Waheeda Exclusive sasar jadi butik fesyen terkemuka

Bergelar ibu tunggal dianggap sebagai satu situasi yang mencabar dan tidak mudah untuk ditempuhi. Ia diakui Wahida Nor Mohamed yang memilih untuk menjauhkan diri daripada kehidupan normal selama beberapa tahun selepas bergelar ibu tunggal. Beliau mengambil masa untuk menyembuhkan hati dan perasaan sebelum Kembali bangkit dan meneruskan kehidupan dengan lebih bersemangat.

Selepas pulang daripada menunaikan umrah bersama ibunya pada tahun 2014, wanita berusia 54 tahun itu bertemu jodoh dengan jejaka bernama Dilshad Khad yang berasal dari Pakistan, namun telah menetap di Malaysia selama 12 tahun.

Bertitik-tolak daripada perkahwinan itu, pasangan suami isteri itu kemudiannya terjun ke dunia perniagaan pakaian dengan menubuhkan Kedai Jahit Waheeda.

Bercerita lebih lanjut kepada Entrepreneur Insight, Wahida berkata kedai jahitannya menghasilkan rekaan busana berjenama Waheeda Exclusive.

“Sebelum penubuhan kedai jahit berkenaan, saya telah bekerja selama 25 tahun dalam bidang Sumber Manusia dan berhenti pada tahun 2011.

“Minat terhadap bidang jahitan telah mencetuskan semangat kepada saya untuk membuka Kedai Jahit Waheeda di Kelana Jaya pada 2015. Kedai Jahit Waheeda menawarkan servis menjahit dan ubah suai pakaian pada harga berpatutan,” kata anak kelahiran Selangor itu lagi sambil menambah premis perniagaannya dibuka setiap hari.

Katanya lagi, Kedai Jahit Waheeda juga mempunyai kapasiti menjahit pakaian sepanjang tahun walaupun berhadapan dengan permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

“Harga perkhidmatan jahitan yang kami tawarkan adalah sangat berpatutan kerana kami berharap ia dapat membantu memberi peluang kepada orang ramai di luar sana yang gemar berfesyen dan mahu menempahnya secara khas (custom made).

“Alhamdulillah, sejak Kedai Jahit Waheeda mula beroperasi, kami tidak putus-putus menerima sokongan yang berterusan daripada pelanggan setia dan kini semakin berkembang,” katanya.

Mengulas mengenai keunikan yang ditawarkan oleh Kedai Jahit Waheeda, beliau berkata caj menjahit yang rendah dan jahitan yang kemas menjadi antara faktor ramai pelanggan yang setia dengan jenama berkenaan.

“Walaupun kini kos bahan semakin meningkat namun Kedai Jahit Waheeda masih berusaha mengekalkan harga jahitan serendah mungkin.

“Tidak dapat menafikan, pandemik yang menjelma pada 2019 dan ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini sedikit sebanyak membantutkan perniagaan kami.

“Itu adalah cabaran paling getir yang pernah kami alami apabila Kedai Jahit Waheeda terpaksa ditutup dan terpaksa memberhentikan dua orang pekerja kerana kekangan kewangan.

“Namun demi kelangsungan bisnes, kami harus memastikan setiap bulan kami tetap mendapat tempahan melalui temujanji,” katanya lagi sambil menambah industry fesyen berkembang dengan sangat pantas dan ia tidak boleh disangkal lagi.

Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Wahida berharap Kedai Jahit Waheeda akan menjadi butik fesyen terkemuka dan akan bertapak di beberapa tempat lain supaya ramai dapat menerima servis jahitan yang eksklusif serta nampak bergaya.

“Selain itu, sebagai usaha mengembangkan perniagaan, suami saya, yang kini telah pun berada di Malaysia selama 20 tahun, terjun ke bidang khusus menjahit langsir dibawah nama Alman Curtain.

“Pelanggan boleh memilih langsir panel Blackout, Sheer serta Bidai (Blinds). Sebagai promosi khas, pelanggan akan menerima lawatan ke rumah atau tapak, sebut harga serta pemasangan percuma. Anda juga boleh memilih antara ‘railing’ dan rod yang semakin digemari ramai,” katanya lagi.

Bercakap tentang resipi dan cabaran, Wahida mengakui tidak mudah untuk mempertahankan perniagaan kerana kami harus sentiasa menepati citarasa pelanggan.

“Sesuatu yang saya belajar adalah kita perlu fokus dan komited dalam memastikan semua urusan perniagaan lancar,” ujarnya.