RHPRO Resources bantu anak muda celik hartanah

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai anak muda yang mula berkecimpung dalam bidang hartanah, sama ada dengan menjadi agen mahupun konsultan. Malah ada juga yang melangkah lebih besar dengan menjadi pemaju hartanah. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa bidang hartanah mampu memberikan pulangan yang lumayan jika anda menceburinya secara sepenuh masa.

Bagi Hazreen Nadihah Husni, perjalanannya dalam bidang hartanah bermula apabila beliau bertemu dengan sahabat baiknya yang juga merupakan seorang konsultan hartanah.

Pada awalnya, Hazreen hanya mendengar kisah yang diceritakan sahabatnya itu mengenai ‘trend’ anak muda yang gemar berbelanja mewah terutamanya dengan mendapatkan kereta yang mahal tetapi masih belum memiliki rumah sendiri.

Bercerita lebih lanjut kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, Hazreen berkata beliau terpanggil untuk mengetahui lebih mendalam mengenai bidang hartanah dan itu menyebabkan beliau mengambil inisiatif untuk menceburi bidang berkenaan.

“Tujuan saya hanya satu, saya mahu memberi kesedaran terutamanya kepada anak-anak muda untuk memiliki rumah sendiri serta menguruskan kewangan mereka dari awal dengan betul.

Daripada membayar sewa yang mahal secara bulanan, kenapa tidak mereka membelanjakan wang tersebut untuk membayar kepada bank, rumah mereka sendiri! Rumah pertama tidak semestinya mahal, cukup jika ia mampu mendatangkan keselesaan kepada kita sekeluarga,” ujar usahawan wanita berusia 32 tahun itu lagi.

Hazreen berkata menerusi syarikatnya RHPRO Resources, beliau membantu memberi khidmat nasihat mengenai pembelian rumah pertama serta pencarian rumah sewa secara percuma.

“Kami mempunyai satu pasukan yang dapat membantu menasihati anda untuk menguruskan kewangan dengan bijak tidak kira pangkat atau tahap ekonomi pelanggan. Kami percaya dengan adanya perkhidmatan seperti ini, ia dapat memberikan kelebihan kepada kami untuk terus memacu operasi syarikat,” kata anak kelahiran Kangar, Perlis itu lagi.

Beliau berkata menerusi perkhidmatan yang ditawarkan syarikatnya, beliau yakin ia dapat membantunya untuk terus kekal relevan dalam bidang hartanah. Sebagai seorang usahawan yang masih muda, terdapat banyak ruang dan peluang bagi Hazreen untuk terus menimba pengalaman baharu.

“Antara yang perlu ditempuh adalah pandemik Covid-19 yang ternyata memberikan cabaran kuat kepada ramai usahawan di luar sana, termasuklah saya. Bagaimanapun, menerusi pandemik yang berlaku, saya dapat belajar beberapa perkara penting yang boleh diadaptasi dalam urusan perniagaan saya.

“Ia termasuklah keperluan merancang strategi perniagaan dengan kemas, bijak dan sistematik. Apa yang paling penting, saya perlu terus menimba ilmu bagi memantapkan lagi pengetahuan dalam bidang hartanah, seterusnya memudahkan saya untuk berkongsi ilmu yang ada dengan pelanggan saya,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau mahu terus kekal relevan dan mewujudan pusat sehenti berkaitan hartanah dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Saya juga menyasar untuk membuat pelaburan yang menepati hukum syarak. Apa yang perlu saya lakukan bagi mencapai sasaran berkenaan adalah terus belajar untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran selain bekerjasama sebagai satu pasukan,” katanya.

Hazreen berkata beliau suka dengan apa yang dilakukan pada masa ini dan tidak akan sesekali berputus asa selain akan terus berjuang untuk membangunkan perniagaannya.

“Saya merasa sangat gembira apabila dapat membantu golongan yang berfikir bahawa mereka tidak mampu mempunyai rumah sendiri kerana gaji kecil dan sebagainya. Selain itu, saya berasa amat puas hati setiap kali saya dapat membantu memudahkan urusan lebih ramai orang. Itu satu kejayaan yang besar bagi saya,” ujarnya.