Dari jurutera rangkaian ke pengusaha kraf sepenuh masa, Norliza manfaat bakat yang ada

Pernah bergelar jurutera rangkaian satu ketika dahulu, Norliza Samingon mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana beliau mahu memberi tumpuan kepada kebajikan anak istimewanya yang menghidap major disklesia.

Seorang yang aktif, Norlie tidak betah duduk diam dan mula menjadikan kraf sebagai sumber pendapatan sampingan.  Bermula dengan hobi membuat bunga tangan dan produk kraftangan dari bahan ‘felt’ pada tahun 2009, beliau kemudiannya mengembangkan kemahiran dengan menjahit beg dan kraftangan yang lain.  Memandangkan minatnya yang mendalam dalam pembuatan kraf dan demi menambah produk kraftangan, Norlie telah membeli mesin sulaman pertamanya pada tahun 2017. Dengan pembelian mesin sulaman pertamanya mendorong Norliza untuk terus komited sehinggalah tertubuhnya syarikat Sekoci Biz.  Norliza berkata syarikatnya menjalankan perniagaan sulaman berkomputer di bawah jenama SekociNorlie.

“Pada tahun 2019, saya mendaftarkan diri di Giat MARA Kepong, untuk lebih mendalami proses sulam berkomputer dengan lebih serius dan menerusi bantuan dari Giat MARA, saya layak mendapat geran dibawah Program Pembangunan Produk (RND) iaitu pembiayaan mesin sulam berkomputer bernilai RM20,000,” kata wanita berusia 43 tahun itu kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Anak kelahiran Sekinchan, Selangor itu berkata beliau menawarkan tempahan ‘custom’ yang mana pelanggan boleh terbabit sama dalam proses pemilihan rekaan dan aksara yang diingini.

“Kami tidak mengambil tempahan yang sama melainkan ia diminta oleh pelanggan sendiri. Selain itu, kami turut menawarkan corak dan citarasa baru untuk produk keluaran SekociNorlie.

“Kami menerima tempahan pukal daripada agensi, syarikat serta individu yang ingin mendapatkan perkhidmatan sulaman. Contohnya pada pakaian seragam, baju korporat, topi, bag, tuala dan sebagainya yang bersesuaian dengan produk sulaman,”katanya lagi.

Antara produk sulaman yang boleh ditempah termasuklah tuala, hadiah kelahiran seperti selimut atau baju bayi, sulaman pada topi, pakaian seragam, lencana, apron dan sebagainya.

Norliza berkata bagi mereka yang sukakan “personal touch” yang kreatif, pihaknya turut menyiapkan produk tempahan pelanggan dalam bungkusan yang rapi dan kemas, serta kami selitkan juga sekeping kad ucapan.

“Visi syarikat adalah “We create vibrant and beautiful craft through embroidery” dan saya mahu menjadikan jenama SekociNorlie sebagai satu legasi dalam dunia sulaman.

“Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasar untuk menjadikan SekociNorlie sebagai hab utk semua kraftangan dan sulaman berkomputer. Selain itu, saya juga ingin menambah lagi tenaga kerja pakar dalam penggunaan mesin sulam berkomputer serta menambah kapasiti mesin sulam 2 kepala dengan 24 jarum,” katanya lagi.

Beliau juga bercadang untuk mengambil kursus yang relevan dengan bidang yang diceburinya serta berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan jenama terkemuka yang lain.

“Saya sedar bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah. Ini terbukti apabila pandemik Covid-19 yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini telah melumpuhkan banyak pemain industry. Bagaimanapun, saya belajar beberapa perkara seperti kepesatan potensi yang ada pada perniagaan atas talian.

“Saya hanya memerlukan bengkel atau studio dan walaupun produk itu tidak dapat dipegang atau dibelek oleh pelanggan di ruang premis.  Saya belajar cara mengambil gambar dengan baik, pastikan gambar sama seperti tempahan yang diterima pelanggan, menyantuni pelanggan secara atas talian dengan adab dan ikhlas.

“Selain itu, saya sentiasa membantu pelanggan yang kebuntuan idea selain bersabar apabila diuji dengan pelbagai dugaan sama ada daripada pihak pembekal, pelanggan atau peralatan.

“Saya belajar berfikir secara rasional, mengkaji baik dan buruk tiap tindakan dan menganalisa gaya pembelian, citarasa dan permintaan mengikut musim. Saya juga memanfaatkan setiap ruang dan peluang dalam sesuatu keadaan yang berlaku,” katanya.