Makanan berasaskan sambal sememangnya amat sinonim dengan masakan seharian rakyat di negara ini, malah ia sangat digemari ramai. Proses memasak sambal yang sedap dan enak memerlukan persediaan yang teliti dan mengambil masa yang agak lama bagi mendapatkan rasa yang terbaik dan kena dengan selera penggemar sambal. Justeru, ramai pemilik perniagaan mula meneroka potensi yang ada dalam pasaran sambal sedia dimakan (ready-to-eat). Bagi pengasas Palmira Foods Network, Fatimah Mokhter, idea untuk menghasilkan pes, acar dan sambal ‘ready-to-eat’, bermula apabila beliau berada di luar negara.
“Pada waktu itu, saya berhadapan dengan masalah untuk mencari makanan Malaysia dan saya terfikir alangkah mudahnya jika ada produk sambal yang mudah dibawa ke mana sahaja. Bukan itu saja, ia juga dapat membuka selera semasa di luar negara,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.
Palmira Foods Network adalah sebuah syarikat bumiputera yang memproses dan mengedarkan makanan berasaskan cili dan rempah jenama Palmira di Senawang, Negeri Sembilan. Sambal Palmira dihasilkan menggunakan mesin moden yang khusus untuk pembuatan pes, acar dan sambal. Kaedah pembuatannya pula diperoleh daripada resepi warisan keluarga turun temurun menggunakan bahan mentah yang terpilih dan berkualiti tinggi bagi mengekalkan rasanya yang asli.
Fatimah berkata Palmira Foods Network mengeluarkan pelbagai jenis produk antaranya Acar Cili, Jam Cili Merah, Acar Petai, Pes Cili Serai dan Pes Sambal Tumis Cili Pedas dan banyak lagi.
Ditanya mengenai keunikan produk jenama Palmira, wanita berusia 60 tahun itu berkata produk keluaran syarikatnya itu mampu memudahkan urusan pengguna untuk menikmati makanan seperti yang dimasak di rumah dalam tempoh yang cepat.
“Dengan adanya pelbagai rangkaian produk Palmira, pengguna dapat menikmati makanan mereka tanpa perlu melalui proses penyediaan yang lama dan renyah.
“Itulah keunikan produk kami. Ia telah memberikan kelebihan kepada kami untuk mengembangkan perniagaan kerana orang di luar sana tidak mempunyai banyak masa untuk dihabiskan di dapur. Walaubagaimanapun, mereka tetap menginginkan makanan yang sedap seperti masakan ibu mereka. Makanan sentiasa menjadi pilihan ulama dan tiada penghujung dari segi pilihan dan citarasa.
“Oleh itu, saya percaya industri makanan ini akan sentiasa boleh berkembang dan akan terus mempunyai permintaan yang tersendiri,” katanya anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu lagi.
Beliau turut bercerita mengenai pengalamannya berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai usahawan lain yang terpaksa bergolok gadai demi kelangsungan perniagaan mereka. Fatimah agak bernasib baik kerana operasi perniagaannya lebih tertumpu kepada transaksi secara dalam talian.
“Jadi, impak yang diterima tidaklah terlalu kuat kerana kami masih boleh beroperasi seperti biasa. Dari situlah saya nampak kepentingan perniagaan dalam talian ini kerana semuanya boleh beroperasi di hujung jari sahaja.
“Selain itu, syarikat saya juga dilengkapi dengan infrastruktur yang canggih yang telah memudahkan semua proses penyediaan sambal. Selain itu, kakitangan kami juga dapat bekerja di tahap yang optimum dan produktiviti syarikat kekal stabil.
“Selain proses pembuatan, aspek penyimpanan juga dititikberatkan yang mana Kawasan penyimpanan kami boleh menampung kuantiti pukal bahan mentah untuk jangka masa yang panjang dengan tahap keselamatan yang terjamin,” ujarnya lagi.
Seperti juga usahawan lain, beliau turut mempunyai pelan yang mahu dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi.
Fatimah berkata beliau menyasar untuk mengembangkan perniagaannya dengan memberikan lebih banyak tawaran produk dan pilihan aneka makanan Malaysia kepada penggemarnya.
“Saya mahu terus memperkenalkan makanan Malaysia kepada pasaran luar negara dan mahu menjadikan makanan negara ini satu daripada makanan kegemaran masyarakat antarabangsa,” tambahnya.