Eddie PhotoVideo sasar kembang perniagaan ke negara jiran

Minat yang mendalam terhadap bidang seni terutamanya seni lukisan, fotografi dan videografi telah membuka jalan kepada Zulraidi Affendi Satar yang dikenali sebagai Eddie untuk mula berkecimpung dalam bidang berkenaan. Beliau menubuhkan syarikat Eddie PhotoVideo yang secara rasminya telah didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada tahun 2004.

Anak kelahiran Muar Johor itu mempunyai pengalaman luas melebihi 25 tahun dalam bidang fotografi. Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang elektrik dan elektronik dari Manchester Universiti di United Kingdom di peringkat sarjana muda serta sarjana di dalam bidang pengurusan perniagaan dari Universiti Teknologi Mara.

Bagaimanapun, minat terhadap bidang fotografi telah mengatasi segalanya. Bercerita mengenai perjalanannya dalam bidang perniagaan berteraskan fotografi dan video, usahawan berusia 48 tahun itu berkata beliau bermula secara sambilan pada tahun 1996.

“Pada waktu itu, saya menjadi jurugambar dan juruvideo bebas selama tujuh tahun, iaitu dari tahun 1996 hingga tahun 2003.

“Saya memang meminati bidang seni sejak dari sekolah rendah lagi. Saya mendapat kamera pertama yang dihadiahkan oleh abang semasa sekolah rendah dan video kamera  semasa di sekolah menengah.

“Kemudiannya, semasa belajar di Manchester, minat saya terhadap foto dan video semakin mendalam. Kesemua peralatan kamera dan video yang ada di Malaysia saya bawa bersama semasa belajar.

“Dalam tempoh dua tahun, beribu-ribu gambar dan video telah dirakamkan sepanjang saya berada di Manchester. Selain itu, saya turut mengembara ke lapan buah negara Eropah untuk mendapatkan hasil gambar yang lebih menakjubkan.

“Saya menjual hasil gambar dan video semasa saya berada di sana. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Saya memperoleh peluang untuk menjana pendapatan dengan hasil jualan berkenaan,” katanya

Mengulas lanjut, beliau berkata Eddie PhotoVideo menawarkan hasil kerja yang professional serta mementingkan kualiti servis sebelum dan selepas jualan.

“Kami juga mengeluarkan produk premium dan berlainan daripada pesaing yang mana proses akhir suntingan video, album gambar termasuk kotak album kesemuanya dibuat khas secara “custom made”.

“Setiap pelanggan mempunyai album dan kotak khas sendiri yang mana setiap album dan kotak album termasuk kulit dan kristal akan di ukir khas dengan nama pelanggan dengan corak yang berbeza.

“Pelanggan juga boleh memilih corak dan warna kulit yang diminati. Menariknya, kami menyediakan servis ini bukan sahaja di Malaysia tetapi juga ke negara luar,” tambahnya lagi.

Zulraidi atau Eddie yang pernah bekerja sebagai seorang jurutera sebelum ini juga telah mendapat pengiktirafan sebagai jurugambar professional oleh Creative Content Industry Guild (CCIG) serta sebagai jurugambar, juruvideo dan penyunting filem yang ditauliahkan oleh Sijil Kemahiran Malaysia.

Memandangkan sektor yang berlaitan dengan acara menjadi antara sektor yang menerima kesan besar ekoran pandemik Covid-19 yang berlaku, Zulraidi berkata perniagaannya juga tidak terkecuali apabila majlis perkahwinan, korporate, komersial, studio dan pelbagai majlis terpaksa ditutup.

“Bagaimanapun, permintaan gambar, rekaan grafik dan video produk terutamanya makanan, kecantikan, pakaian masih mendapat sambutan.

“Pelanggan menghantar produk tersebut melalui pos sekiranya jauh atau melalui Lalamove dan Grab untuk diambil gambar. Ini sedikit sebanyak membantu saya meneruskan perniagaan walaupun perintah sekatan pergerakan sedang dikuatkuasakan,” katanya lagi.

DItanya mengenai perancangannya dalam tempoh tiga tahun lagi, Zulraidi berkata beliau menyasar untuk mengembangkan lagi perkhidmatan Eddie PhotoVideo ke negara jiran termasuklah Singapura, Brunei dan juga Indonesia.

“Selain itu, saya juga mahu membuka pejabat dan studio di setiap wilayah di negara ini iaitu di bahagian utara, selatan, pantai timur serta Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau juga akan terus berjuang membina empayar perniagaannya dan tidak akan sesekali berputus asa. Setakat ini beliau telah memberikan perkhidmatan lebih dari 5000 pelanggan seluruh Malaysia termasuk beberapa syarikat antarabangsa.

“Saya ingin membantu dan menyelesaikan masalah pelanggan yang mengimpikankan servis dan hasil yang berkualiti premium dengan harga yang berpatutan.

“Selain itu, saya juga mahu menawarkan lebih banyak ruang pekerjaan kepada anak tempatan seterusnya menaikan ekonomi negara,” katanya.