Yakin potensi jualan perhiasan emas, Jasfran Jewellery sasar jualan emas melebihi 6 juta setahun

Kedai Emas JasFran di bawah syarikat Jasfran Jewellery Sdn Bhd adalah merupakan  pusat sehenti bagi penggemar barangan perhiasan seperti emas.

Realitinya, setiap perniagaan mengalami jatuh bangun kerana ia adalah asam garam dalam dunia perniagaan. Kedai emas ini juga tidak terkecuali pernah mengalami pengalaman yang sama.

 Pengasasnya, Jasmi Harun, 50, datang dari keluarga anak petani pernah gagal beberapa kali dalam perniagaan yang diusahakan sebelum ini hingga hampir trauma untuk menjalankan perniagaan lagi.

Pada 2011, kakak kepada pengasas ini, mengajak adiknya untuk menceburi perniagaan emas walaupun ketika itu perniagaan yang diusahakan melalui cabaran getir sehingga perniagaan itu jatuh selain terpaksa berhutang kepada institusi perbankan dengan jumlah yang banyak.

Namun, berkat pujukan daripada kakaknya yang juga merupakan pengasas kepada Kedai Emas Baraqoh Kuala Lipis, Pahang, ia akhirnya dapat meyakinkan Jasmi untuk berani terjun ke bidang perniagaan emas.

Anak kelahiran Raub Pahang ini dengan berat hati terpaksa menjual asset terakhir yang ada iaitu rumah flat miliknya yang bernilai RM60,000.

 “Dengan wang berjumlah RM60,000 hasil jualan flat tersebut, saya gunakan membayar hutang di bank sebanyak RM10,000 supaya nama tidak disenarai hitamkan disebabkan hutang tertunggak. RM20,000 pula untuk membayar duit pendahuluan membeli rumah teres sebagai ganti rumah flat yang dijual.

“Jumlah RM10,000 digunakan untuk bayaran guaman.  Manakala baki RM20,000 sebagai permulaan untuk membeli sedikit barang kemas bagi memulakan  perniagaan emas ini,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Kongsi beliau lagi, perniagaan itu bermula secara kecil-kecilan tanpa kedai perniagaan dan beliau menjual emas kepada saudara mara dan sahabat handai.

“Selepas dua tahun, emas yang terkumpul mencecah RM38,000. Pada penghujung 2013, saya memberanikan diri menyewa sebuah kedai kecil untuk mula berniaga emas secara dalam kedai. Setahun selepas itu, saya berjaya  membuat pinjaman perniagaan dengan  Perbadanan Usahawan Nasional Berhad ( PUNB)  sebanyak RM200,000. Perniagaan mula berkembang baik dengan modal ini.

“Tetapi selepas satu tahun setengah perniagaan diuji lagi. Kedai dirompak dan barang kemas hampir habis. Ketika itu perniagaan dan kehidupan sangat mencengkam kerana setelah setahun lapan bulan barulah  tuntutan insurans  diperoleh  dan hanya dapat 60 peratus daripada jumlah kerugian,” katanya.

 Beliau berkata, pandemik yang melanda negara selama dua tahun memberi kesan baik kepada kedainya apabila bukan saja dapat bertahan malah terus berkembang yang mana jualan kedainya meningkat melebihi dua kali ganda daripada pendapatan sejuta setahun sebelum itu. Perbadanan Usahawan Nasional Berhad ( PUNB) banyak membantu ketika pandemik dalam bantuan modal tambahan dan penangguhan bayaran ansuran bulan.

“Jadi kami mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat sendirian berhad yang mana sebelum ini sebagai enterprise sahaja. Maka pada awal 2022, syarikat beroperasi sebagai Jasfran Jewellery Sdn Bhd,” katanya.

Syarikat berkenaan bukan sekadar menjual emas  tetapi turut  menjual jongkong emas  dan jualan dinar.

“Selain itu juga kami menawarkan beberapa perkhidmatan berkaitan emas seperti membaiki dan mencuci barang kemas, menentukan mutu emas, mengira zakat emas serta membuat penilaian emas,” katanya.

Kelebihan JASFRAN JEWELLERY SDN BHD berbanding yang lain antaranya adalah menawarkan pakej menarik iaitu mewujudkan kad keahlian yang menawarkan “Harga Emas Tanpa Upah” untuk 3 gram ke atas dan dibawah 3 gram upah hanya RM30 sahaja.

“Harapan kami dalam masa tiga tahun ke hadapan kami mampu menghasilkan jualan melebihi 6 juta setahun.

“Kami terus bersemangat untuk terus berjuang dalam perniagaan ini setelah kami lihat potensi perniagaan emas boleh pergi jauh ke depan,” katanya.