Zuracking bekal rak besi pelbagai kategori

Rak besi adalah satu daripada peralatan yang perlu ada bagi setiap usahawan yang mahu memulakan perniagaan. Ia berfungsi sebagai ruang untuk penyimpanan stok dan boleh ditempatkan sama ada di pejabat mahupun di rumah, bergantung kepada skala perniagaan usahawan terbabit.

Semakin besar perniagaan mereka, semakin besar saiz rak besi yang diperlukan. Melihat kepada permintaan terhadap rak besi yang tidak putus-putus, Muhammad Faidruz Sabudin mahu memanfaatkan potensi yang ada dengan menubuhkan syarikat Zuracking.

Nama Zuracking itu tercetus daripada nama Faidruz yang diterbalikkan menjadi Zurdiaf. Seterusnya, bagi menjadikannya lebih unik, beliau menggabungkan nama Zur dengan Racking yang merujuk kepada rak. Hasilnya, terhasillah nama Zuracking dan syarikat berkenaan ditubuhkan pada tahun 2018.

Bercerita lanjut mengenai syarikatnya kepada Entrepreneur Insight, Muhammad Faidruz berkata Zuracking menawarkan perkhidmatan membekalkan rak besi kepada pelanggannya, sama ada untuk kegunaan komersial mahupun industri.

Beliau berkata, terdapat tiga kategori rak besi yang dibekalkan oleh syarikatnya dan pelanggan mempunyai kebebasan untuk memilih jenis yang sesuai dengan perniagaan mereka.

“Kategori pertama adalah rak besi ‘heavy duty’ yang digunakan untuk tujuan penyimpanan barang-barang dalam saiz dan skala yang besar dan banyak.

“Ia didatangkan dalam pelbagai saiz dan sesuai digunakan di kilang, pasaraya dan juga gudang. Malah, beratnya juga melebih 1 ton. Rak besi jenis ‘heavy duty’ ini juga kukuh dan selamat digunakan. Syarikat Zuracking juga turut menawarkan khidmat pemasangan dan ukur dan harga adalah berdasarkan saiz yang diperlukan,” ujar anak kelahiran Klang, Selangor ini lagi.

Mengulas lanjut, usahawan berusia 44 tahun itu berkata untuk kategori kedua, syarikatnya menawarkan rak besi tanpa skru atau ‘boltless rack’.

“Apa yang menarik mengenai rak jenis ini adalah ia unik dan tidak menggunakan skru. Selain itu, ia juga mudah dipasang dan mampu menampung berat antara 150 kilogram hinggalah 400 kilogram. Ia juga didatangkan dalam pelbagai saiz dan sesuai digunakan di rumah, pejabat, kedai dan juga sekolah. Harga yang ditawarkan adalah tertakluk kepada saiz yang diperlukan.

“Bagi kategori rak yang ketiga, ia adalah rak lipat atau ‘foldable rack’ yang ringan dan mudah dipasang. Selain itu, ia juga mudah untuk dibawa ke mana-mana kerana sifatnya yang boleh dilipat. Apa yang menarik, ia mampu menampung berat beban sehingga 100 kilogram,” katanya lagi, sambil menambah bahawa pihaknya turut menawarkan penghantaran dan pemasangan secara percuma di sekitar Lembah Klang khas untuk penonton Jom Beli.

Muhammad Faidruz berkata beliau mahu membawa nama Zuracking menjadi lebih dikenali di dalam pasaran.

“Saya percaya dengan rezeki. Ia sentiasa ada, saya cuma perlu bertawakal dan meneruskan usaha. Saya tidak gentar dengan persaingan kerana saya yakin dengan kualiti perkhidmatan yang saya tawarkan kepada pelanggan.

“Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasar untuk mempunyai gudang sendiri yang boleh menyimpan stok rak dalam kuantiti yang lebih banyak. Selain itu, saya juga memerlukan bantuan untuk memasarkan perkhidmatan dan produk syarikat Zuracking dengan lebih dinamik.

“Saya yakin dapat mencapai sasaran yang ditetapkan dengan terus menjaga kualiti perkhidmatan yang syarikat Zuracking tawarkan.

“Saya percaya rak besi sentiasa mempunyai permintaan dalam pasaran. Ini terbukti apabila walaupun harganya naik melambung disebabkan kos besi yang semakin meningkat, masih ramai pelanggan mahu mendapatkannya kerana ia sudah dianggap sebagai barangan yang perlu ad ajika mahu memulakan perniagaan,” katanya lagi.