Pencuci tudung Niqa selesai masalah pemakai hijab

Bagi mereka yang memakai tudung, pastinya mereka gusar sekiranya tudung yang dibeli terutamanya yang berharga ratusan ringgit menjadi rosak semasa proses cucian berlaku. Ini kerana selalunya tudung yang mahal diperbuat daripada material yang lebih lembut, menjadikan proses cuciannya perlu dibuat dengan lebih berhati-hati.

Bagi Fazliatul Akmar Zainudin, sebagai seorang yang memakai tudung, beliau sering dibelenggu dengan masalah tudung dengan kesan peluh, minyak muka dan solekan yang sukar untuk dicuci menggunakan pencuci biasa.

“Walau dengan apa cara sekalipun saya cuba untuk mencuci tudung berkenaan, kotoran degil itu tetap tidak mahu hilang.

“Maka dari situlah terhasilnya idea untuk menghasilkan pencuci tudung berjenama Niqa ini kerana saya percaya produk ini dapat membantu ramai lagi wanita di luar sana yg menghadapi masalah seperti saya,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Fazliatul yang berasal dari Puchong mengusahakan produk Niqa bersama rakannya Farilawati Mat Kasim dan usahawan wanita itu berkata produk cucian tudung keluarannya boleh menghilangkan kotoran tanpa perlu disental.

“Sebelum wujudnya pencuci tudung, ramai wanita menggunakan petua lama seperti tabur bedak di atas tudung, cuci guna gel mandian dan sental, langkah-langkah ini  telah mengakibatkan perincian tudung dan fabriknya menjadi rosak.

“Dengan produk Niqa, mereka hanya perlu rendam, bilas dan sidai. Produk ini juga mempunyai fungsi 3 dalam satu iaitu sebagai pencuci, pewangi yang akan membuatkan tudung harum sepanjang hari dan pelembut yang memudahkan fabrik untuk digosok.

“Pengguna tudung sudah boleh menjimatkan masa dan tenaga mereka dan apa yang menarik, produk Niqa mempunyai nilai pH yang rendah iaitu 7, sesuai untuk mereka yang berkulit sensitif,” ujarnya panjang lebar.

Bercerita lanjut, Fazliatul berkata produk Niqa adalah produk penjagaan tudung pertama di negara ini dan ia telah terbukti mampu menyelesaikan masalah yang menghantui ribuan pemakan tudung.

“Kami telah membantu ramai wanita dalam menyelesaikan masalah berkaitan penjagaan tudung mereka dan jumlah tempahan berulang yang kami terima adalah sangat tinggi. Ini secara tidak langsung telah membuktikan keberkesanan produk Niqa dan membantu meluaskan lagi capaian produk kami kepada pelanggan,” kata usahawan wanita berusia 38 tahun itu lagi.

Ditanya mengenai pengajaran yang diperoleh daripada pandemik Covid-19 yang berlaku tiga tahun lalu, beliau berkata situasi sukar yang melanda seluruh dunia itu telah mengajarnya untuk tidak hanya bergantung kepada satu produk khusus semata-mata.

“Pandemik itu telah membantu kami untuk menjadi lebih kreatif dalam pengeluaran produk. Seperti contoh, ketika perintah sekatan pergerakan dilakukan, jualan kami agak merosot, jadi kami bertindak pantas dengan mengeluarkan produk cucian tangan (hand sanitiser) yang amat diperlukan pada waktu itu. Selain itu, kami juga mengeluarkan jenama baharu di bawah Niqa yang dikenali sebagai Niqabites bagi membantu melonjakkan semula jualan agen-agen kami,” katanya lagi.

Sebagai seorang usahawan, Fazliatul merancang untuk membawa produk Niqa meneroka pasaran Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Pada masa ini, kami sudahpun menembusi beberapa negara luar seperti Singapura dan Brunei. Justeru kami menyasar untuk memasarkan produk kami ke lebih banyak negara-negara Asia Tenggara yang lain.

“Jalan yang bakal ditempuhi mungkin berliku, tetapi kami tidak akan berputus asa dan akan terus berjuang untuk membangunkan perniagaan kami. Dengan adanya agen-agen dan pengguna Niqa di belakang kami, kami akan terus fokus dan melangkah ke hadapan demi mereka,” katanya lagi.