Perabot mesra alam taruhan usahawan muda

Tidak banyak yang diketahui mengenai perabot mesra alam, malah mungkin ada di kalangan pembaca yang tidak pernah mendengar konsep berkenaan. Bermula dengan misi ‘Go Green’ pada tahun 2012, dua usahawan muda mengorak langkah dengan memperkenalkan konsep perabot mesra alam bertujuan untuk mengekalkan persekitaran semula jadi di negara ini.

Seorang daripada usahawan berkenaan, Fazli Shah Simpon berkata pada masa itu, beliau dan rakan kongsinya begitu bersemangat untuk menjalankan misi mengekalkan kehijauan dengan membuat perabot menggunakan kayu yang diselamatkan daripada dibuang begitu sahaja.

Bercerita lebih lanjut kepada Entrepreneur Insight, Fazli Shah berkata syarikatnya yang dikenali sebagai FS Design Furniture Sdn Bhd adalah pengeluar dan pembekal perabot gred komersial untuk rumah, restoran, kondominium, projek dan ruang komersial.

“KATTA KAYU adalah jenama yang dicipta oleh syarikat kami bagi mewakili semua perabot yang kami hasilkan. Produk keluaran kami mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana ia dihasilkan dengan seni tangan yang begitu teliti.

“Perabot mesra alam melambangkan ukuran kasih sayang dan penjagaan serta terdapat dalam pelbagai bentuk. Kami percaya bahawa ia bukan sekadar keperluan komersial tetapi tanggungjawab kami untuk menetapkan piawaian baharu untuk diri kami sendiri dan mengejar tahap tertinggi baharu dalam kualiti pembuatan kami.

“Falsafah perabot mesra alam mendorong kami untuk melangkaui estetika dan kefungsian serta memberikan kebanggaan dan ketenangan fikiran yang dicari dan layak diterima oleh setiap pelanggan kami.

“Kami juga memahami bahawa ia adalah ramuan yang tidak ternilai dalam perjalanan kekeluargaan. Oleh itu, adalah amat penting bagi kami untuk memasukkan aspek paling selamat dalam pembuatan produk kami,” jelas anak kelahiran Tanjung Karang itu dengan panjang lebar.

Pemuda berusia 37 tahun itu turut menitipkan beberapa panduan yang beliau sendiri pelajari sepanjang menempuh cabaran pandemic Covid-19 di negara ini.

“Sebagai usahawan, penting untuk kita memperbaiki pengurusan wang simpanan dan dana kecemasan. Selain itu, kita juga perlu mempertingkatkan pemikiran secara lebih kreatif. Sesebuah perniagaan itu dikawal oleh ketua syarikat yang bertindak sebagai nahkoda, justeru, kita perlu mempunyai kemahiran untuk membuat keputusan yang lebih bijak bagi memastikan perniagaan terus berjalan.

“Antara nasihat lain yang hendak saya titipkan kepada rakan usahawan lain adalah untuk sentiasa dinamik dan mencari alternatif lain untuk menjual produk. Di samping itu, kita juga perlu mengekalkan kepercayaan pelanggan terhadap produk keluaran syarikat.

“Secara peribadinya, saya akui bahawa itu juga adalah pengorbanan yang terpaksa saya lakukan bagi memastikan perniagaan saya dapat bertahan. Akhir sekali, saya juga menjalin kerjasama dengan pesaing sebagai satu daripada strategi untuk memastikan operasi perniagaan berjalan lancar,” ujarnya lagi.

Melihat potensi syarikat dalam tiga tahun akan datang, beliau berkata adalah menjadi impiannya untuk dikenali di peringkat global dalam penciptaan dan pengeluaran perabot mesra alam.

“Kami menyatakan komitmen kami untuk menyediakan persekitaran yang lebih selamat untuk generasi masa depan dengan mereka bentuk, berinovasi, mengeluarkan dan membekalkan perabot mesra alam ke seluruh dunia melalui kerja berpasukan yang benar-benar ditadbir oleh entiti patuh syariah.

“Didalam budaya syarikat kami adalah nilai Kualiti, Kepuasan Kerja, Produktiviti, Peningkatan berterusan, Pertumbuhan dan Kemakmuran,” tambahnya.

Sebelum menutup bicara, Fazli Shah berkata beliau akan terus berjuang untuk membangunkan perniagaannya.

“Saya akan meneruskan semangat juang bagi membela nasib anak bangsa dalam bidang perkayuan. Perkataan putus asa sememangnya tidak tercatat dalam kamus hidup kami,” katanya.