Siapa yang tidak gemarkan hidangan makanan stimbot dan barbeque (BBQ) yang sering menjadi pilihan untuk seisi keluarga di hujung minggu? Jika kita berkunjung ke pusat membeli-belah, kita dapat melihat senario restoran stimbot dan BBQ yang penuh dengan pengunjung malah ada yang perlu beratur menunggu giliran masing-masing.
Senario ini mendorong Mohd Shahri Tamby Chik untuk mula berjinak-jinak dengan restoran berkonsepkan hidangan bufet stimbot dan BBQ. Bercerita kepada Entrepreneur Insight, beliau berkata perniagaannya bermula dengan pembukaan restoran pertama di Kuang, Sungai Buloh.
Jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, restorannya itu menawarkan menu makanan utama bufet stimbot dan BBQ dan ia mendapat sambutan yang baik daripada pengunjung.
“Melihat kepada sambutan baik yang kami terima dengan menu buffet stimbot dan BBQ ini, , kami menambah satu lagi cawangan baru iaitu Anjung D Tasek Biru. Kami mendapat tawaran daripada pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk kami menyediakan kertas kerja bagi membangunkan satu platform bangunan milik MPS di tepi Tasik Biru Kundang.
“Berdasarkan pengalaman yang kami ada sebelum ini, kami diberi peluang untuk menawarkan perkhidmatan restoran yg berkonsepkan hidangan bufet stimbot dan BBQ di Tasik Biru Kundang,” kata usahawan berusia 35 tahun itu lagi.
Ditanya mengenai keunikan produk jualannya jika dibandingkan dengan hidangan stimbot dan BBQ lain yang terdapat di pasaran, Mohd Shahri berkata keunikan utama yang ada pada Anjung D Tasek Biru adalah adalah balang stimbot dan gril kami dibuat secara ‘custom made’ dengan saiz yang lebih besar daripada balang biasa di pasaran. Ia juga dikenali sebagai ‘kuali gergasi’.
“Selain itu, faktor lain yang membuatkan ramai pelanggan mengunjungi restoran kami adalah adalah suasana di tepi tasik itu sendiri sangat santai untuk pelanggan yang terdiri daripada keluarga, rakan, saudara serta juga kumpulan tertentu seperti jabatan kerajaan & swasta menikmati hidangan bufet stimbot dan BBQ yang kami sediakan,” katanya lagi.
Menjawab persoalan bagaimana keunikan yang ditawarkan di restorannya memberikan kelebihan untuk beliau mengembangkan perniagaan, Mohd Shahri berkata faktor ‘kuali gergasi’ itu telah memudahkan pelanggan dan menyebabkan mereka tidak berasa penat untuk mengambil makanan secara berulang kali.
“Selain itu, suasana santai tasik itu sendiri menjadi tarikan sambil pelanggan dapat melihat pelbagai aktiviti air yang dijalankan seperti jetski, kayak, dan bot,” tambahnya lagi.
Mohd Shahri berkata sebagai seorang usahawan, pandemik yang berlaku telah merencatkan perjalanan perniagaannya. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menyerah kalah dan terus berusaha membangunkan empayar perniagaan milknya.
“Pandemik yang berlaku telah telah memberi satu petunjuk kepada perniagaan serta ahli perniagaan untuk lebih kreatif dan mengoptimumkan apa sahaja kemudahan yang kita ada.
“Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasar untuk membentuk satu rangkaian perniagaan yang kukuh dalam memberikan perkhidmatan makanan dan minuman serta menawarkan pelbagai jenis produk baharu.
“Ketika ini, kami sudah mempunyai 3 cawangan restoran dan satu cawangan dapur utama. Melalui servis yang kami sediakan menerusi dapur utama ini, lebih banyak produk dapat ditawarkan kepada para pelanggan,” katanya lagi.
Ujar Mohd Shahri, banyak faktor yang mendorongnya untuk terus berusaha dan berjuang dalam membangunkan perniagaan ini.
“Antaranya adalah mereka yang sentiasa ada bersama seperti keluarga, saudara, dan staf. Saya yakin, kita perlu membantu sebelum dibantu. Justeru saya berharap dengan majunya peniagaan restoran saya ini, saya dapat membantu orang-orang di sekeliling saya,” katanya.