Menjelang tamat belajar Diploma Sains, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurul Sofiyah Md Shater, 32, mula mencari universiti perubatan di negara ini untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.
Ini kerana minat anak kelahiran Melaka ini adalah ‘to give care’, iaitu memberi perkhidmatan penjagaan kepada masyarat.
Dalam fasa pencarian universiti untuk melanjutkan ijazah, wanita muda ini mula teruja dengan sebuah universiti di Cyberjaya yang menawarkan ijazah dalam bidang Homeopati.
“ Semasa berbincang dengan ibu, ibu memberi cadangan untuk melanjutkan ijazah perubatan homeopati. Ibu menceritakan kisah kakak (anak sulung) yang demam tinggi sehingga sawan.
“ Ketika itu, ibu mencari perubatan alternatif kerana risau dengan kebergantungan terhadap ubatan sintetik untuk bayi berumur setahun.
“ Ibu sangat bersyukur apabila kakak pulih setelah menggunakan homeopati. Saya bersetuju dengan cadangan ibu dengan niat memberi kebaikan kepada ramai orang,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru baru ini.
Setelah beliau melengkapkan ijazah , beliau berkongsi kegembiraan bergraduasi di platfom sosial media seperti Facebook dan tidak menyangka perkongsian itu diberi perhatian oleh insan yang memerlukan pertolongannya untuk merawat kesihatan diri dan keluarga.
“ Selepas perkongsian itu, ada seseorang menghubungi saya untuk mendapatkan rawatan homeopati untuk keadaan demam.
“ Saya dengan berbesar hati membantu dia. Dalam minggu yang sama, sebuah keluarga hubungi saya untuk dapatkan rawatan untuk keadaan jaundis bayi dan bengkak susu ibu selepas bersalin.
“ Rentetan dari permintaan ini, saya mencari tempat yang sesuai untuk bantu masyarakat dengan ilmu perubatan homeopati dari Universiti Cyberjaya.
“ Pada awalnya, saya menyewa satu bilik dari kedai urut tradisional Melayu,” katanya menceritakan detik awal bermulanya beliau dalam dunia keusahawanan unik ini.
Terus terbang tinggi menggapai kejayaan dan impian diri membantu lebih ramai masyarakat dalam bidang penjagaan kesihatan, setelah dua tahun gigih berusaha, beliau berjaya berpindah ke premis sendiri.
Ia satu peluang yang amat menggembirakan hatinya kerana dapat memberikan servis dan premis yang baik kepada pengguna homeopati yang tentunya lebih selesa berada di premis yang luas dan baru.
“ Saya meneruskan misi membantu rakyat Malaysia untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan dengan rawatan holistik dan semulajadi,” katanya.
Kongsi beliau, rawatan ditawarkan itu adalah untuk merawat dan memberikan kesembuhan, bukan hanya melegakan sementara.
Contohnya ubat kapur yang digunakan untuk penyakit gastrik yang hanya melegakan semasa sakit perut, tapi ia tidak merawat perut sepenuhnya.
“ Ubat kami adalah dari sumber alami dan selamat untuk semua golongan termasuk bayi, kakak- kanak, orang dewasa, warga emas, haiwan peliharaan dan tumbuhan.
“ Malah, ia bebas dari kesan sampingan ubat sintetik dan rawatan holistik merangkumi rawatan fizikal (sakit badan), mental dan emosi,,” katanya.
Katanya lagi, kesedaran masyarakat untuk memilih rawatan kesihatan holistik dan bebas kesan sampingan ubatan sintetik adalah satu yang baik.
“ Malah, pandemik yang melanda negara juga memaksa saya untuk menjadi kreatif dan inovatif untuk kelangsungan syarikat dan menjaga staf yang komited terhadap visi dan misi Sofea Homeopathy Center ini.
“ Saya berhasrat menubuhkan satu program dana kebajikan untuk membantu mereka yang sakit tapi kurang berkemampuan membayar kos rawatan di klinik.
“Sofea Homeopathy Center ingin membantu meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan tanpa mengira status pendapatan seseorang,” katanya.
Tiada istilah berputus asa baginya kerana yakin homeopati adalah satu sistem perubatan lengkap yang banyak kebaikan. “ Tidak ramai yang tahu tentang pilihan ini untuk penjagaan kesihatan ini. Ini adalah sangat merugikan,” katanya.