Kertas Putih Trade tekad mahu capai pendapatan RM100 ribu sebulan

Perniagaan percetakan dan reka bentuk sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat kerana ramai memerlukan perkhidmatan ini dalam pelbagai bidang pekerjaan terutama pengiklanan dan sebagainya,

 Prihatin keperluan masyarakat dan mahu memberikan perkhidmatan terbaik bagi mereka yang memerlukan,  usahawan Kertas Putih Trade, Shadatulnadia Mohd Khasani, berkata  syarikat miliknya  itu ditubuhkan pada November 2016 lalu, di Plaza Pandan Malim, Melaka.

Kata anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini, antara perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah rekaan serta percetakan.

Kata usahawan wanita berusia 31 tahun ini, perniagaan itu bermula hanya dengan kerja sambilan apabila beliau pada awalnya hanya menjual kad perniagaan. Kemudian, pada tahun 2016 lalu, beliau mengorak langkah membuka sebuah kedai perkhidmatan fotostat dan menawarkan khidmat  percetakan pelbagai produk.

“Kami bermula dengan modal yang kecil sahaja dan mula membeli mesin-mesin sedikit demi sedikit untuk menambah aset sedia ada kami,” katanya kepada Entreprenuer Insight, baru baru ini.

Menjelas apa keunikan syarikat yang ditubuhkan itu, beliau berkata antaranya adalah pihaknya menawarkan produk yang boleh dibuat khas mengikut rekaan yang diminta pelanggan selain menawarkan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan mereka.

Katanya, mereka yang menawarkan harga yang sangat berpatutan kepada pelanggan setanding perkhidmatan yang diberikan selain mahu menawarkan pelbagai jenis produk terbaik. Produknya juga boleh diakses secara dalam talian dan perkhidmatan fizikal, menjadikan produk mereka pilihan pelanggan.

Katanya, kelebihan yang diterima sebagai usahawan membantu syarikatnya menarik perhatian lebih ramai pelanggan, menaikkan imej syarikat serta dapat membantu peniaga dan masyarakat sekitar yang memerlukan perkhidmatan dalam dunia percetakan dan rekaan.

Pada masa sama, beliau berharap dapat mengembangkan lagi perniagaan dan penambahan kakitangan yang mana ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai orang.

Pandemik yang melanda cukup banyak memberi pengajaran, ilmu dan melengkapkan diri sebagai usahawan yang sudah melalui pelbagai cabaran hidup.

“Pandemik yang melanda negara dan usahawan seperti saya ini menjadikan kami lebih sabar dan bersyukur melalui setiap perkara dalam kehidupan sebagai usahawan.

“Malah kami mula menyedari dan belajar bahawa sosial media menjadi platform utama dalam perniagaan. Pada masa sama, kami juga dapat mengaplikasikan perkhidmatan penghantaran serta membabitkan diri dalam perniagaan secara digital,” katanya.

Sepertimana diimpikan kebanyakan usahawan kecil atau besar, beliau juga mempunyai impian yang ingin dikejar dalam tempoh tiga tahun akan datang. Beliau berharap ia menjadi realiti dalam perjalanannya sebagai usahawan.

“Saya mahu  menjadikan syarikat saya sebagai pilihan utama di negeri Melaka. Saya juga mahu menambah cawangan baharu di negeri lain serta mahu membuka peluang kepada ramai ejen perniagaan.

“Malah, dalam penambahbaikan perniagaan, saya  turut mahu mempunyai perkhidmatan lebih bersistem dan mahu mencapai pendapatan sebanyak RM100 ribu sebulan. Ini impian yang saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin,” katanya.

 Bagi mencapai kesemua impian dan cita-cita ini, saya mahu meningkatkan lagi pemasaran dan pengiklanan syarikat supaya lebih dikenali.

“Untuk itu, saya perlu meningkatkan ilmu perniagaan dan menyediakan sistem ejen yang lebih  sistematik.

“Dengan usaha ini, saya yakin dapat berkongsi rezeki dengan orang lain, dapat menambah pendapatan buat diri sendiri dan juga keluarga.

“Ini kerana minat saya amat mendalam dalam dunia keusahawanan dan mahu menjadi usahawan wanita berjaya di negara ini. Pada masa sama saya mahu membuktikan wanita juga mampu berjaya dan meletakkan diri dengan baik dalam dunia percetakan yang banyak dipelopori lelaki,” katanya.