Sambal Colek Salad Buah diperbuat dari bahan berkualiti tinggi

Sudah pasti terdapat ramai orang di luar sana yang gemar mencicah buah-buahan dengan kuah rojak, sambal kicap, serbuk asam boi, sambal colek mahupun hanya dengan campuran garam dan gula. Kombinasi buah-buahan yang dicicah dengan aneka sambal itu sesungguhnya mampu membuatkan seseorang itu kecur air liur. Bayangkan buah-buahan yang rangup seperti jambu mahupun buah mangga yang masam digabungkan dengan sambal colek yang enak, pastinya ia menjadi satu hidangan yang membuka selera dan boleh dinikmati pada waktu senggang.

Bagi Nor Hazira Walat, beliau memilih untuk mengusahakan perniagaan Sambal Colek Salad Buah menerusi syarikatnya Myrish Syukran. Bercerita kepada Entrepeneur Insight baru-baru ini, usahawan wanita berusia 41 tahun itu berkata produk Sambal Colek Salad Buah atau lebih dikenali sebagai garam belacan di kalangan penduduk di kawasan utara Semenanjung Malaysia adalah produk makanan sampingan yang digemari rakyat di negara ini.

Bercerita lebih lanjut, Nor Hazira yang berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani di Kedah itu berkata produk Sambal Colek Salad Buah keluarannya sangat sesuai dimakan bersama dengan buah-buahan segar seperti mempelam, nanas, epal atau anggur.

Perniagaan ini saya jalankan sejak tahun 2016 sehingga sekarang. Pada awalnya, Sambal Colek Salad Buah diperkenalkan hanya kepada rakan-rakan kerja dan saya tidak mempunyai sebarang niat untuk menjualnya.

“Bagaimanapun, ia berubah apabila saya mendapat permintaan yang menggalakkan dan tidak putus-putus daripada rakan-rakan. Kebanyakkan daripada mereka sangat menyukai resepi Sambal Colek Salad Buah yang saya hasilkan. Sebenarnya, resepi Sambal Colek Salad Buah ini adalah diwarisi daripada ibu saya, yang diperoleh secara turun-temurun daripada nenek moyang.

“Antara ramuan yang digunakan adalah ramuan yang sangat disukai kebanyakan orang, dari zaman dahulu sehingga sekarang.

“Ramuan yang digunakan untuk menghasilkan Sambal Colek Salad Buah adalah seperti belacan, cili padi, kicap, asam jawa dan gula. Ianya dikisar sehingga menjadi sambal colek,” katanya panjang lebar.

Ditanya mengenai keistimewaan Sambal Colek Salad Buah keluarannya, Nor Hazira berkata antara ramuan terpenting dalam sambalnya, iaitu belacan, diambil daripada belacan Tanjung Dawai di Kedah yang sememangnya terkenal dengan kualitinya yang bagus.

“Belacan itu dibakar terlebih dahulu sebelum dikisar bersama ramuan yang lain. Tujuan ia dibakar adalah untuk mendapatkan aroma yang lebih menarik. Manakala bagi bahan asam jawa pula, ia juga diperbuat daripada bahan yang kualiti yang tinggi. Kualiti yang terdapat daripada bahan-bahan ini menjadikan aroma Sambal Colek Salad Buah menarik.

“Daripada aromanya yang mampu membuka selera, ia mendapat permintaan yang semakin tinggi,” katanya.

Nor Hazira berkata pada masa ini perniagaan yang beliau usahakan tertumpu kepada premis perniagaan seperti dikedai-kedai buah-buahan di sekitar Sungai Petani, Kedah, Bertam, Kepala Batas dan Seberang Jaya, Penang.

“Purata permintaan sentiasa mendapat sambutan pelanggan walaupun pendamik melanda pada sekitar tahun 2019-2020.

“Memandangkan jenama Sambal Colek Salad Buah sudah kukuh di kawasan utara, saya mahu mengembangkan perniagaan ke seluruh negara pula.

“Bagi sesiapa yang berminat untuk memjadi ejen, promosi untuk ejen di seluruh Malaysia akan diberi dengan harga yang menarik. Berat sebotol Sambal Colek Salad Buah ialah 400gram.

“Permintaan pelanggan kami sentiasa mendapat sambutan. Perniagaan Sambal Colek Salad Buah tidak pernah berhenti sehingga kini. Saya juga masih bekerja sambil mengusahakan Sambal Colek Salad Buah ini dan tidak pernah berhenti berniaga sambil bekerja,” katanya lagi.