berkemahiran,” ujar usahawan berusia 52 tahun itu kepada Entrepreneur Insight dalam satu temubual baru-baru ini.

Mohammad Rizal yang dilahirkan di Kapar, Klang Selangor itu berkata menerusi syarikatnya Training TNA Solutions, beliau menggabungkan Teknik Neuro Linguistic Programming atau NLP ke dalam setiap pembelajarannya.

“Ini termasuk kursus-kursus seperti kepimpinan, komunikasi, motivasi begitu juga mengenai pembangunan kerjaya.

“Menerusi teknik NLP ini, ia dapat membantu memberi kelebihan dalam mengembangkan perniagaan saya kerana para peserta akan didedahkan tentang aspek mencari kekuatan diri terlebih dahulu, kemudian barulah kekuatan diri itu dibawa pada diri masing-masing melalui sumber komunikasi manusia iaitu melalui deria pancaindera, pendengaran dan sentuhan atau kinestetik. 

“Bukan itu sahaja, para peserta akan digalakkan untuk meniru orang-orang yang berjaya dalam diri mereka. Maka dari situlah kejayaan seseorang usahawan itu dapat dikenalpasti dan dibentuk,” jelasnya panjang lebar.

Ditanya mengenai impak pandemik Covid-19 ke atas usahawan, Mohammad Rizal berkata masalah sebenar seorang peniaga adalah “mindset” otak mereka.

“Jika mereka kata aku akan berusaha untuk mengatasi cabaran ini maka mereka akan dapat penyelesaian. Contohnya dalam aspek pemasaran, dalam masa pandemik ini terdapat orang yang berjaya menembusi pasaran tempatan mahu pun antarabangsa melalui pemasaran secara digital, malah mereka mampu mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda.

“Pencapaian ini amat berbeza dengan orang yang duduk diam dan tidak berusaha apa-apa, sudah tentulah mereka tidak akan mencapai apa-apa sasaran yang telah mereka tetapkan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai perancangannya dalam tempoh tiga tahun lagi dan bagaimana beliau mahu mencapainya, Mohammad Rizal berkata dalam masa tiga tahun lagi, beliau ingin mengembangkan lagi perniagaan melalui kerjasama strategik menerusi rakan perniagaan.

“Selain itu, saya juga merancang untuk mendapatkan kursus-kursus pensijilan antabangsa yang diiktiraf oleh kerajaan atau swasta. Saya juga merancang untuk menembusi pasaran negara jiran dan bercadang untuk menjalin usaha sama dengan dengan rakan-rakan di Indonesia serta Brunei,” tambahnya lagi.

Pengalaman mengharungi saat sukar terutamanya apabila beliau terpaksa keluar daripada zon selesa selepas diberhentikan kerja telah mengajar Mohammad Rizal untuk terus cekal dan tidak sesekali mengalah dalam kehidupan.

“Apa yang membuatkan saya tidak berputus asa dan terus berjuang untuk membangunkan perniagaan saya adalah kerana semangat untuk berjaya itu masih membara dan minat yang mendalam untuk mendidik anak bangsa.

“Ia membuatkan saya tidak mengenal erti berputus asa, bersesuaian dengan prinsip syarikat kami iaitu Cepat – Tepat – Penyampaian,” katanya lagi sebelum mengakhiri perbualan.