Kay Frozen tawar produk sejuk beku berasaskan daging

Kay Frozen adalah jenama produk sejuk beku yang diasaskan oleh Mohd Karim Mohd Razak atau lebih dikenali sebagai Mr Kay pada tahun 2015. Menerusi perniagaan yang didaftarkan di bawah syarikat bernama Karyna Esfan Enterprise itu, Mohd Karim menjalankan operasi Kay Frozen bersama-sama dengan isterinya, Norziana Abu Hanipa yang menjawat jawatan sebagai pengarah di dalam syarikat berkenaan. Norziana juga turut mengasaskan produk sejuk beku jenama Yana’s Kitchen.

Bercerita lebih lanjut, Mohd Karim berkata mereka berasal dari Terengganu tetapi menetap di Kuala Rompin atas sebab urusan hakiki.

“Kami tidak mahu melepaskan peluang untuk cuba menceburi bidang perniagaan sejuk beku di Kuala Rompin pada masa itu memandangkan masih tidak banyak produk seumpamanya boleh didapati di situ.

“Boleh dikatakan, kami adalah antara pengusaha terawal yang yang menjual prodeuk sejuk beku seperti isi ayam dan bahagian-bahagianya di sana pada masa itu. Pada mulanya, Kay Frozen hanya menjalankan perniagaan menjual produk isi ayam, chicken chop, peha ayam dan kepak ayam sejuk beku di garaj kereta milik saya sahaja.

“Kami bermula dengan hanya memiliki lima buah peti sejuk beku untuk di jadikan tempat menyimpan stok sementara. Kay frozen hanya memfokuskan perniagaan kepada pelanggan kedai makan dan penjual-penjual di tepi jalan.

“Antara medium yang kami gunakan untuk mempromosikan produk mereka adalah Facebook dan Whatsapps juga mereka ada menawarkan perkhidamtan penghantaran tunai (cash on delivery). Dalam masa yang sama, isteri saya sendiri telah memperkenalkan produk ayam bajet pada masa itu. Beliau menghasilkan resepinya yang tersendiri dan sos lada hitam air tangan beliau yang menjadi antara produk istimewa kami dan digemari ramai pelanggan,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Apabila perniagaannya bertambah baik, Mohd Karim menyuntik modal yang lebih besar ke dalam Kay Frozen dan hasilnya, perniagaan berkenaan berjaya memiliki sebuah kedai sejuk beku pada April 2017.

“Namun, saya tidak member tumpuan sepenuhnya kepada barangan sejuk beku pada waktu itu kerana Kay Frozen juga menawarkan pelbagai produk makanan sunnah dan produk keluaran Muslim yang lain.

“Pada masa ini, Kay Frozen telah berjaya memiliki sebuah bilik seju untuk menyimpan lebih banyak stok, dua buah peti sejuk beku dan enam buah peti ‘display’ serta sebuah mesin memotong daging yang bernilai RM 22,500.00.  

“Paling penting baru-baru ini kesemua produk sejuk beku Kay frozen telah diiktiraf Halal oleh JAKIM dan memperoleh kelulusan daripada MESTI. Produk sejuk beku Kay frozen terdiri daripada daging ayam, daging lembu, daging kerbau dan daging kambing.

“Apa yang menarik tentang produk kami adalah potongan daging yang mengikut kehendak suri rumah dan perniaga kedai makan. Produk daging di Kay Frozen juga menggunakan slogan ‘Ready to Cook’ atau ‘Sedia Dimasak’,” katanya lagi.

Mohd Karim berkata beliau turut memfokuskan jualan syarikatnya kepada pelanggan yang kesuntukan masa, terutamanya ibu-ibu yang bekerja atau peniaga yang kekurangan kakitangan untuk memotong produk daging.

“Kami juga ada menawarkan servis memotong daging secara percuma kepada pelanggan yang ingin membuat kenduri dan mereka yang ambil produk Kay Frozen secara borong dengan kami.

“Dalam tempoh tiga tahun lagi, kami di Kay Frozen merancang untuk memperkenalkan produk kami keseluruh Malaysia. Kay Frozen adalah produk daging sejuk beku yang diiktiraf halal dan yang penting ia adalah produk keluaran syarikat Muslim,” katanya lagi.