Rajazvari sasar kembangkan perkhidmatan percetakan ke seluruh negara

Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya. Pepatah itu cukup untuk menggambarkan situasi yang melanda Rajazvari Balasundaram dalam mengemudi perniagaannya. Beliau mempunyai minat yang mendalam untuk bergelar usahawan tetapi kerap kali gagal dalam merencana perniagannya.

Berbekalkan semangat dan dorongan yang kuat daripada bapa dan suaminya, beliau terus melangkah untuk bertapak dalam dunia prniagaan. Menerusi syarikat Sri Mahaletchumy SML Enterprise yang ditubuhkan lima tahun lalu, beliau menawarkan khidmat percetakan buat pelanggannya di luar sana.

Usahawan wanita berusia 39 tahun itu berkata beliau mahu membuktikan bahawa kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya tidak benar.

“Saya cuba membeli barangan percetakan walaupun saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai bidang berkenaan. Bagaimanapun, saya tidak mahu masa saya terbazir begitu saja, jadi saya belajar daripada kawan-kawan yang lebih berpengalaman, menghadiri kursus dan terus memajukan diri saya dengan ilmu sehingga pelanggan lebih yakin dengan perkhidmatan yang saya tawarkan,” kata anak kelahiran Mantin, Negeri Sembilan itu kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Ditanya mengenai keunikan perkhidmatannya, beliau berkata antara kelebihan utama yang ditawarkan adalah kemampuan untuk menyiapkan tempahan cetakan dalam tempoh yang diminta oleh pelanggan.

“Selain itu, harga yang saya kenakan adalah berpatutan dengan perkhidmatan yang dihasilkan. Malah saya juga menawarkan rekaan secara percuma kepada pelanggan yang menempah cetakan dengan syarikat saya. Di samping itu, saya turut menyediakan cenderahati secara percuma bagi mereka yang setia menyokong perkhidmatan saya.

“Tambah menarik, bagi mereka yang membuat tempahan dalam kuantiti yang banyak, diskaun akan diberikan kepada mereka. Sebagai seorang usahawan, saya amat mementingkan kejujuran dan memastikan produk yang ditempah dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kesan pandemik ke atas perniagaannya, Rajazvari berkata walaupun beliau tidak dapat menjalankan perniagaan secara fizikal semasa tempoh berkenaan, beliau memanfaatkan masa yang ada untuk mempromosikan perniagaannya kepada lebih ramai pelanggan.

“Saya tidak mahu berputus asa walaupun berada dalam situasi yang sukar. Semasa perintah kawalan pergerakan dikenakan, saya memanfaatkan waktu itu dengan menjalankan pemasaran secara dalam talian. Sasaran saya pada waktu itu adalah mereka yang berada berdekatan dengan saya. Justeru, saya mengambil kesempatan untuk memasarkan perkhidmatan cetakan yang saya sediakan kepada rakan-rakan dan komuniti setempat,” tambahnya lagi.

Dalam tempoh tiga tahun lagi, beliau juga menyasar untuk mengembangkan perniagaan dan perkhidmatannya ke seluruh negara.

“Saya mahu menjadikan RKS CEKAP sebagai jenama saya. Saya mahu semua orang tahu bahawa RKS CEKAP ini menawarkan perkhidmatan yang pantas, jujur dan berpatutan. Saya tidak akan sesekali berputus asa,” kata Rajazvari yang kelihatan begitu komited untuk mengembangkan perniagaan percetakannya.

Ketika ditanya mengenai apa yang membuatkan beliau terus melangkah dalam membina empayar perniagaannya meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaram, Rajazvari berkata jika orang lain boleh berjaya, mengapa beliau tidak boleh?

“Jika ramai orang yang kurang bernasib baik boleh mencapai apa saja yang dihajati dalam hidupnya, mengapa saya sebagai orang yang sihat dan mempunyai tubuh badan yang sempurna tidak boleh? Mengapa saya tidak boleh berjaya? Jangan putus asa walaupun banyak kali jatuh. Gagal adalah pengalaman dan itu juga adalah kunci untuk kejayaan.

“Saya berdoa satu hari nanti saya juga akan dikenali sebagai seorang usahawan yang cekal dan mampu membawa kejayaan yang lebih besar kepada perniagaan saya.