Envirolyte Solution mahu pasarkan produk cucian Safelyte ke pasaran Asia Barat

Cecair pembasmi kuman mempunyai pasarannya yang tersendiri kerana ia bukan saja diperlukan untuk kegunaan domestik malahan juga digunakan secara meluas di dalam sektor industri.

Yakin dengan potensi yang ada dalam pasaran, Mohd Ehsan Chik Hisham mengorak langkah dengan menubuhkan syarikat Envirolyte Solution Sdn Bhd pada Jun 2020.

Ahli perniagaan berusia 35 tahun itu berkata syarikatnya adalah pengilang dan pengeluar rasmi cecair pembasmi kuman serbaguna yang telah didaftarkan nama sebagai Safelyte™ di bawah naungan Envirolyte Asia Pacific yang berpangkalan di Brisbane, Australia.

Katanya, perjalanan syarikatnya bermula dengan bersandarkan kepada pengalaman rakan sejawat yang sudah berkecimpung dalam sistem rawatan air yang menggunakan cecair Envirolyte Anolyte Solutions sejak tahun 2004.

“Atas dasar ingin mengembangkan lagi teknologi ini, kami beralih ke pengilangan dan pembuatan cecair pembasmi kuman Safelyte™ untuk kegunaan harian isi rumah.

“Cecair pembasmi kuman jenama Safelyte™ dihasilkan menerusi teknologi hijau dari Tallinn, Estonia yang mana ia terhasil menerusi proses Electro Chemical Activation (ECA); pengaliran larutan air masin (garam) menggunakan tenaga elektrik melalui membran atau sel elektrolisis yang direka khas untuk memisahkan ion positif dan negatif.

“Ion positif yang terhasil ini digunakan untuk tujuan membasmi kuman manakala hasil buangan (ion negatif) dari proses ini juga boleh digunakan sebagai bahan pencuci atau detergen,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai keunikan produk Safelyte™, anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu berkata tiada bahan kimia atau toksik yang terbabit dalam penghasilan cecair pembasmi kuman Safelyte™ ini.

“Untuk maklumat tambahan, Safelyte™ juga telah melalui beberapa ujian makmal dan telah terbukti keberkesanan untuk membasmi kuman sehingga 99.99% dan juga telah mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia sejak Mac 2022.

“Selain itu, produk Safelyte™ juga sesuai digunakan oleh semua lapisan umur dan juga haiwan peliharaan.

“Penggunaannya tidak tertumpu pada pembasmian kuman sahaja malah sesuai digunakan untuk menyembuhkan luka, menyah bau busuk, pencucian buah-buahan dan sayur-sayuran, sanitasi ruang udara dan lain-lain lagi,” katanya.

Tambahnnya lagi, pengalaman dan sejarah penggunaan cecair pembasmi kuman ini di peringkat dunia menunjukkan bahawa terdapat pelbagai bidang perniagaan yang berpotensi untuk pasaran Safelyte™ di Malaysia, antaranya ialah industri pertanian, penternakan, minyak dan gas, rawatan air, servis sanitasi dan lain-lain lagi.

“Oleh kerana cecair yang terhasil ini boleh digunakan untuk pelbagai penggunaan serta tiada kesan sampingan yang berbahaya, tenaga mahir juga tidak diperlukan untuk pengendalian cecair ini,” katanya.

Mohd Ehsan berkata pengalaman bekerja selama lebih 7 tahun dalam pengurusan dan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah memberi pengalaman dan pengajaran yang berharga tentang erti kehidupan.

“Semasa pandemik Covid19 melanda, ia sedikit sebanyak telah memberi impak dalam kehidupan saya serta keluarga. Oleh yang demikian, peluang yang telah diberi oleh rakan sejawat untuk menceburi bidang ini telah membuka semula lembaran baru untuk memajukan diri dan keluarga untuk lebih ke hadapan.

“Atas peluang yang diberikan, banyak perkara yang perlu dipelajari dan difahami tentang teknologi ini. Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasar untuk mengembangkan produksi saya ke kilang yang lebih besar dan efisien dari segi pengurusan dan operasi.

“Bidang-bidang yang diceburi sekarang diharap dapat dikekalkan, ditambahbaik dan diperluas penggunaannya tidak hanya tertumpu di pasaran Malaysia tetapi menembusi pasaran Timur Tengah.

“Pengembangan teknologi ini juga telah kami selaraskan dengan pihak Envirolyte Asia Pacific dan kolaborasi dengan syarikat swasta di Malaysia dan di Muscat, Oman untuk bersama mengembangkan teknologi ini.

“Teknologi ini bukanlah tertumpu sebagai pembasmi kuman harian sahaja tetapi sebagai satu teknologi baru yang boleh dikembangkan penggunaannya di Malaysia.

“Disebabkan terdapat pelbagai kebaikan yang terdapat dalam produk Safelyte™ ini, sesuatu yang baik perlulah dikongsi bersama dengan masyarakat luar lain. Ini adalah satu langkah untuk mencipta satu brand awareness di mana kebergantungan kepada sesuatu produk yang mengandungi bahan kimia dan toksik akan mendatangkan kesan sampingan di hari mendatang,” ujarnya.