Terapi urut tradisional masih jadi pilihan golongan moden

Pernahkah anda mengalami rasa lenguh dan sengal pada anggota badan, terutamanya selepas seharian meluangkan masa di pejabat ataupun sibuk dengan aktiviti harian? Jika ya, anda pasti mahu melegakan badan dengan mendapatkan terapi urutan tradisional yang nyaman dan memuaskan.

Terapi urutan adalah cara yang baik untuk membantu proses penyembuhan badan secara alami. Kaedah urutan telah digunakan sejak berzaman lamanya dan ia terus sehingga kini sebagai pilihan yang berdaya maju untuk rawatan tekanan, kecederaan tisu lembut, kejang otot, pengurusan kesakitan dan pemulihan. Kekerapan rawatan urut juga bergantung kepada keperluan seseorang individu itu.

Perubahan fisiologi yang berlaku dalam badan disebabkan oleh peningkatan edaran dan pelepasan pelepasan neuro dan hormon ke dalam aliran darah semasa  urutan dilakukan.

Ini menunjukkan bahawa urutan mengurangkan tahap hormon tekanan dan meningkatkan relaksasi dalam badan serta meningkatkan tahap serotonin di dalam otak (hormon gembira) yang membawa kepada rasa keseluruhan peningkatan kesejahteraan.

Hormon tekanan negatif boleh membawa kepada penyakit dan menjejaskan sistem imun apabila hadir di tahap yang tinggi. Terapi urut adalah cara yang baik untuk memerangi kesan-kesan tekanan dan gaya hidup yang terlalu banyak bekerja.

Bagi juruterapi urut Nor Aisyah Zakaria, beliau mula berkecimpung dalam bidang urutan tradisional Melayu sejak empat tahun lepas.

Beliau berkata minat yang mendalam dalam bidang berkenaan telah mendorongnya untuk bergerak sendiri dengan mengendalikan perkhidmatan spa mudah alih.

“Minat saya untuk membantu orang melegakan masalah kesihatan mereka menerusi terapi urutan sudah bermula sejak saya berusia 14 tahun lagi.

“Sejak dari itu, saya mula mengumpul pengalaman sedikit demi sedikit dengan menawarkan terapi urutan tradisional kepada mereka yang berminat. Dari situlah saya mula membina portfolio dan dengan testimoni yang baik daripada pelanggan-pelanggan saya, permintaan terhadap perkhidmatan spa mudah alih saya semakin mendapat sambutan,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Usahawan wanita berusia 40 tahun itu menambah kerjayanya itu juga tidak lari daripada cabaran kerana dunia perniagaan ada pasang surutnya.

Bercerita mengenai kesukaran yang dihadapi untuk meneruskan perniagaannya semasa pandemik Covid-19, Nor Aisyah yang berasal dari Subang Jaya, Selangor itu berkata situasinya pada masa itu sememangnya amat mencabar.

“Sewaktu pandemik berlaku, ditambah pula dengan Perintah Sekatan Pergerakan, memang saya akui agak berat dan mencabar juga untuk saya hadapi.

“Ini kerana saya tidak dapat keluar pergi mengurut mahupun menerima pelanggan di rumah kerana perlu mematuhi prosedur standard operasi. Bagaimanapun, saya tidak mahu mengalah begitu sahaja dan cuba mencari pendapatan sampingan.

“Saya cuba membuat produk sejuk beku seperti kuih muih untuk jualan secara kecil-kecilan. Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang baik daripada rakan dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

“Apabila negara sudah mula memasuki fasa pemulihan, saya membuat keputusan untuk kembali menawarkan khidmat sebagai juruterapi urutan tradisional.

“Semangat dan minat saya tidak pernah pudar malah saya rasa lebih berkeyakinan apabila setiap kali saya mengurut pelanggan, mereka sentiasa memberikan maklumbalas yang baik dan memberangsangkan.

“Justeru, saya memasang impian untuk terus melebarkan perniagaan saya ke peringkat yang lebih tinggi. Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya merancang untuk memajukan lagi empayar saya iaitu dengan membuka sebuah premis untuk mereka yang ingin datang mendapatkan khidmat urusan di tempat saya,” katanya lagi.