Fjbake tawar produk piza pelbagai perisa, produk berasaskan bakeri

Piza sememangnya sinonim dengan negara Itali kerana ia adalah makanan ruji masyarakat di sana. Bagi Norlida Omar, 39 tahun, selain menawarkan piza dalam bentuk bulat, beliau menerusi jenamanya Fjbake turut menawarkan piza dalam bentuk segi empat dan ia ternyata telah mendapat tempat di hati pelanggan setianya.

Beroperasi menerusi syarikat Faqihah Jaya Enterprise yang ditubuhkan pada 12 Mac 2019, anak kelahiran Besut, Terengganu ini berkata pemilihan nama syarikatnya adalah inspirasi daripada nama anak sulungnya yang bernama Faqihah.

Norlida berkata Faqihah menjadi sumber inspirasi dalam kepada seorang ibu untuk mencari rezeki dalam peningkatan sumber kewangan keluarga dan bakat turun temurun daripada ibu kandung seorang peniaga.

Beliau berkata Fjbake menjalankan perniagaan memproses, mengedar dan menerima tempahan produk berasaskan bakeri seperti aneka jenis kek.

“Antaranya adalah kek pisang, kek labu, kek marble dan brownis. Biskut atau dikenali dengan cookies mempunyai tiga perisa iaitu chocolate chip cookies original, chocolate chip red velvet dan chocolate chip Almond. Selain itu, kami juga menghasilkan produk roti dan piza.

“Aneka jenis roti yang ada seperti roti sosej, roti crabboat, roti kaya dan lain-lain dan Fjbake juga mengeluarkan pizza frozen dan fresh bakar,” katanya.

Usahawan wanita itu berkata antara keunikan produk Fjbake adalah piza yang didatangkan dalam bentuk segi empat dan dijual pada harga mampu milik.

“Piza kami ditawarkan dalam lima perisa iaitu Tuna Island, Hawaiian Chicken dan Aloha Beef dengan ketahanan antara tiga hingga enam bulan jika disimpan di bahagian sejuk beku.

“Selain itu, ia juga boleh dimasak dengan cepat dalam enam hingga 10 minit tanpa menunggu lama seperti di kedai piza. Paling utama, ia dihasilkan tanpa bahan pengawet,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Norlida berkata antara kelebihan yang ada pada produknya adalah ia mampu membantu pelanggan mengatasi masalah kesibukan untuk masak dan mereka hanya perlu tempah sahaja produk yang diingini.

“Selain itu, kami menawarkan produk yang segar kepada pelanggan selain mereka boleh memilih mengikut kehendak mereka samaada dari segi saiz, bentuk,” katanya.

Beliau berkata pandemik yang berlaku turut meninggalkan pengajaran bermakna buatnya dan menjadikannya lebih kuat berusaha walaupun diuji dengan kejatuhan.

“Perniagaan tidak selalunya menguntungkan, ada masanya ia naik dan turun mengikut permintaan. Apa yang penting, saya akan terus memperbaiki dan meningkatkan kreativiti produk,” katanya lagi.

Ditanya mengenai sasaran yang mahu dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi, Norlida berkata beliau mahu membuka kiosk Fjbake di sekitar negeri Terengganu dan juga di luar negeri berkenaan.

“Selain itu, saya mahu menempatkan produk Fjbake di setiap pusat makanan serta pasaran di samping mengambil ejen produk di setiap negeri.

“Saya juga mahu memantapkan transaksi jualan sama ada di dalam talian mahupun di luar talian serta meluaskan pasaran dalam dan luar negara.

“Antara cara yang saya akan guna untuk mencapai sasaran yang ditetapkan termasuklah dengan menceburi kursus dan karnival jualan terpilih sebagai langkah permulaan.

“Saya juga mahu menjalankan program ‘networking’ bersama syarikat lain yang mempunyai iltizam yang sama,” ujarnya lagi.

Menyedari bahawa laluannya dalam dunia perniagaan tidak semudah yang disangka, Norlida berkata beliau tidak akan berputus asa dan akan terus berjuang sebaik mungkin.

“Saya akan pastikan Fjbake mampu memberi manfaat kepada orang lain dalam sumber pendapatan di samping mengeluarkan zakat (membantu orang yang memerlukan) dan paling utama, membantu keluarga dan adik-beradik saya sekiranya mereka berada di dalam kesusahan,” katanya.