Akademi Memanah Thalhah tawar modul memanah ‘recurve’ ikut peringkat usia

Sukan memanah semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat dan ia juga adalah sukan yang menjadi sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Ditubuhkan pada Mac 2016, Akademi Memanah Thalhah adalah milik penuh Viper Sport Sdn Bhd. Pemiliknya, Muhammad Shahril Hakim Razali berkata sejak ditubuhkan kira-kira enam tahun lalu, akademi berkenaan mempunyai seramai 1,500 pelajar dengan sembilan cawangan studio memanah di seluruh negara.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia perniagaan kepada Entrepreneur Insight, anak kelahiran Kajang, Selangor itu berkata Akademi Memanah Thalhah bermula dengan menawarkan servis mengajar kelas memanah di sekolah dan tadika di sekitar Lembah Klang.

“Pada permulaan pembabitan di dalam industri, akademi bertindak sebagai tenaga pengajar untuk aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah. Kemudian kami menubuhkan beberapa cawangan studio memanah untuk kelas latihan yang lebih tersusun yang mana ia dikendalikan 100% oleh akademi sendiri dan akhirnya kini telah menjadi sebuah platform pembentukan atlit memanah recurve dari akar umbi.

“Apa yang menarik mengenai servis yang kami tawarkan adalah ia menggunakan modul pembelajaran memanah yang diiktiraf oleh Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Selain itu, kami juga bertindak sebagai platform sebenar pembentukan atlit memanah ‘recurve’ melalui program akar umbi yang dianjurkan. Modul memanah ‘recurve’ yang ditawarkan juga dikemaskini mengikut peringkat umur.

“Akademi Memanah Thalhah juga menawarkan struktur latihan pelajar dengan silibus yang tersusun dan komprehensif serta prestasi pelajar dianalisa secara menyeluruh.

“Pendedahan elemen sains sukan di dalam pembelajaran memanah seperti kelas teori dan praktikal latihan turut disediakan selain sijil tamat pembelajaran yang mendapat ‘endorsement’ oleh pihak UiTM,” ujar usahawan berusia 33 tahun itu lagi.

Segala kelainan yang ditawarkan akademi berkenaan ternyata memberikan kelebihan kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan. Muhammad Shahril berkata ia menjadikan Akademi Memanah Thalhah sebagai peneraju pasaran dalam kelas memanah di negara ini.

“Kami juga adalah akademi memanah pertama yang menjalinkan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UiTM dalam aspek perkongsian   kepakaran dan sebagainya. Alatan yang kami gunakan sewaktu latihan adalah alatan memanah yang sebenar dan ia disediakan sepenuhnya oleh pihak akademi untuk pembelajaran pelajar.

“Paling menarik, kami bukan sahaja mengajar memanah, malah turut menerapkan pengisian nilai-nilai teras    kehidupan seperti meningkatkan tahap disiplin diri, meningkatkan daya fokus, melatih kesabaran serta memupuk sikap berani dan sikap bertanggungjawab,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai kesan pandemik Covid-19 yang berlaku, beliau berkata pihaknya banyak belajar terutamanya daripada aspek pengurusan kakitangan, pengurusan kewangan dan penstrukturan strategi perniagaan.

“Kami dapat mengenalpasti kakitangan yang sanggup bertahan dan jatuh serta bangun bersama syarikat. Kekuatan syarikat adalah pada pasukan yang sangat hebat demi  tujuan untuk memperhebatkan generasi muda berkenaan sukan memanah.

“Dalam aspek  pengurusan kewangan pula, pihak syarikat mendapat bantuan dari kerajaan melalui skim-skim bantuan yang ditawarkan. Hal ini sedikit sebanyak membantu pihak syarikat menyusun kembali kewangan dan syarikat juga belajar untuk “cut loss” perkara-perkara yang  tidak memberikan impak yang besar kepada perniagaan.

“Kami juga sedang menyusun semula strategi perniagaan untuk kekal relevan di dalam pasaran, , termasuklah dengan menceburi peluang baharu yang bersesuaian dan memberikan impak terhadap syarikat,” tambahnya lagi.

Dalam tempoh tiga tahun lagi, beliau merancang untuk menambah lagi pendapatan syarikat dengan membuka lebih banyak lagi studio memanah, disamping menambah servis dan produk baru.

“Kami belajar untuk tidak mengharapkan pendapatan tunggal sahaja. Syarikat juga sedang menambahbaik mutu dan kualiti pembelajaran di kelas memanah.

“Dari segi kualiti tenaga pengajar, kualiti studio memanah termasuk alatan dan keselesaan pelajar untuk belajar. Syarikat akan menggunakan dana syarikat dan suntikan dana daripada pelabur untuk merealisasikan perancangan ini,” ujarnya.