Ideas Master Homes tawar idea hiasan dalaman menarik

Minat yang mendalam dalam bidang hiasan dalaman telah membuka peluang Anis Laila Adam untuk mencari rezeki di dalam bidang berkenaan. Pemilik Laila Ideas Master Resources itu mula menceburkan diri dalam bidang hiasan dalaman pada tahun 2017 apabila beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

Beliau berkata pada masa itu beliau bergerak secara ‘freelance’ dan lebih memberi tumpuan kepada projek-projek kecil yang diperoleh daripada kilang lain.

“Dari situlah saya mula merancang untuk memiliki sebuah kilang bagi tujuan penghasilan kerja-kerja kabinet. Berbekalkan kepada pengalaman yang ada pada saya dan suami selama lebih 15 tahun dalam bidang penghasilan kabinet, akhirnya pada tahun 2018, kami berjaya membuka sebuah kilang kecil dan dibantu oleh lima pekerja.

“Kini, pada tahun 2022, kami sudang mempunyai dua buah kilang dan menggaji 10 pekerja yang mahir dalam bidang pemasangan kabinet,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, Anis Laila berkata syarikatnya banyak menjalankan projek untuk rumah kediaman yang mana mereka lebih fokus kepadaa kerja-kerja ‘customade’ kabinet.

“Kami menawarkan pelbagai rekaan almari, kabinet TV, meja belajar, panel dinding dan paling utama semestinya hiasan yang menjadi kegemaran wanita iaitu kabinet dapur. Selain itu, kami juga menerima rekaan daripada pelanggan sendiri jika mereka mempunyai idea yang hendak direalisasikan. Kami juga mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat hiasan dalaman yang lain yang hendak menjayakan projek mereka dengan kami,” katanya lagi.

Anis Laila berkata dalam memastikan pelanggan puas hati dengan hasil kerja pihaknya, beliau akan menunjukkan draf rekaan terlebih dulu bagi mendapatkan gambaran sebenar sebelum kerja penghasilannya bermula.

“Kami juga akan menyediakan sampel material sebenar yang akan digunakan supaya pelanggan dapat sedikit sebanyak gambaran rekaan yang akan dihasilkan kelak. Sasaran pelanggan kami terdiri daripada golongan individu yang baru berumah tangga dan dalam fasa mencari rumah serta tidak mempunyai idea bagaimana untuk menghasilkan rekaan dalaman rumah yang selesa untuk seisi keluarga. Paling penting, harga yang kami kenakan tidak membebankan,” katanya lagi.

Bercerita lebih lanjut, Anis Laila berkata pihaknya juga menawarkan pelanggan idea, konsep atau penyelesaian terhadap kekeliruan mengenai masalah reka bentuk kelengkapan rumah mengikut citarasa terkini bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penghuni kediaman.

“Kami juga menggunakan material yang berkualiti, tahan lama, tahan karat dan sesuai dengan bajet pelanggan. Potongan harga dan hadiah percuma juga turut diberikan utk pelanggan yang pernah mendapatkan khidmat kami sebelum ini,” tambahnya lagi.

Beliau berkata pada masa ini, syarikatnya memanfaatkan medium pengiklanan melalui platform media sosial seperti Facebook dan Instagram serta Whatsapp.

“Kami menggunakan segala jenis teknik dan strategi pemasaran yang kami tahu untuk memperkenalkan hasil kerja kami yang terkini dan segala proses yang berlaku untuk menarik minat dan menambah keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan kami.

“Testimoni sebenar daripada pelanggan terdahulu juga membantu menaikkan lagi kepercayaan pelanggan untuk mendapatkan khidmat kami. Selain itu, kami juga ada menawarkan promosi terhad dan esklusif untuk pelanggan yang mencari servis reka bentuk dalam bajet yang terhad dan mampu milik. Kami juga tidak keberatan jika pelanggan ingin mengadakan konsultansi secara bersemuka kerana ia dapat melancarkan lagi proses pembentangan idea, konsep mahupun hasil produk yang dimahukan,” katanya lagi.

Anis Laila berkata sehingga kini, syarikatnya menerima sambutan dan maklumbalas yang amat memberangsangkan.

“Lebih 15 syarikat hiasan dalaman telah bekerjasama dengan kami bagi menyelesaikan projek-projek yang mereka perolehi,” katanya lagi.