Halawa Abaya tawar rekaan lebih ringkas, harga mampu milik

Abaya adalah pakaian tradisi yang sinonim dengan wanita-wanita di negara teluk mahupun di Timur Tengah. Secara dasarnya, abaya adalah sehelai kain yang dipakai di luar ataupun di atas pakaian lain apabila seseorang wanita itu mahu keluar daripada rumah.

Pemakaian abaya amat bertepatan dengan ciri-ciri pakaian yang dianjurkan oleh agama Islam untuk kaum wanita berikutan ciri-ciri yang ada padanya termasuklah kain tebal, warna hitam, besar dan longgar, labuh menutup seluruh badan serta digayakan dengan sopan.

Menyedari bahawa abaya kian mendapat permintaan daripada kaum wanita di negara ini, Marziana Ayob Omar memperkenalkan jenama Halawa Abaya yang menggunakan fabrik-fabrik yang sesuai digayakan di sini.

Bercerita lebih lanjut mengenai Halawa Abaya, anak kelahiran Selangor itu berkata rekaan yang ditawarkannya adalah lebih ringkas dan apa yang penting, ia dijual pada harga mampu milik.

“Perniagaan Halawa Abaya bermula kurang daripada setahun yang lepas apabila saya berhenti berkerja di negara Timur Tengah. Semasa saya berkerja di sana, saya sering mendapat tempahan daripada sahabat handai dan kenalan yang mahukan saya membeli abaya dari sana.

“Dari situ, saya mendapat idea untuk menjadikannya satu perniagaan yang tetap dan saya mengeluarkan Halawa Abaya bagi memenuhi permintaan peminat-peminat abaya di negara ini,” kata wanita berusia 41 tahun itu kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Memandangkan produk abaya keluaran Halawa didatangkan dengan rekaan yang tidak begitu sarat, ia menjadi satu keunikan yang ada pada syarikat berkenaan.

“Memandangkan abaya kami mendapat sambutan baik, kami tidak berlengah lagi dan sentiasa mengadakan promosi bagi membantu Halawa untuk lebih dikenali ramai dan melangkah lebih jauh dalam bidang perniagaan ini,” katanya.

Ditanya mengenai kesan pandemik Covid-19 kepada perniagaan yang masih hijau, Marziana berkata Halawa jug sama seperti perusahaan lain yang dibelenggu pelbagai cabaran dan dugaan semasa penularan virus berbahaya itu.

“Pandemik telah mengakibatkan banyak perniagaan lumpuh tetapi kami di Halawa tidak mahu tunduk kepada cabaran yang berlaku. Kami terus bergerak ke hadapan tanpa menoleh ke belakang lagi. Kami menjadikan pandemik ini sebagai salah satu cabaran dan pengalaman yang berguna yang boleh dijadikan panduan untuk berjaya di masa akan datang,” tambahnya lagi.

Sama seperti usahawan lain, Marziana juga sudah mempunyai rancangan untuk mengemudi jenama Halawa dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Saya mahu memastikan produk abaya yang Halawa keluarkan lebih terkenal dan menjadi pilihan utama bagi mereka yang suka memakai abaya. Selain itu, saya juga mahu Halawa menjadi satu daripada platform terkemuka untuk mendapatkan semua produk Muslimah yang patuh syariat dalam tempoh tiga tahun lagi

“Selain itu, saya juga akan meneruskan pelbagai promosi yang memanfaatkan pelanggan di samping menambahbaik kualiti dan kemasan produk keluaran Halawa,” katanya.

Ditanya mengenai apa faktor yang membuatkannya tidak berputus asa dan terus berjuang untuk membangunkan perniagaan, Marniza berkata wanita adalah sumber inspirasinya.

“Golongan wanita menjadi sumber semangat saya kerana saya ingin membantu lebih ramai wanita di luar sana untuk tampil lebih yakin dan bergaya dengan pakaian yang lebih sopan.

“Saya mahu mengubah stigma masyarakat bahawa pakaian yang sopan juga boleh menjadi menarik dan lebih elegan serta mampu menyerlahkan keyakinan si pemakai. Justeru, dengan adanya abaya keluaran Halawa, kaum wanita kini tidak perlu gusar lagi untuk tampil di khalayak walaupun dalam keadaan menjaga syariat sepenuhnya,” katanya lagi.