Kopi Sacha Inchi

Dari dunia minyak dan gas, Junaidi terjun ke bidang perniagaan berasaskan kosmetik dengan melancarkan produk sulong iaitu produk Kopi Sacha Inchi yang bernaung di bawah syarikat bernama Dee Farms Beauty And Cosmetic

Siapa sangka seseorang yang sebelum ini bergelumang dalam bidang yang majoritinya dipelopori oleh kaum lelaki iaitu sektor minyak dan gas (O&G) kini terjun ke dalam bidang yang dikuasai oleh wanita iaitu kosmetik.

Itu adalah sisi menarik Junaidi Mohd Nasir, 50 tahun yang berasal dari Pasir Mas Kelantan. Beliau bukan sahaja meneroka bidang yang asing buatnya tetapi juga keberaniannya memulakan perniagaan baharu semasa pandemik Covid-19 sedang memuncak di negara ini juga wajar diberi pujian.

Junaidi menubuhkan syarikat Dee Farms Beauty and Cosmetic (Dee Farms) pada November 2021 dan idea untuk menceburi bidang kosmetik dan penjagaan kesihatan itu tercetus semasa pandemik. Bercerita mengenai perjalanannya dalam dunia perniagaan, usahawan itu berkata pada waktu itu, banyak sektor perniagaan hampir lumpuh, terutamanya dalam sektor O&G berikutan kelembapan ekonomi dunia.

“Sebelum ini, semasa saya masih berada di dalam bidang berkenaan, saya perlu bergerak ke sana sini atas tuntutan kerja.

“Produk keluaran Dee Farms yang pertama adalah kopi Sacha Inchi Dee Farms dan saya memilih untuk mengeluarkan produk ini kerana saya sendiri adalah seorang pencinta kopi.

“Sacha Inchi adalah bahan ekstrak utama yang digunakan untuk membuat kopi ini dan ianya berasal dari Peru. Bagaimanapun, tumbuhan ini juga boleh didapati di negara ini. Kebaikan tumbuhan ini antaranya termasuklah dapat membantu mengurangkan penyakit 3 serangkai yang tentunya berkaitan dengan masalah pembuluh darah yakni Kencing manis, darah tinggi juga kolesterol..

“Pada saya lebih baik mencegah daripada merawat, alang-alang minum kopi, kita boleh juga mencegah penyakit yang tidak diingini,” katanya lagi dalam satu sesi temubual baru-baru ini.

Junaidi berkata melihat kepada keunikan yang ada pada produk kopi Sacha Inchi keluaran Dee Farms itu, beliau yakin untuk terus membawa jenama berkenaan mengorak langkah yang lebih besar dengan menembusi lebih banyak pasaran negara lain. Terkini produk kopi Sacha Inchi jenama Dee Farms sudah berada di Zamboanga, Selatan Filipina.

“Pada masa ini, jualan produk ini dibuat sepenuhnya secara dalam talian dan saya menggunakan pelbagai ‘tools’ jualan yang boleh membantu mengetengahkan produk ini kepada masyarakat.

“Saya memilih platform dalam talian kerana melihat perkembangan terkini yang tertumpu kepada pasaran dalam talian. Selain itu, berdasarkan data yang saya kumpul, produk Dee Farms juga mencatatkan ‘rating’ audiens yang lebih tinggi dan jangkauan yang lebih jauh menerusi platform dalam talian berbanding kebiasaan sebelumnya,” tambahnya lagi.

Memandangkan Junaidi memulakan perniagaan semasa dalam tempoh yang mencabar, beliau berkata setiap masalah mempunyai jalan penyelesaiannya yang tersendiri.

“Ahli perniagaan yang ingin berjaya harus mempunyai kecekalan dan sifat sabar dalam diri sekiranya mereka mahu mengembangkan produk masing-masing.

“Selain itu, saya juga harus bersifat lebih kreatif dalam meneroka potensi yang ada pada produk yang saya keluarkan.

“Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasarkan produk keluaran Dee Farms dikenali di seluruh negara khasnya dan secara amnya di seluruh dunia.

“Saya akan terus bekerja keras dalam mengatur strategi perniagaan serta juga pemasaran produk dan tidak akan sesekali mengalah. Saya juga sering mengingatkan diri sendiri agar terus bersaing secara positif dengan rakan-rakan perniagaan yang lain,” katanya.

Ditanya mengenai apa yang membuatkan beliau terus nekad dalam mengemudi perniagaan Dee Farms, Junaidi berkata beliau sentiasa berpegang kepada prinsip hidupnya.

“Prinsip saya cuma satu iaitu saya jenis yang nekad, ‘from zero to hero’. Saya tidak takut gagal, apatah lagi mahu menyerah kalah.

“Apa yang paling penting, saya mempunyai keluarga yang diamanahkan Allah untuk saya jaga di dunia dan di akhirat,” katanya lagi.