IrQiesya HQ sasar kembang perniagaan ke seluruh Malaysia

IrQiesya HQ ditubuhkan pada tahun 23 Disember 2011 dan beroperasi di Bertam, Pulau Pinang. Diasaskan oleh usahawan wanita bernama Shakirah, beliau memulakan perniagaan berbekalkan pengalaman yang meluas dalam pelbagai bidang. Sebelum IrQiesya HQ ditubuhkan, Shakirah pernah berkhidmat sebagai Manager Quality Engineering (MQE). Selepas itu, beliau turut berkecimpung dalam dunia perniagaan dengan membuka restoran sendiri berasaskan makanan tempatan dan barat. Selain itu, beliau juga menyediakan pekerja dan kemudahan pengangkutan kepada kilang perindustrian.

Berpandukan pengalaman yang dimiliki dalam banyak industri seperti pengkilangan, logistik, dan makanan dan minuman, beliau membuka IrQiesya HQ yang kini sudah beroperasi lebih dari sedekad.

IrQiesya HQ kini mempunyai dua cawangan iaitu IQe Academy di Bertam Permai, Kepala Batas,Pulau Pinang dan Kulim, Kedah Darul Aman. Selain itu, perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh IrQiesya ialah Penang Kyrra Production yang menawarkan perkhidmatan percetakan, persediaan kertas kerja, pemasaran, reka bentuk dan kafe internet.

Syarikat terus mengembangkan perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan bilik sewa dan ‘homestay’ di bawah seliaan HLooi Venture Sdn Bhd (HLooi Venture).

Bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia keusahawanan kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, Shakirah berkata syarikatnya turut menyediakan perkhidmatan pegawai keselamatan bagi pejabat, kawasan perumahan, kilang dan sebagainya juga di bawah HLooi Venture.

“Seterusnya, IrQiesya juga menawarkan perkhidmatan cucian seperti servis mencuci atau membersih di kawasan pejabat, rumah, kilang, surau, dan premis.

“Perkhidmatan yang ditawarkan oleh IrQiesya HQ memfokuskan kepada pembangunan individu/kelompok secara menyeluruh.

“Sebagai contoh, IQe Academy beroperasi sebagai perunding pendidikan yang menawarkan kelas khas asas pemulihan dan pengukuhan, kelas 3M (mengeja, membaca dan menulis), kelas tuisyen untuk kategori sekolah rendah dan sekolah menengah, kelas Bahasa Inggeris, STPM, MUET, kelas bahasa dan kelas kemahiran.

“Bagi kelas Bahasa pula, ianya merangkumi kelas Bahasa Mandarin, Bahasa Hokkien dan Bahasa Jepun. Kelas kemahiran pula terbahagi kepada dua kategori iaitu kelas komputer dan kelas asas fotografi,” katanya.

Mengulas lanjut, Shakirah berkata pihaknya turut menawarkan kelas keusahawanan bagi individu yang berminat dan untuk mendapat bimbingan mengenai perniagaan.

“IrQiesya turut menjalankan aktiviti kebajikan pada setiap minggu. Antara kelebihan yang dapat diperoleh oleh perniagaan ini adalah dapat mengembangkan pembangunan atau cawangan IrQiesya ke negeri lain.

“Di samping itu, perniagaan ini dapat membuka peluang pekerjaan dan membantu anak muda atau graduan membina pelbagai kemahiran serta dapat menceburi diri di dalam aktiviti yang dianjurkan oleh syarikat seperti kebajikan amal,” tambahnya lagi.

Bercerita mengenai pengalaman syarikat berhadapan dengan pandemik Covid-19, beliau berkata pihaknya bersedia dalam menghadapi sebarang situasi mengikut keadaan semasa.

“Syarikat dapat mentransformasikan cara mempromosikan perniagaan melalui kaedah pemasaran secara fizikal kepada pemasaran secara dalam talian (digital marketing). Perubahan ini dapat mengasah kemahiran di kalangan para pekerja IrQiesya dalam mennginovasikan pemasaran secara dalam talian.

“Dalam masa tiga tahun lagi, syarikat berharap supaya perniagaan semakin berkembang sehingga ke perlusuk negeri. Syarikat berharap dapat membuka lebih banyak cawangan dengan adanya penambahan kakitangan yang sentiasa komited dalam menjalankan tugas.

“Melalui perancangan itu, perkhidmatan yang ditawarkan semakin bertambah mengikut keperluan semasa. Perniagaan berpegang pada pepatah “Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih” dan “Pantang Berundur Sebelum Berjuang” dalam erti kata lain “Never Give Up”,” katanya menutup bicara.