TEMAN MALAYSIA: Yakin tembusi pasaran dalam dan luar negara, tawar perkhidmatan bidang penjagaan warga emas.

Teman Malaysia adalah salah satu perusahaan sosial yang bermula dari sebuah program inkubator SEEd.Lab (Social Enterprise Education Laboratory) yang diterajui oleh PETRONAS dan Tata Consultancy Services.

Objektif utama program tersebut adalah untuk melahirkan perusahaan sosial yang dapat memberi impak sosial pada masyarakat dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia di Malaysia.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Teman Malaysia, Nurul Ezzati Mohamed Nasir, 31, berkata pihaknya menetapkan bidang penjagaan dan peneman untuk menjadi fokus utama mereka.

“Setelah menjalankan kajian, kami dapati Malaysia akan menjadi negara tua dalam masa kurang 10 tahun dan bilangan warga emas akan meningkat hampir sekali ganda pada tahun 2030 nanti”.

“Dalam pada masa yang sama, disebabkan oleh pandemik yang melanda dunia, ramai orang kehilangan pekerjaan, bukan sahaja belia malahan generasi bekerja secara amnya. Syarikat kami ditubuhkan pada September 2020 dan kami makin berkembang hingga sekarang,” katanya kepada Entreprenuer Insight, baru-baru ini.

Katanya yang berasal daripada Batu Caves, Selangor, ini pihaknya turut  menawarkan perkhidmatan peneman dan penjagaan kepada warga emas dengan memadankan mereka dengan peneman yang kami panggil Temanion.

 “Temanion akan menemani klien untuk melakukan aktiviti harian di rumah, atau di luar rumah seperti temu janji hospital, urusan di pejabat kerajaan dan sebagainya.

“ Objektif kami bukan hanya mahu memudahkan urusan warga emas ini tapi lebih kepada memperkasakan warga emas untuk kekal aktif dan tidak terjerumus pada penyakit tua seperti nyanyuk, kesunyian dan kemurungan,” katanya.

   Keunikan servis syarikatnya  adalah yang mana ia merupakan perkhidmatan pertama yang memfokuskan peneman pada warga emas.

  “ Kami tidak menawarkan khidmat jururawat tapi lebih kepada rakan    kepada klien. Hal ini penting kerana kami ingin memberi peluang warga emas membuat rakan baharu, kekal aktif melakukan aktiviti dan tidak hanya terperap di rumah.

  “ Di samping itu, kami ingin mengurangkan penghalang dari segi kelayakan akademik dan skil untuk mereka yang berminat untuk bekerja dengan kami.

 “ Mereka hanya perlu mempunyai minat dan kesabaran untuk berurusan dengan warga emas. Kami juga akan menawarkan latihan untuk Temanion kami yang tiada pengalaman dalam penjagaan warga emas,” katanya.

 Temanion juga berpeluang untuk bekerja sebagai pekerja gig dan bukan kerja tetap jadi mereka ada kebebasan untuk memilih waktu kerja mereka sendiri.

Apabila bilangan warga emas meningkat, peluang untuk perniagaan mereka berkembang makin tinggi. Pihaknya juga masih belum melebarkan sayap ke negeri lain di mana mereka  pasti terdapat lebih ramai warga emas dan Temanion yang  dapat dibantu.

“ Kami cuba membuat konsep di mana Temanion tidak perlu pergi jauh untuk bekerja, dan mereka boleh kekal di tempat asal masing-masing dan masih boleh mendapat pekerjaan untuk membantu mereka meningkatkan pendapatan diri dan keluarga,” katanya

Dalam masa tiga tahun lagi, pihaknya menjangkakan perkhidmatan mereka berada  di seluruh Malaysia tak kira di bandar mahu pun di pedalaman selain melebarkan sayap ke negara  Asia Tenggara terutamanya Brunei, Indonesia dan Singapura.

“Kami memulakan perniagaan kami dalam waktu pandemik. Kami merasakan semua orang bermula dari kosong pada waktu ini dan semua mempunyai peluang yang sama dalam berniaga.

“Kami cuba membuat sesuatu yang baru dengan harapan kami dapat menarik perhatian pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan yang mereka betul-betul perlukan dalam masa yang mencabar ini,” katanya,

Dalam pada yang sama, pihaknya  merasakan bahawa perkhidmatan ditawarkan  dapat membantu pelbagai pihak terutama warga emas, anak yang bertanggungjawab menjaga mereka dan temanion yang mendapat pekerjaan melalui platform yang ditawarkan.