Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikenakan oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan banyak operasi perniagaan terpaksa dihentikan. Lebih malang lagi, bagi peniaga yang tidak mempunyai simpanan yang besar, ramai yang terpaksa mengambil jalan untuk menutup perniagaan mereka daripada terus menanggung hutang. Ia bukanlah sesuatu yang aneh kerana pandemik yang berlaku telah menyebabkan ramai pihak berada dalam situasi yang tidak pasti.
Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku kepada Ahmad Zhafri Ahmad Zahir apabila beliau mendapat idea untuk menubuhkan perkhidmatan Mobeel. Mobeel adalah penyedia perkhidmatan servis kereta secara mudah alih yang mana krew Mobeel akan pergi ke rumah pelanggan untuk menyelenggara kereta mereka.
Bercerita kepada Entrepreneur Insight mengenai pembabitannya dalam bidang berkenaan, beliau berkata walaupun pandemik yang berlaku mendatangkan ancaman terhadap ekonomi, ia juga sebenarnya menyediakan peluang ekonomi yang baharu dan lebih besar.
“Semasa PKP dikuatkuasakan, banyak bengkel selenggara kenderaan ditutup dan saya mula mencari cara lain untuk meneruskan perniagaan dalam industri baikpulih kenderaan ini. Saya tahu yang saya tidak boleh terus menunggu kata putus daripada kerajaan dan perlu bertindak segera bagi memastikan perniagaan saya dapat diteruskan. Bermula dari situlah tercetusnya Mobeel,” kata usahawan berusia 38 tahun itu.
Mengulas lanjut mengenai perkhidmatan Mobeel, pemilik Fahman Engineering itu berkata dalam industri baikpulih kenderaan, aspek kualiti dan kebersihan adalah sesuatu yang amat sukar untuk ditemui.
“Inilah kelebihan yang ada pada perkhidmatan Mobeel yang mana pelanggan tidak perlu membuang masa untuk menunggu kenderaan mereka siap diservis tetapi masih tetap mendapat hasil kerja setaraf pusat servis.
“Kami sediakan perkhidmatan terus ke muka pintu atau “to your door services” dan pelanggan tidak perlu buang masa dan tenaga di bengkel. Selain itu, kami turut memastikan kualiti kerja, dan standard kebersihan yang tinggi. Kami membangunkan tatacara piawaian standard yang setaraf dengan pusat servis rasmi.
“Kami juga mempunyai polisi ‘Zero Splash Goal’ yang mana tiada sebarang kotoran akan ditinggalkan di rumah pelanggan. Jika secara tidak sengaja ada sebarang kotoran, kos upah akan diberi percuma. Justeru, pelanggan kami tidak tidak perlu bimbang rumah mereka kotor dengan kesan minyak dan sebagainya,” katanya lagi.
Anak kelahiran Shah Alam Selangor itu juga berkata pandemik telah mengajarnya untuk tidak mudah putus asa.
“Dalam setiap keadaan, pasti ada jalan keluarnya dan insyaAllah ada peluang baru yang terbentang luas di hadapan kita.
“Menyedari potensi yang ada pada perkhidmatan ini, saya menyasar untuk mengembangkan operasi Mobeel ke seluruh negara dalam tempoh tiga tahun lagi. Strategi yang bakal dirancang untuk saya capai sasaran ini termasuklah dengan melantik ejen-ejen atau menjalankan sistem francais,” tambahnya lagi.
Ditanya mengenai apa yang membuatkan beliau tidak putus asa dan mahu terus berjuang membangunkan operasi Mobeel, beliau berkata minat yang mendalam dalam bidang baikpulih kenderaan ini telah menyebabkannya terus bertahan.
“Saya mahu menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan bukan sahaja di sekitar Lembah Klang tetapi juga seluruh negara. Saya yakin pelanggan mempunyai hak untuk memilih perkhidmatan yang mereka senangi. Servis yang disediakan oleh Mobeel ternyata dapat membantu mereka menjimatkan masa dan tenaga. Selain itu, apa yang paling utama adalah menyediakan perkhidmatan yang berkualiti. Kami mahu pelanggan merasa puas hati dengan perkhidmatan yang kami sediakan,” tambahnya lagi sebelum menutup bicara.