Takaful adalah sebuah perniagaan berasaskan pendidikan – Niza Isra

Dewasa ini, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan takaful semakin berkembang dan sudah ramai di antara kita yang sanggup mengenepikan sejumlah wang setiap bulan bagi tujuan caruman takaful.

Perlindungan yang diberikan pula tidak hanya terhad kepada kad perubatan malah ia turut merangkumi faedah kematian ataupun kecacatan kekal yang dialami disebabkan kemalangan.

Bagi Arniza Israwati Sehab atau lebih mesra disapa Niza Isra, beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang takaful kerana sudah berkecimpung selama 17 tahun lamanya dalam industri berkenaan.

Beliau yang kini menjawat jawatan Pengurus Kumpulan agensi takaful berkata antara pencapaian yang telah dicapai sejak berada dalam dunia terbabit hingga kini termasuklah berpengalaman membuat tuntutan lebih RM9 juta, bergelar ‘Mega Leaders’ bagi tahun 2019, 2021 dan 2022 serta layak menyertai lawatan ke Bali, Surabaya serta Guilin.

Bercerita mengenai perjalanannya dalam dunia takaful, Niza Isra berkata sebelun terjun ke bidang berkenaan, beliau merupakan seorang jurutera awam.

“Saya pernah berkhidmat sebagai jurutera sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan penuh kepada kerjaya sebagai perunding takaful,” katanya yang berasal dari Kulim, Kedah kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata beliau kini aktif dalam pasaran secara dalam dan luar talian bagi merekrut agen baharu serta menawarkan latihan kepada mereka.

“Agen saya terdiri daripada mereka yang datangnya daripada pelbagai golongan seperti lepasan diploma dan ijazah sehingga  ke golongan profesional seperti guru, jurutera kanan, juruukur bahan kanan, bekas wartawan, pelatih, pegawai teknologi maklumat dan ramai lagi.

“Kami mempunyai pelanggan di seluruh negara kerana menerusi sistem digital yang Great Eastern Takaful Berhad sediakan, kami boleh berkomunikasi secara dalam mahupun luar talian dan pada bila-bila masa sahaja bagi menguruskan hal berkaitan pendaftaran mahupun tuntutan,” katanya lagi.

Beliau turut berkongsi cabaran yang dihadapi sepanjang bergelar perunding takaful dan beliau beranggapan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memberi kesedaran kepada orang awam mengenai risiko kewangan mereka.

“Mereka perlu faham bahawa pengurusan kewangan mempunyai cabaran dan kedudukannya yang tersendiri.

“Mana tidaknya, tiada sebarang benda yang boleh dipegang serta bersaingan dengan kematian, lumpuh dan sakit kritikal. Jadi, ia telah membuatkan saya dan pasukan saya sentiasa bersemangat untuk bergerak laju untuk menyelamatkan lebih banyak keluarga dari kemelut kewangan,” katanya lagi.

Niza Isra juga berkongsi pengalamannya berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia selama hampir tiga tahun. Beliau berkata, ketika pandemik melanda, kadar pertumbuhan dalam industri ternyata sangat positif.

“Dalam kekalutan ekonomi industri takaful menang dua penjuru. Satu – lebih ramai yang sedar pentingnya plan hibah dan perubatan. Dua, ramai yang dibuang kerja memilih kerjaya takaful sebagai bisnes baru.

“Kerjaya takaful memerlukan modal yang rendah dan prosedur yang mudah kerana semuanya boleh dibuat secara dalam talian. Ia memberi kemudahan dari segi masa dan tempat kerja.

“Melihat pertumbuhan industri yang positif, saya ingin mensasarkan jualan sebanyak RM3 juta jualan dan merekrut lebih daripada 200 agen dibawah agensi saya.

“Saya juga amat mengalu alukan semua untuk datang mencipta kejayaan bersama kami,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perniagaan takaful adalah perniagaan pendidikan ilmu kewangan.

“Ia dapat mengubah taraf kewangan diri agen dan dalam masa yang sama memastikan sebuah keluarga masih punya makanan diatas meja. Masih ada rumah untuk berteduh dan anak anak yang meneruskan pelajaran mereka,” ujarnya.