Rarekatana Interior Design tawar khidmat rekabentuk dalaman

Setiap pemilik rumah pastinya mengimpikan rekabentuk dalaman yang cantik dan menawan bagi kediaman mereka. Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai pemilik rumah yang mula mendapatkan khidmat perekabentukbentuk dalaman bagi memberikan sentuhan magis pada kediaman mereka. Terdapat pelbagai konsep rekabentuk dalaman yang boleh dipilih mengikut cita rasa masing-masing seperti konsep English, minimalis, rekaan mewah, rekaan berkonsep industri serta rekaan kontemporari moden.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa pemilik rumah dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat perekabentuk rekabentuk dalaman? Semestinya kerana perekabentuk dalaman akan tampil dengan idea dan cadangan tertentu dengan membentangkan kaedah yang efisien untuk setiap ruang dan area mengikut tema, gaya dan bajet yang bersesuaian dengan selera pemilik rumah.

Mereka juga berpengalaman dalam mengimbangi keperluan estetik merangkumi perancangan struktur untuk mencerminkan gaya hidup pelanggan, menetapkan mood yang diingini, serta melengkapkan ciri seni bina kediaman selari skema penataan.

Selalunya, perekabentuk dalaman juga memiliki pertalian yang baik dengan kontraktor, pembekal, vendor dan lain-lain dalam proses melaksanakan reka bentuk mengikut keperluan pelanggan dan ini akan memudahkan urusan pemilik rumah.

Bagi pemilik Rarekatana Interior Design, Arison Buyong atau lebih dikenali sebagai E-Cun, beliau mempunyai pengalaman selama 21 tahun dalam bidang rekaan dalaman selepas menamatkan pengajian dalam Diploma Arkitek Dalaman di Universiti Teknologi Mara pada tahun 2001.

E-Cun yang berasal dari Siputeh, Perak berkata sebelum menceburi bidang perniagaan, beliau mempunyai pengalaman selama 21 tahun dalam bidang rekabentuk dalaman.

“Saya membuka Rarekatana Interior Design semasa pandemik melanda iaitu selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada tahun 2020. Pada waktu itu, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai Pengarah Projek Rekabentuk Dalaman dengan sebuah syarikat kontraktor G7.

“Dengan pengalaman yang saya ada sepanjang berkecimpung dalam bidang rekabentuk dalaman ini, saya gunakan dengan sebaiknya untuk mengemudi syarikat saya sendiri,” ujar usahawan berusia 42 tahun itu kepada Enterpreneur Insight dalam satu temubual baru-baru ini.

Walaupun beliau mengakui agak sukar untuknya terus melangkah dalam dunia perniagaan ini, E-Cun tidak mahu mengaku kalah dan akan sentiasa berusaha untuk membawa syarikatnya ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya memulakan perniagaan pada waktu yang amat sukar iaitu semasa pandemik Covid-19 melanda bukan sahaja negara kita malah seluruh dunia. Bagaimanapun, saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan akan terus melangkah ke depan. Saya sedar, setiap nikmat yang ada boleh ditarik pada bila-bila masa.

“Apa yang penting adalah kita harus bangkit semula apabila jatuh. Kita akan menjadi lebih kuat daripada sebelumnya setiap kali kita bangun dan kembali berjuang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, E-Cun berkata sama seperti kebanyakan usahawan lain, beliau juga mempunyai perancangannya yang tersendiri untuk mengembangkan operasi Rarekatana Interior Design dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Saya menyasar untuk mempunyai ruang pameran sendiri yang boleh memudahkan saya menunjukkan hasil rekaan syarikat kepada bakal pelanggan yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan saya.

“Bagi mencapai sasaran berkenaan, saya akan mencari peluang sebaik mungkin dengan memanfaatkan pengalaman luas saya dalam bidang rekabentuk dalaman ini. Saya mahu menterjemahkannya dalam bidang perniagaan dan memastikan syarikat boleh terus dikenali sebagai antara penyedia perkhidmatan rekabentuk dalaman yang terkemuka di negara ini.

“Saya kerap kali mengingatkan diri saya agar tidak berputus asa dalam membangunkan Rarekatana Interior Design kerana apa yang saya lakukan ini adalah demi keluarga. Saya adalah seorang pejuang dan akan terus berjuang untuk mereka yang saya sayangi,” katanya.