Dr.R grofarm tawar khidmat konsultasi rekaan bentuk rak pasu

Ketika pandemik melanda Malaysia pada tahun 2020, Dr Rais Yusoh dan isterinya Dr Ros Nadiah Rosli baru sahaja menamatkan pengajian Doktor Falsafah (Kejuruteraan Awam) di sebuah universiti tempatan.

Pada mulanya, mereka berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik berstatus kontrak di universiti yang sama, bagaimanapun pandemik telah menyebabkan kerja di lapangan tergendala kerana pergerakan merentas negeri adalah terhad.

Bermula dari situ, pasangan suami isteri itu mengambil keputusan untuk mula berniaga sementara menunggu pandemik reda.

Pada awal perniagaan, mereka membabitkan diri dengan tanaman cili fertigasi dan pembuatan baja AB. Bercerita kepada Entrepreneur Insigh, Ros Nadiah berkata perniagaan mereka didaftarkan diatas nama DRR AGRO FARM (nama brand Dr.R grofarm).

“Tidak lama selepas itu, suami saya sengaja memuat naik tempat letak bekas racun menggunakan ‘c channel’ (besi biru) di media sosial.

“Sejak dari itu, banyak permintaan rak pasu yang kami terima bermula dengan kenalan rapat hinggalah pelanggan luar. Kemudiannya kami mengambil keputusan untuk menjenamakan semula produk berkenaan kepada nama Dr.R Rak Pasu Bunga Penang.

“Kami mula berniaga dari rumah dengan menggaji dua orang pekerja yang bekerja secara separuh masa dan pada Julai 2021, kami mula menyewa premis memandangkan perniagaan semakin berkembang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata syarikatnya tidak hanya menjual rak pasu standard, mereka juga menawarkan konsultansi mereka bentuk dan servis mengukur secara percuma kepada mereka yang inginkan kelainan dan keunikkan pada rak pasu di rumah mereka, namun terhad kepada kawasan Pulau Pinang dan sekitar.

“Selain itu, kami turut mengambil sebarang tempahan yang boleh mengunakan besi ‘c channel’ seperti ‘awning’, sangkar, rumah hijau, gazebo, kabinet dan ubah suai rumah yang mudah.

“Bagi mereka yang inginkan rak pasu yang direka khas untuk jenis pokok bunga yang ditanam dan yang bersesuaian dengan kawasan perumahan mereka, bolehlah mendapatkan konsultansi rekabentuk daripada kami.

“Kami akan melakarkan dahulu rekabentuk rak pasu bunga tersebut menggunakan aplikasi SketchUp bagi memastikan bertepatan dengan citarasa dan kehendak pelanggan. Menerusi kaedah ini, saya percaya pelangan akan lebih yakin dan percaya akan kebolehan kami,” katanya.

Memandangkan pasangan suami isteri berkenaan mula menceburi bidang perniagaan semasa tempoh pandemik, banyak perkara yang telah dipelajari daripadanya.

“Jika kita pandang pandemik membawa “bencana”, maka “bencana” itulah yang akan datang kepada kita. Bagi saya, pandemik membuka ruang dan peluang untuk kami menukar sudut pandang kami, daripada kerja makan gaji kepada pekerjaan yang dapat memberikan gaji.

“Insyallah, dalam tiga tahun lagi mampu, kami menyasar untuk memiliki lori satu tan dan membuka cawangan di beberapa tempat bermula di Bertam (Utara Pulau Pinang), Ipoh dan Tanjung Malim.

“Kami akan meluaskan lagi skop kerja kami ke pembuatan yang melibatkan kimpalan seperti jeriji tingkap dan pagar. Juga, kami akan fokuskan ke arah pembinaan kabin yang menjadi trend terkini mengunakan papan cantik dan besi biru ‘c channel’.

“Untuk merealisasikan impian ini, kami akan memperkenalkan sistem ‘affiliate’ kepada para pelangan sedia ada serta melantik agen bagi menawarkan perkhidmatan pemasangan ke rumah pelangan yang berhampirkan mereka,” katanya.

Mereka juga yakin segala susah payah yang dihadapi akan terbalas apabila kita melihat pemandangan yang indah di puncak.

“Saya juga percaya dengan petikan dari surah Ash-Syarh ayat 5 dan 6, “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan” yang diulang dua kali untuk direnungkan. Insyallah, setiap rezeki telah pun tertulis,” katanya.