Kedai Ayam Kak Pura tidak asing di kalangan penduduk Bera

Penduduk di sekitar Pasar Bawam Bandar Bera 32 pastinya tidak asing lagi dengan perniagaan Kedai Ayam Kak Pura yang kini dikemudi usahawan wanita bernama Sepora Ismail. Perniagaan yang menawarkan ayam segar itu telah beroperasi sejak tahun 2008 dan ia diwarisi daripada arwah bapanya.

Disamping menjual ayam segar, Kedai Ayam Kak Pura juga turut menjual  daging sejuk beku dan ikan air tawar seperti patin, tilapia dan keli sebagai produk sampingan berikutan permintaan daripada pelanggan setianya.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, Sepora yang juga anak jati Bandar Bera 32 itu berkata berikutan minat yang mendalam terhadap bidang keusahawanan, beliau turut menerima tempahan di kedai-kedai sekitar Felda Gugusan Bera serta tempahan katering untuk majlis perkahwinan.

“Selain produk basah, kami juga membantu menjual produk kampung daripada penduduk setempat seperti kerisik, telur masin, jeruk, bawang goreng, sayur kampung,kopi dan sebagainya,” ujar usahawan cekal berusia 49 tahun itu lagi.

Antara keunikan produk yang ditawarkan oleh Kedai Ayam Kak Pura adalah produk ayam segar yang diproses dan dijual terus kepada pelanggan oleh pemilik kedai sediri. Seiring dengan teknologi terkini, pelanggan tidak lagi perlu menunggu lama kerana pemprosesan ayam menggunakan mesin seperti pemotongan dan pembersihan. Kedai Ayam Kak Pura juga amat mementingkan kualiti ayam seperti kebersihan, berat dan fizikal ayam seperti tiada kesan lebam, patah dan sebagainya.

Sepora berkata dengan keunikan yang ditawarkan, semakin hari semakin ramai pelanggan yang datang membeli kerana tertarik dengan produk yang dipasarkan.

“Menerusi penggunaan platform media sosial yang semakin meluas, ia turut membantu memperkenalkan produk-produk yang terdapat di Kedai Ayam Kak Pura ini,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Sepora berkata sepanjang tempoh pandemik ini, beliau mengambil satu insentif dengan menerima tempahan secara tunai semasa penghantaran serta bayaran secara atas talian.

“Walaupun pandemik melanda negara, ayam kekal menjadi antara produk makanan yang menerima permintaan yang semakin tinggi di kalangan pengguna. Justeru, memandangkan kebanyakan pengguna tidak boleh keluar daripada rumah berikutan perintah kawalan pergerakan yang dikenakan, kami membantu memudahkan urusan mereka dengan memperkenalkan pendekatan baharu termasuklah menerima tempahan secara tunai semasa penghantaran.

“Kami juga sedar bahawa setiap perniagaan perlu berjalan seiring dunia media sosial yang amat berpengaruh, jadi sebagai usahawan, kami perlu memanfaatkan ruang berkenaan bagi memastikan operasi perniagaan kami juga boleh dilakukan di atas talian,” tambahnya lagi.

Menjawab mengenai perancangannya dalam tempoh tiga tahun akan datang, Sepora berkata beliau mahu terus mengorak langkah menjadi usahawan yang berjaya dan menjadi pengedar utama produk ayam basah di sekitar gugusan daerah Bera.

“Saya menaruh harapan tinggi dan akan terus berusaha bagi memastikan produk-produk yang dijual di Kedai Ayam Kak Pura semakin mendapat sambutan dan dikenali ramai. Ini akan membolehkan lebih ramai perniagaan kecil turut sama mendapat manfaat apabila mereka menghantar produk buatan mereka ke kedai saya.

“Keluarga merupakan tunjang utama serta tulang belakang untuk saya terus mengorak langkah dan berjuang dalam industri produk basah ini. Berbekalkan tekad dan iltizam saya terus menerus berusaha menjalankan perniagaan ini untuk keluarga tercinta.

“Sokongan padu yang saya terima daripada mereka membuatkan saya tidak akan sesekali berputus asa dan akan terus berjuang untuk membangunkan perniagaan yang saya warisi daripada arwah bap aini,” ujarnya lagi.